GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Rencana ini sambungan kepada rencana yang bertajuk Waspada ajaran Tajsim sempena Israk Mikraj. Rencana bertemakan fahaman ifrat (maksud ringkasnya akan dijelaskan pada selang beberapa perenggan nanti) ini pelengkap kerana rencana sebelumnya lebih kepada fahaman tafrit yang secara ringkasnya bermaksud ketat, jumud dan boleh dikaitkan dengan pemikiran literal.

Dalam konteks sifat Allah SWT, mereka yang memahaminya secara tafrit akan terjebak kepada pemikiran mujassimah dan mushabbihah yang menjisimkan Allah SWT (tajsim) dan menyamakan-Nya dengan makhluk (tashbih).

Dalam konteks Israk Mikraj, mereka fahami Nabi SAW bukan sahaja berada dekat dengan Sidrah al-Muntaha bahkan jarak baginda hampir secara fizikal dengan Allah SWT. Meskipun disusuli dengan ungkapan berlapik yakni dekat jarak fizikal antara Nabi SAW dengan Allah SWT adalah tidak sama dengan dekatnya jarak fizikal sesama makhluk, ia tetap diharamkan. Begini jugalah jika seseorang itu berada di atas gunung paling tinggi di dunia, maka jaraknya dengan Allah SWT secara fizikal lebih dekat berbanding seseorang di dasar lautan.

Menurut Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) diyakini memang Nabi SAW mendekati jarak secara fizikal di tempat yang dikenali sebagai Sidrah al-Muntaha. Namun, dekatnya jarak Nabi SAW secara fizikal dengan makhluk lain tersebut tidak bermaksud baginda SAW dekat jarak secara fizikal dengan Allah SWT.

Sepertimana ketika Nabi Musa AS secara jarak fizikalnya mendekati gunung Tursina Mesir ketika bertemu dengan Allah SWT untuk menerima kitab Taurat. Ini tidak bermaksud, Nabi Musa AS secara jarak fizikalnya mendekati Allah SWT. Fahaman tafrit atau khususnya tajsim yang wujud dalam masyarakat Islam perlu dihindari dengan serius menerusi pendidikan dan undang-undang secara seiring.

Manakala fahaman ifrat yang menjadi fokus rencana ini, secara ringkasnya merujuk kepada terlalu terbuka di mana dalam konteks akidah, sering kali dikaitkan dengan fahaman golongan muktazilah dan kini sesuai disandarkan kepada fahaman golongan liberalisme atau sesiapa sahaja yang memiliki fahaman mendahului akal yang bercanggah dengan nas al-Quran dan hadis. Dalam konteks Israk Mikraj, golongan ifrat ini berlebihan dalam menggunakan akal sehingga sampai ke tahap menafikan terjadinya mukjizat ini.

Menurut al-Sayyid Muhammad ibn 'Alwi al-Maliki al-Hasani dalam kitab Wa Huwa fi al-Ufuq al-A'la, golongan kafir Quraisy berasa pelik ketika mendapat tahu peristiwa Israk dari Mekah ke Bait al-Maqdis Palestin dan balik semula dalam satu malam. Ini kerana, mereka membandingkan perkara yang menyalahi adat seperti mukjizat ini dengan al-'aqliyyah al-mahsusah (akal yang berasaskan empirikal).

Menurutnya, jika kafir Qurasy tersebut ada pada zaman sekarang menyaksikan betapa banyaknya alat pengangkutan berteknologi tinggi yang bergerak pantas, sudah pasti mereka tidak berasa pelik dengan kisah Israk ini. Kita pada hari ini boleh pergi ke Palestin dan balik semula ke destinasi asal dalam satu hari sahaja, bahkan mungkin boleh pergi dan balik lebih dari satu kali sehari dengan alat pengangkutan zaman ini.

Menurutnya lagi, jika mereka berada pada zaman kini, mereka akan sedar ada perkara berkaitan ilmu Allah dan kuasa-Nya yang belum diketahui seperti kepantasan suara dan cahaya. Bahkan sekarang ini pun masih banyak perkara yang belum diketahui.

Menurut al-Sayyid Muhammad ibn 'Alwi al-Maliki al-Hasani, perkara menyalahi adat kebiasaan tanpa sebab musabab hukum adat maka ia dikenali seperti mukjizat dan karamah. Tetapi, jika ia berlaku dengan sebab musabab hukum adat maka ia dikenali sebagai kemajuan ilmu dan ciptaan baharu (taqadduman 'ilmiyyan wa ikhtira'an jadidan).

