PERMULAAN tahun baharu ini wajar menjadi permulaan kepada usaha meningkatkan ilmu dan menambah baik amal ibadah.
PERMULAAN tahun baharu ini wajar menjadi permulaan kepada usaha meningkatkan ilmu dan menambah baik amal ibadah.
Prof Madya Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob

UMAT manusia seluruh dunia meraikan peralihan tahun dengan pelbagai sambutan besar-besaran sekali gus dilihat saat istimewa yang dinanti-nantikan. Peralihan ke tahun baharu pastinya signifikan kepada semua. Selain titik permulaan kepada perubahan dirancang, ia memberi harapan dan sinar dalam memotivasikan diri ke arah yang lebih baik.

Bagi umat Islam, permulaan tahun baharu ini wajar menjadi permulaan kepada usaha meningkatkan ilmu dan menambah baik amal ibadah. Pada masa sama, muhasabah perlu dilakukan terhadap ruang masa yang berlalu sepanjang tahun lalu, sama ada dihabiskan pada jalan kebaikan dan ketaatan ataupun sebaliknya.

Antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT setelah nikmat iman dan Islam adalah nikmat waktu. Tahun demi tahun sudah pun berlalu dan kesibukan urusan keduniaan banyak melalaikan manusia sehingga tidak menyedari bahawa waktu terus berlalu, usia semakin bertambah dan tempohnya semakin berkurangan. Manusia akan tersedar dia menghabiskan banyak waktu dan umur yang panjang apabila kulit mulai mengendur, gigi mulai tanggal, warna putih mulai kelihatan di rambut dan pelbagai penyakit yang mulai menghinggapi.

Namun, terdapat ramai manusia yang masih lalai dan alpa, meskipun sudah ditimpa pelbagai ujian dan cubaan, penyakit serta derita tidak membuatnya sedar akan tempoh waktu yang semakin singkat. Allah SWT mengingatkan kepada manusia akan kepentingan waktu dalam sebuah surah yang pendek dan ringkas iaitu Surah al-Asr ayat 1-3: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, nasihat-menasihati kepada kebenaran serta nasihat-menasihati kepada kesabaran." Walaupun surah ini ringkas, ia mengandungi makna yang sangat mendalam sehinggakan Imam asy-Syafii pernah berkata: "Seandainya setiap manusia merenungi kandungan surah ini maka ia sudah memadai untuk mereka."

Perbahasan mengenai waktu tidak dapat lari daripada membicarakan persoalan umur manusia. Umur atau usia adalah rangkaian waktu bermula sejak kita dilahirkan sehingga dipanggil kembali oleh Allah SWT.

Umur adalah sebahagian daripada rahsia Allah SWT. Setiap manusia memiliki tempoh umur masing-masing yang perlu diisi dengan segala kebaikan dan amal soleh.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan seorang Arab Badwi yang bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik? Maka baginda bersabda: 'Siapa yang panjang usianya dan baik amalnya.'" (Riwayat at-Tirmizi)

Sekiranya manusia yang terbaik adalah yang panjang umurnya dan

baik amalnya, akan timbul persoalan, bolehkah kita meminta kepada Allah SWT diberikan umur yang panjang? Maka jawapannya adalah boleh dan sangat digalakkan sebagaimana hadis Nabi SAW: "Daripada Anas bin Malik, beliau berkata: 'Ummu Sulaim (ibu Anas bin Malik) berkata kepada Rasulullah SAW: 'Wahai Rasulullah, doakanlah Anas'. Rasulullah kemudian berdoa: 'Ya Allah, panjangkanlah umurnya, perbanyakkanlah hartanya dan ampunilah dia,'" (Riwayat at-Tabrani)

Rasulullah SAW juga mengajarkan umatnya untuk selalu membaca doa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan aku berlindung kepada-Mu daripada dikembalikan kepada umur yang hina dan aku berlindung daripada fitnah dunia serta berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur." (Riwayat al-Bukhari)

Sahabat Nabi SAW sangat menitikberatkan pertambahan amal ibadah seiring pertambahan usia. Ibnu Mas'ud RA pernah berkata: "Aku tidak pernah menyesal atas sesuatu melebihi penyesalanku atas terbenamnya matahari dan dekatnya ajalku serta tidak bertambahnya amalku."

