GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

MASYARAKAT jahiliah membunuh anak perempuan kerana malu dan menganggap mereka lemah serta tidak setanding anak lelaki yang boleh diajar untuk berperang.

Perkara itu dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Namun, pada hari ini, tidak kira anak lelaki atau perempuan yang lahir kerana dosa ibu bapanya, mereka dibunuh dengan kejam serta dinafikan hak untuk menikmati kehidupan.

Sedangkan haiwan menyayangi anaknya. Cuba lihat bagaimana kucing membawa anaknya ke hulu dan ke hilir bagi memastikan anaknya berada dalam keadaan selamat.

Antara sebab berlaku kes pembuangan bayi ialah masyarakat tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Persepsi masyarakat menganggap hubungan bebas sebagai cara hidup moden perlu diperbetulkan.

Ramai pasangan anak muda melakukan perkara dilarang Islam sebelum berkahwin seperti berpegangan tangan, berpelukan, malah tanpa segan silu bercumbuan di depan khalayak ramai.

Semua gejala itu adalah bibit-bibit permulaan zina. Allah mengingatkan kita supaya sentiasa menjauhi perkara yang boleh membawa kepada zina.

Fenomena buruk itu boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanterasnya.

Pihak berkuasa seharusnya sentiasa mengingatkan anak muda menjaga tingkah laku khususnya di hadapan khalayak umum. Peranan itu menjadi lebih efektif jika mendapat sambutan daripada media. Bongkarkan kesan buruk daripada perlakuan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Semua itu bertujuan menyelamatkan generasi muda daripada terjebak kancah maksiat yang dimurkai Allah.

Ibu bapa juga berperanan besar dalam hal berkenaan. Anak-anak di bawah jagaan mereka perlu sentiasa dalam perhatian dan penelitian.

Sememangnya, terdapat anak-anak hari ini pandai menyembunyikan kesalahan mereka di hadapan orang tua. Namun, ibu bapa perlu lebih bijak daripada mereka.

Kenali dengan siapa anak berkawan. Ia penting kerana rakan adalah tempat mereka menunjukkan identiti sebenar.

Dalam hal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, Islam sejak awal memberi garis panduan kepada ibu bapa.

Asingkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan. Walaupun mempunyai hubungan adik-beradik, mereka tidak boleh bergaul terlalu bebas.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perintah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukul mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur mereka.” (Hadis riwayat Ahmad)

Selain itu, Islam turut memberi penerangan mengenai larangan percampuran antara lelaki dan perempuan. Contohnya, keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki dalam keadaan solat berjemaah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sarjana Islam sepakat, dosa zina adalah antara dosa besar. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah fahishah (perbuatan yang keji) dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang).” (Surah al-Isra’, ayat 32). Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan bahawa yang dimaksud dengan lafaz ‘fahishah’ ialah dosa yang besar.

Zina adalah perbuatan keji, sedangkan Islam membuka jalan menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan iaitu dengan bernikah.

Justeru, semua pintu yang membuka ruang seseorang terjebak dalam dosa zina perlu ditutup serapat-rapatnya.

Masyarakat perlu sedar mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bersama. