SEBAGAI seorang Muslim, penghijrahan perlu disokong supaya mereka istiqamah dan sentiasa terdorong untuk menjadi lebih baik.
SEBAGAI seorang Muslim, penghijrahan perlu disokong supaya mereka istiqamah dan sentiasa terdorong untuk menjadi lebih baik.
Datuk Dr Luqman Abdullah

Hijrah dalam Islam terkenal sebagai suatu fenomena perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain demi menyebarkan ajaran Islam. Selain itu, hijrah juga boleh dianggap sebagai satu proses transformasi dari satu keadaan ke satu keadaan kehidupan yang lebih baik.

Dalam konteks semasa, hijrah juga boleh disebut sebagai perubahan sikap atau perangai seseorang individu ke arah yang lebih baik dengan mengikuti batasan syariat. Sifat seseorang individu adalah dinamik dan sentiasa berubah demi kelangsungan kehidupan. Hijrah merupakan keperluan dalam kehidupan manusia supaya dapat memperbaiki taraf kehidupan, diri dan masyarakat ke tahap yang lebih baik. Sudah pasti setiap perubahan yang dilakukan bagi mendapatkan keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT.

Sebagaimana Firman Allah SWT:  "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Baqarah,  218)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya melakukan perubahan dalam diri. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki untuk menimpakan sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya." (Surah al-Raʻd,  11)

Dalam sejarah dan tamadun Islam juga menunjukkan hijrah yang dilakukan oleh sahabat baginda SAW. Sebagai contoh, Saidina Umar al-Khattab yang melakukan hijrah daripada kehidupan jahiliyah kepada kehidupan yang mengesakan Allah SWT dan memperakui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT. Lalu beliau digelar sebagai al-Faruq, iaitu seorang yang mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Terdapat juga sahabat lain seperti 'Abd al-Rahman bin 'Auf yang melakukan jihad harta. Beliau telah menginfakkan hampir keseluruhan hartanya demi memajukan dan memartabatkan agama Islam.

Maka hijrah pada hari ini lebih identik dengan penghijrahan diri kepada yang lebih baik. Hijrah bukan sahaja melibatkan aspek material, bahkan hijrah juga melibatkan perubahan berbentuk fizikal dan juga rohani. Faktor yang menyebabkan seseorang itu ingin berhijrah juga pelbagai. Antaranya, faktor inginkan perubahan yang lebih baik dalam diri, penelitian terhadap agama Islam, nasihat dan teguran daripada orang sekeliling dan pelbagai lagi. Contohnya, seorang saintis terkenal berhijrah daripada seorang penganut Kristian kepada penganut agama Islam iaitu Dr Maurice Bucaille. Penghijrahan beliau berlaku setelah melakukan kajian terhadap jasad Firaun di Mesir.

Apabila terdapat dalam kalangan masyarakat yang cuba untuk berhijrah, maka perbuatan tersebut wajar disokong dan dibantu oleh semua pihak. Bantuan tersebut boleh berupa material mahupun spiritual. Bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan akan mendatangkan kerahmatan daripada Allah SWT, lebih-lebih lagi apabila penghijrahan tersebut melibatkan keinsafan seseorang untuk mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah SWT.


   

Mentaati perintah Allah adalah satu kewajipan

Sebagai seorang Muslim, setiap perintah wajib dilaksanakan dan setiap larangan wajib ditinggalkan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: "Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." (Surah al-Aḥzāb,  36)

Al-Syaukani  menjelaskan bahawa tidak boleh bagi orang yang beriman dengan Allah untuk memilih mana-mana hukum Allah menurut apa yang dia suka. Dia wajib mendengar, taat dan patuh terhadap apa sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Sifat orang yang beriman sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah dan Rasul dalam segenap sudut kehidupan. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT:  "Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya." Mereka berkata lagi: "Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali." (Surah al-Baqarah,  285)


   

Nasihat kepada penggiat seni

Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar cerita penghijrahan diri artis dan penggiat seni tanah air. Fenomena ini merupakan satu suasana yang baik kerana setiap Muslim dituntut untuk berhijrah kepada yang lebih baik. Bagi mengekalkan hijrah yang telah dilakukan memerlukan sokongan dan dokongan daripada orang sekeliling.

Allah SWT berfirman: "…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Maidah,  2)

Imam al-ṬAbrani  menjelaskan orang yang beriman seharusnya saling bantu membantu melakukan kebaikan dan kebajikan serta bersama melaksanakan perintah Allah SWT. Orang yang beriman tidak seharusnya melanggar perintah dan ketetapan  Allah.

Penghijrahan sebahagian artis dan penggiat seni seharusnya disambut baik oleh penggiat seni yang lain termasuk pengarah dan kru penerbitan bahkan pendirian mereka untuk berhijrah menjadi lebih baik seharusnya dihormati bukan didiskriminasi dan dipinggirkan. Sebagai seorang Muslim, penghijrahan mereka perlu disokong supaya mereka istiqamah dan sentiasa terdorong untuk menjadi lebih baik. Jika tiada sokongan, ditakuti mereka akan kembali kepada keadaan sebelumnya dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

Perubahan diri seseorang insan ke arah yang lebih baik adalah satu yang digalakkan dan perlu disokong oleh semua pihak termasuk rakan-rakan terdekat dan mereka yang di sekitarnya. Rakan-rakan penggiat seni perlu menghormati hak beragama seseorang yang mahu berhijrah kepada suasana dan tingkah laku yang lebih baik. Penghijrahan mereka dilakukan atas pilihan mereka sendiri dan pendirian tidak boleh diganggu gugat kerana memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan patuh kepada syariat adalah dituntut ke atas setiap individu Muslim. Perbuatan menghalang atau menyekat kebebasan mereka untuk memilih jalan yang lebih diredai tidak dibenarkan sama sekali bahkan jika dilakukan akan membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah. Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita untuk sentiasa berada di atas jalan kebaikan. Wallahu'alam.


 

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan (Dipetik daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 6:01 AM