Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin. FOTO AFP
Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Setiap kali tibanya bulan Rejab seluruh umat Islam akan membicarakan mengenai tuntutan terbesar dalam Islam iaitu berkaitan ibadah solat. Bumi Palestin pula menjadi tumpuan kerana terpilih menjadi masra (destinasi Israk Nabi Muhammad SAW) dari Makkah al-Mukarramah ke Masjid al-Aqsa.

Itulah antara kemuliaan terbesar anugerah Allah SWT kepada bumi Palestin dan sekitarnya. Apatah lagi dalam situasi sekarang mata seluruh dunia tertumpu kepada negara Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

Kemuliaan bumi Israk ini dinyatakan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra', ayat 1)

Mukjizat Israk dan Mikraj adalah peristiwa penting dalam sejarah Islam yang merujuk kepada perjalanan malam Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan kemudian naik ke langit. Mukjizat Israk dan Mikraj menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta mengukuhkan status Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya.

Peristiwa Mikraj pula dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (Malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi Sidratul-Muntaha yang di sisinya terletak Syurga Jannatul-Makwa, (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa Sidratul Muntaha itu diliputi oleh makhluk dari alam ghaib, yang tidak terhingga, Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas, Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya." (Surah al-Najm, ayat 13-18)

Israk dan Mikraj memiliki kaitan erat dengan kefarduan solat. Kefarduan solat adalah antara lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap Muslim. Sempena peristiwa besar ini, Allah SWT menetapkan solat sebagai kewajipan seluruh umat Islam.

Dalam kisah itu, Nabi menerima perintah melaksanakan solat lima waktu sehari semalam. Israk dan Mikraj juga adalah pengalaman luar biasa Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan keistimewaan dan kedudukan tinggi baginda di sisi Allah. Penetapan solat sebagai kewajipan pada saat itu menekankan pentingnya komunikasi langsung antara hamba dan Tuhannya melalui ibadah solat.

Israk dan Mikraj menegaskan solat adalah saranan utama untuk berkomunikasi dengan Allah. Melalui solat, umat Islam dapat mendekatkan diri kepada-Nya, memohon ampun dan mendapatkan petunjuk serta kekuatan spiritual. Israk dan Mikraj mengajar umat Islam tentang ketaatan kepada perintah Allah.

Kepentingan solat dalam Islam memiliki hubungan erat dengan kecelaruan masyarakat pada masa kini. Solat mengajarkan nilai-nilai moral dan etika yang mendasar seperti kejujuran, kesabaran dan kasih sayang. Pada masa kini, kecelaruan moral dan etika dalam masyarakat dapat diatasi dengan kembali kepada nilai-nilai ini yang diajarkan melalui pelaksanaan solat.

Dalam masyarakat yang sering diwarnai oleh stres, kecemasan dan tekanan, solat menjadi momen untuk meredakan beban psikologi dan mendapatkan ketenangan rohani.

Solat lima waktu memberi pengertian berkaitan solidariti dan keadilan sosial. Dalam konteks kecelaruan masyarakat yang terkadang disebabkan oleh ketidaksetaraan dan konflik sosial, pelaksanaan solat menjadi dasar membangunkan masyarakat yang adil dan saling mendokong.

Solat melibatkan pengendalian diri dan ketaatan terhadap perintah Allah. Pada masa kini, kecelaruan masyarakat dalam hal perilaku impulsif, kebergantungan pada kepuasan segera dan ketidakmampuan untuk mengendalikan diri dapat diatasi melalui pembudayaan disiplin diri melalui solat.

Solat meningkatkan kesedaran spiritual dan hubungan individu dengan Allah. Kecelaruan masyarakat dalam hal kehilangan makna hidup dan pencarian keselarasan dapat diatasi dengan merujuk kepada dimensi spiritual yang diajarkan dalam solat. Solat berjemaah di masjid, mendorong kebersamaan dan toleransi. Dalam masyarakat yang sering berpecah-belah oleh perbezaan dan konflik, solat menjadi medium memupuk kesatuan.

Manakala jika tidak menjaga solat atau meninggalkan kewajipan solat akan membawa kesan yang buruk. Antara satu akibat utama tidak menjaga solat adalah kehilangan hubungan spiritual dengan Allah. Solat adalah saranan berkomunikasi, memohon perlindungan dan mencari petunjuk daripada Allah SWT.

Solat juga benteng spiritual yang membantu seseorang menghadapi ujian dan cabaran hidup. Tanpa solat, seseorang mungkin mengalami kesulitan dalam menghadapi tekanan dan ujian hidup secara keseluruhan. Solat memberikan momen untuk muhasabag, merenung, merehatkan diri dan mencari ketenangan.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 7:00 AM