Nikmat usia yang diberikan oleh Allah SWT mesti dimanfaatkan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW juga mengingatkan kita tentang usia yang boleh menyebabkan kita lalai sekiranya tidak diuruskan dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW: "Dua nikmat yang banyak dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah waktu sihat dan waktu lapang." (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita: "Semakin bertambah usia seseorang semakin bertambah dua perkara iaitu cinta harta dan berangan-angan panjang umur." (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, Rasulullah SAW berpesan kepada kita untuk menjaga lima perkara sebelum datangnya lima perkara, sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Daripada perbincangan ayat al-Quran dan hadis ini, dapat disimpulkan bahawa umur terbaik ialah umur mempunyai barakah iaitu umur yang setiap kali bertambah ia sentiasa diiringi dengan bertambahnya amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT. Ibarat kata pepatah, 'ikutlah resmi padi, semakin tua semakin berisi, semakin tua semakin menunduk.' Seiring pertambahan usia sepatutnya semakin bertambah keteguhan iman, keindahan akhlak dan kekayaan amal soleh.

Dalam mengejar keberkatan pertambahan usia, terdapat panduan yang banyak di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Pertama, keberkatan dalam umur kita boleh diraih dengan sentiasa meningkatkan iman dan takwa kepada Allah SWT dan kemudian menjaganya secara konsisten atau istiqamah sebagaimana firman Allah SWT: "Jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Surah al-A'raf: 96)

Kedua, keberkatan umur akan kita peroleh dengan sentiasa memperbanyak istighfar, menyesal dosa dilakukan serta memohon keampunan daripada Allah SWT. Firman-Nya: "Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (berterusan) kepadamu sampai waktu ditentukan dan Dia akan memberikan kepada setiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Dan jika kamu berpaling. sesungguhnya Aku takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat." (Surah Hud: 3)Ketiga, keberkatan umur akan kita peroleh dengan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT dan memperbanyakkan amal kebaikan, khususnya dengan banyak berbakti kepada ibu bapa. Daripada Salman RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada yang boleh menolak qada' kecuali doa dan tidak ada yang menambah umur kecuali berbakti (kepada ibu bapa)." (Riwayat at-Tirmizi)Keempat, cara untuk mendapatkan keberkatan dalam usia kita adalah dengan mengeratkan hubungan silaturahim sebagaimana yang disebutkan dalam hadis daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang hendak diluaskan rezekinya dan diberi keberkatan usianya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim." (Riwayat Muslim)Kelima, di antara cara meraih keberkatan umur adalah dengan menghidupkan dan memanfaatkan waktu pagi. Rasulullah SAW pernah mendoakan khusus buat umatnya yang sangat dikasihi: "Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku pada waktu paginya." (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)Keenam, antara rahsia untuk mendapatkan keberkatan umur adalah dengan menjaga hubungan baik sesama jiran tetangga. Hal ini dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Menyambung tali silaturahim, berbudi pekerti yang baik dan berbuat baik dengan jiran tetangga, kedua-duanya akan memakmurkan tempat tinggal serta menambahkan (keberkatan) umur." (Riwayat Ahmad).

Kesemua cara untuk meraih keberkatan usia ini adalah panduan daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Tahun baharu ini pastinya menjanjikan 1,001 harapan dan cita-cita bagi semua manusia. Persiapan awal perlu dilakukan bagi menyediakan diri sebaik-baiknya dalam menghadapi mehnah dan tribulasi pada masa hadapan. Sebagai umat Islam, kita wajib merancang dan berazam mengubah diri kepada yang lebih baik, meningkatkan ilmu pengetahuan serta menambahkan amal ibadah.

Masa yang ada pastinya akan terus berlalu pergi tanpa menunggu kita, namun bagi umat Islam, bertambahnya masa dan usia kita perlu seiring dengan bertambahnya amal soleh serta ketaatan kepada Allah SWT.

Penulis Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (Zawaf) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 5:59 AM