GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
 Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

K ebelakangan ini banyak dilaporkan kes-kes kemalangan jalan raya yang meragut nyawa. Boleh dikatakan hampir setiap hari ia berlaku. Berikutan dari itu, ada ibu bapa yang kehilangan anak-anak dan ada anak-anak yang menjadi yatim piatu kerana kehilangan ibu bapa.

 Sebenarnya berbagai-bagai usaha telah dibuat oleh pihak berkuasa untuk mengelak dan mengurangkan kemalangan jalan raya, terutamanya pada setiap kali musim perayaan, seperti Aidilfitri, Aidiladha dan Tahun Baru Cina.

 Undang-undang dan hukuman berat bagi kesalahan jalan raya telah lama digubal. Penguatkuasaan undang-undang dilakukan melalui pelbagai cara seperti saman, penggantungan lesen, Ops Sikap, Ops Lancar, Ops Selamat dan sebagainya.

Di samping itu, kempen kesedaran keselamatan di jalan raya melalui media turut dijalankan. Antara slogan kempen yang pernah dilancarkan ialah Pandu Cermat Jiwa Selamat, Pandu Cermat, Sampai Selamat dan Tunggang Dengan Cermat, Ingatlah Orang Tersayang. Slogan-slogan ini harus dihayati setiap masa.

 Meskipun usaha berbentuk fizikal sedikit sebanyak berjaya mengurangkan kes kemalangan jalan raya, ia belum memuaskan. Oleh itu, kita seharusnya berusaha mencari pendekatan lain untuk memperkemaskan lagi pendekatan yang sedia ada.

 Usaha untuk mendekati masalah ini dari sudut keagamaan (kerohanian) masih kurang dilakukan. Perkara ini mungkin disebabkan kebanyakan anggota masyarakat menganggap isu kemalangan jalan raya adalah masalah sikap dan tingkah laku individu tertentu sahaja, malah ia tiada hubungkait dengan agama.

 Jika benar wujud andaian sebegini, bermakna pengaruh sekularisme masih menebal dalam pemikiran masyarakat hari ini. Kita masih menyempitkan ruang lingkup keagamaan khususnya Islam dalam aspek ibadah dan amalan ritual semata-mata. Sedangkan pada hakikatnya Islam sebagai agama merangkumi semua aspek kehidupan. Lagipun cara hidup yang dibawa oleh Islam adalah sempurna dan mempunyai prinsip tersendiri dalam semua bidang kehidupan dan kegiatan manusia.

 Barangkali sebahagian besar masyarakat kita menganggap undang-undang dan hukuman yang digubal oleh pihak berkuasa itu adalah semata-mata undang-undang ciptaan manusia. Jadi mereka tidak memikirkan dosa apabila melanggarinya. Jika dihukum atau disaman mereka membayarnya.

 Jika berjaya melepaskan diri, maka mereka terselamat daripada hukuman, malah rasa bangga kerana berjaya melepaskan diri daripada hukuman selepas melakukan kesalahan. Oleh itu keinginan untuk meneruskan amalan keji ini masih menebal dalam jiwa mereka.

 Disebabkan masih wujud masyarakat yang berpemikiran sebegini, usaha mengurangi kes kemalangan jalan raya kurang berkesan. Sehingga kini masih dilaporkan kes kemalangan yang menyedihkan. Masyarakat bagai tidak memperdulikan undang- undang, mereka melanggarinya tanpa rasa bersalah.  

 Perlu dijelaskan bahawa penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya diiktiraf oleh Islam melalui konsep al-Masalih al-Mursalah. Ia bermaksud kepentingan atau keperluan yang tidak disebutkan secara jelas dalam nas iaitu al-Quran dan hadis, tetapi ia tidak pula bertentangan dengan kehendak nas itu sendiri.

 Dalam hal undang-undang berkaitan jalan raya seperti yang telah dijalankan sehingga ke hari ini, sememangnya kita tidak dapati peruntukan secara langsung dalam nas, tetapi kepentingan dan keperluan undang-undang dan peraturan jalan raya ini adalah selari dengan kehendak ajaran Islam yang menghendaki manusia sentiasa terselamat daripada segala kecederaan dan kemusnahan.  