Dapat difahami setakat ini bahawa akal manusia terbatas, meskipun manusia ada ruang dalam dimensi sebab musabab hukum adat untuk mengetahui sesuatu perkara dengan pancaindera lima atau menerusi ilmu sains dan fizik namun ada banyak perkara yang belum diketahui. Maka, apatah lagi dalam ruangan yang bukan dalam dimensi sebab musabab seperti Israk Mikraj ini.

Menurutnya juga, peristiwa Israk Mikraj bukan perbuatan manusia yang biasa secara hukum adatnya. Ia antara perkara menyalahi adat dan merupakan antara mukjizat yang Allah SWT khususkan kepada baginda Nabi SAW. Manusia ada daya pencerap (mudrik) namun ia ada batasannya. Maka bagaimana sesuatu yang ada batasannya mampu mencerap sesuatu perkara yang tiada batasannya (fa kaifa man yudrik bi ghair hudud wa la muntaha)? Meskipun manusia diberikan ilmu namun ia adalah sedikit jika dinisbahkan dengan ilmu Allah SWT.

Tambahnya, ada perbezaan besar antara 'alam al-maddah al-mahsusah (ringkasnya merujuk kepada alam empirikal yang berada dalam jangkauan pancaindera lima atau jangkauan ilmu sains dan fizik atau yang tertakluk hukum adat, hukum alam, hukum sebab musabab, atau alam tabii atau istilah seumpamanya) dengan 'alam ma wara' al-tabi'ah atau ma wara' al-maddah (ringkasnya merujuk kepada alam ghaib atau perkara yang tidak tertakluk dengan pancaindera lima, hukum adat, ilmu sains, ilmu fizik dan seumpamanya).

Al-Sayyid Muhammad ibn 'Alwi al-Maliki al-Hasani menyatakan juga bahawa alam ghaib tersebut boleh difikirkan oleh akal hanya pada aspek perbandingan untuk mendekatkan kefahaman sahaja (taqriban li al-afham). Semua ungkapan kata dan bahasa berkaitan dengan akal dan pancaindera lima. Maka, ungkapan tersebut hanya digunakan untuk mendekatkan kefahaman semata-mata dengan alam ghaib. Tiada yang mengetahui hakikatnya melainkan Allah SWT.

Menurutnya lagi, ramai pihak menggunakan akal namun mereka menjadi sesat dengannya. Contohnya, masih ada tuduhan kepada pihak yang menyatakan bumi itu berbentuk sfera (kurawiyyah) dan juga kepada pihak yang menyatakan bumi mengelilingi matahari sebagai pendusta, jahil bahkan kufur.

Beliau juga menyatakan, ada yang menafikan peristiwa Israk Mikraj kerana ia bercanggah dengan hukum sebab musabab, maka ia mustahil berlaku. Mereka tidak membezakan antara perkara yang mustahil pada adatnya dengan perkara yang mustahil pada akalnya. Israk Mikraj hanya mustahil adat, tetapi ia bukan mustahil akal untuk berlaku.

Beliau menyatakan juga, asasnya adalah keimanan kepada Allah SWT yang mencipta alam dan hukum sebab musabab tersebut. Selagi kita beriman bahawa Allah SWT yang mencipta perkara tersebut, maka sangat mudah bagi kita untuk faham bahawa Allah SWT Maha Berkuasa untuk mencipta sesuatu yang menyalahinya. Allah SWT menciptakan mukjizat Israk Mikraj tersebut untuk menunjukkan bahawa Dia sahaja yang mencipta hukum alam sebab musabab dan Dia jugalah yang berkuasa untuk menyalahinya.

Dapat difahami, peristiwa Israk Mikraj didakwa tidak logik jika ia dilihat dari sudut sebab musabab hukum adat tanpa melibatkan Tuhan yang mencipta hukum adat tersebut. Sebaliknya jika dilihat dari sudut hukum akal pada keharusannya dan wujudnya Tuhan pencipta hukum adat tadi atau seumpamanya, tidak keterlaluan untuk disebut bahawa ia perkara logik sebenarnya.

Sebagai selingan, antara silibus ASWJ adalah topik berkaitan konsep hukum adat, hukum akal dan hukum syarak. Kefahaman terhadap topik ini boleh membantu mendalami akidah ASWJ. Tetapi agak menyedihkan, saya sendiri pernah melihat video seseorang yang ada unsur tafrit (maksudnya boleh dilihat pada peranggan awal rencana ini) pada dirinya menyindir silibus ini terutama konsep hukum adat dan hukum akal menurut ASWJ.


Penulis Profesor Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:00 AM