BERSYUKURLAH kita masih diberi umur panjang pada setiap hari. GAMBAR hiasan.
BERSYUKURLAH kita masih diberi umur panjang pada setiap hari. GAMBAR hiasan.
Fadly Samsudin

USIA muda dan tubuh badan yang kuat bukan jaminan untuk kita mampu hidup sehingga mencapai usia tua.

Ulama ada mengatakan manusia itu hanya kumpulan hari-hari. Ada manusia masih tidak sedar ‘modal’ harinya semakin berkurangan.

Betapa hinanya apabila saat dijemput Allah SWT, kita dalam keadaan melakukan maksiat atau sedang berseronok hingga lupa tanggungjawab diri sebagai seorang hamba.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan digunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang, tetapi digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan.” (Riwayat Ahmad)

Baginda mengajar umatnya bagaimana hari-hari yang dilalui itu boleh menjadi indah dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

Daripada Ummu Salamah, beliau berkata, Nabi Muhammad SAW jika masuk waktu pagi, Baginda akan memulakannya dengan doa: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.” (Hadis riwayat At-Thabarani dalam Al-Mu’jam Ash-Shaghir dengan sanad yang disahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani)

Kita diperintahkan Allah SWT untuk meminta walaupun Dia mengetahui segala keperluan dan hajat kita.

Perkara itu dinyatakan Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah Al-Baqarah, ayat 186)

Dunia ini bukan tempat untuk kita ‘menikmati’ sepuas-puasnya kehidupan ini. Dunia ini adalah tempat percaturan manusia untuk mencari bekalan selepas kematian.

Ramai tidak menghiraukan urusan mengingati kematian seolah-olah merasakan kematian itu ditulis untuk orang lain. Akibatnya, mereka tidak bersungguh-sungguh melakukan amal kebajikan dan memperbaiki diri.

Rasulullah SAW menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

Berbeza dengan perasaan ‘bercita-cita’ untuk mati, situasi itu membawa seseorang kepada perasaan putus asa dan tidak reda menerima ujian.

Disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah SWT mencabut daripada dalam hati musuh rasa kehebatan Islam, lalu Allah SWT akan jadikan bagi kamu satu penyakit wahan.”

Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah wahan itu ya Rasulullah?”

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.” (Riwayat Muslim)

Mengingati mati bukannya mahu manusia meminta lekas mati atau meninggalkan segala urusan dan tanggungjawabnya di dunia.

Sebaliknya, mengingati kematian mendorong manusia menetapkan matlamat yang jelas hidupnya di dunia dan akhirat. Manusia yang sering mengingati mati menyedari Allah SWT sentiasa mengawasi setiap tindakan yang dilakukannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetap ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu lakukan (serta membalasnya).” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 8)

Kematian setiap Muslim itu bergantung kepada amalan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan, sesungguhnya amalan itu bergantung dengan penutupnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Dikhuatiri jika tidak sempat bertaubat, kita akan mati dalam keadaan sia-sia.

Sehubungan itu, kita perlu sentiasa mengingati hal berkaitan kematian diiringi amalan antaranya memperbanyakkan istighfar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 9:40 AM