 Oleh itu, jika undang-undang berkaitan jalan raya ini dibuat berdasarkan konsep ini, ia dianggap sah dan diiktiraf oleh Islam. Jadi ia adalah daripada kewajipan syarak  yang wajib dipatuhi oleh umat Islam. Kewajipan syarak ini membawa maksud sesuatu perintah yang apabila dibuat mendapat pahala, tetapi jika ditinggalkan mendapat dosa.

 Dalam konteks undang- undang berkaitan jalan raya yang digubal, ia bukan sahaja menyelamatkan tubuh badan kita sendiri atau orang lain, tetapi ia juga termasuk dalam ibadah yang diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Sebaliknya, melanggari undang-undang yang digubal bukan sahaja menyebabkan pesalah itu dikenakan hukuman sebagaimana yang ditentukan di bawah konsep  takzir, tetapi ia juga merupakan dosa di sisi Allah SWT.

 Adalah menjadi satu prinsip penting dalam Islam bahawa sebarang perkara yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain merupakan satu dosa. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan belanjakanlah (harta benda kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Surah al-Baqarah ayat 195)

 Dalam ayat ini, Allah SWT jelas melarang (larangan yang membawa erti pengharaman) kita daripada melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan dan kemusnahan. Memandu secara berbahaya tentu mendatangkan kecelakaan kepada diri sendiri dan orang lain.

 Begitu juga terdapat beberapa hadis yang menjelaskan tentang kewajipan menolak atau mengelak kemudaratan dan kemusnahan sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain.

 Antaranya hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tiada mudarat dan tidak boleh membalas sesuatu kemudaratan dengan mudharat." (Riwayat Malik, No. 31)

 Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan di sisi syarak untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya yang difikirkan mampu menolak kemudaratan yang timbul akibat kemalangan. Apabila kerajaan menunaikan tanggungjawabnya dalam perkara ini, maka kerajaan mempunyai hak untuk ditaati (khususnya dalam perkara ini) dan menjadi tanggungjawab rakyat pula dari segi syarak untuk mentaatinya.

 Kewajipan mematuhi undang-undang jalan raya yang digubal ini adalah untuk menjamin keselamatan masyarakat. Perkara ini selari dengan hadis yang bermaksud, "(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap Muslim pada perkara yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat. Apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tidak perlu lagi dengar dan taat." (Riwayat al-Bukhari, No. 7144)

 Jadi tidak ada sesiapa pun yang boleh menganggap undang-undang berkaitan jalan raya adalah maksiat yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu kepatuhan terhadapnya wajib di sisi syarak.  Berdasarkan kes kemalangan jalan raya jelas menunjukkan masih ada pemandu tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Mereka tanpa rasa bersalah masih memandu melebihi had kelajuan. Kadangkala jalan raya menjadi sebagai tempat perlumbaan.

 Bagi mengatasi masalah ini, satu usaha perlu dilakukan untuk memperbetulkan tasawur masyarakat tentang kehidupan menurut pandangan Islam. Masyarakat perlu dijelaskan bahawa kedudukan mereka yang hakiki adalah berdasarkan ketakwaan kepada Allah SWT.

 Kesimpulannya, jika pendekatan keagamaan (kerohanian) turut digunakan di samping pendekatan lain yang berbentuk fizikal, ia mungkin memberi kesan yang lebih baik dalam usaha mengelak kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

 Satu kekuatan unggul pendekatan keagamaan yang tidak ada pada pendekatan lain ialah sifatnya yang mempunyai elemen dosa, pahala dan pembalasan di dunia dan akhirat. Seseorang yang melakukan kesalahan memandu, mungkin berjaya melepasi diri daripada tindakan pihak berkuasa dan pembalasan dunia, tetapi ia sentiasa berada di dalam pengetahuan Allah SWT dan akan dibalas dengan hukuman yang setimpal di akhirat nanti. Pemikiran ini sedikit sebanyak akan membentuk peribadi mulia seseorang insan.


Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 6:01 AM