Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Dr Azlan Shaiful Baharum

TANDA Allah SWT kasih kepada hamba-Nya adalah Dia memberi pertolongan, rahmat dan keberkatan dalam kehidupan.

Terdapat lima keberkatan yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya iaitu umur, rezeki, ilmu pengetahuan, keberkatan pada kehidupan berkeluarga serta keberkatan berjemaah.

Umur adalah sebahagian masa yang kita lalui di dunia ini. Ada mengiktiraf masyarakat Jepun antara manusia yang mempunyai umur paling panjang di dunia.

Manusia tidak mengetahui sampai bila mereka akan hidup di dunia ini. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Manusia juga tidak dapat mengurangkan atau menambahkan jangka hayatnya.

Adakah kita hanya berbangga dengan peningkatan usia, tetapi ia tidak seiring dengan kebaikan yang kita lakukan?

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah yang menciptakan kamu daripada tanah, sesudah itu ditentukannya ajal (kematianmu) dan ada lagi suatu ajal yang ditentukan (untuk berbangkit) yang ada pada sisi-Nya (yang Dia sendirilah yang mengetahuinya), kemudian kamu masih ragu-ragu (tentang berbangkit itu).” (Surah al-An’am, ayat 2)

Apabila tiba ajal seseorang, dia pasti akan mati walaupun dia berusaha mengelakkannya.

Begitulah sebaliknya, manusia tetap tidak akan mati walaupun dia berusaha mempercepatkan kematiannya.

Allah SWT menegaskan: “Tiap-tiap umat mempunyai batas waktunya, maka jika datang waktunya, mereka tidak akan dapat melewatkannya walau sesaat pun dan tidak dapat (pula) menyegerakannya.” (Surah al-A’raf, ayat 34)

Rasulullah SAW melarang umatnya meminta kematian.

Beliau bersabda: “Janganlah salah seorang di antara kamu mengharapkan kematian dan jangan pula berdoa agar cepat mati sebelum kematian itu benar-benar datang kepadanya. Sesungguhnya jika salah seorang di antara kamu mati, maka terputuslah amalannya. Dan sesungguhnya tidak ada yang dapat menambah umur seorang mukmin kecuali kebaikan yang dilakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Umur adalah amanah besar yang mesti dipelihara. Ia harus dimanfaatkan dengan pelbagai kebaikan dan amalan soleh.

Panjang atau pendek usia itu bukan ukurannya. Apa yang lebih penting adalah kualiti amalan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambahkan rezekinya, maka hendaklah ia berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya dan mengeratkan silaturahim.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ketika ditanya tentang siapa orang yang paling baik, Rasulullah SAW menjawab: “Iaitu orang yang panjang umurnya dan baik amalannya. Sedangkan orang paling buruk adalah mereka yang panjang umurnya tetapi buruk amalannya.” (Ha-
dis Riwayat Ahmad)

Setiap Muslim juga perlu sedar kematian akan datang tanpa diduga. Sudah menjadi fitrah manusia mencintai harta dan kesenangan dunia.

Mereka juga menyukai umur yang panjang, bahkan semakin usia bertambah, keinginan terhadap hal itu semakin bertambah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ketika anak Adam semakin tua, dua perkara semakin besar juga bersamanya: cinta harta dan panjang umur.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Orang yang banyak kebaikannya, setiap kali usianya bertambah, pahalanya juga bertambah. Darjatnya di sisi Allah SWT juga semakin tinggi.

Sebaliknya, seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya.

Sesiapa yang menghabiskan masa hidupnya untuk kebaikan, dia akan menjadi manusia yang beruntung dan berjaya.

Syeikh Abdul Rauf al-Munawit menjelaskan: “Oleh sebab keadaan seseorang itu bertambah dan meningkat dari satu kedudukan kepada kedudukan lain hingga dia berasa betapa dekatnya dia kepada Allah.”

Orang beriman akan berusaha mencari bekalan akhirat dan menambahkan amalannya.

Antara amal soleh paling berkesan untuk memanfaatkan masa seperti disarankan Baginda SAW ialah memberi sedekah, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, berbakti kepada ibu bapa dan mengeratkan silaturahim sesama keluarga dan ukhuwah sesama insan.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 11:17 AM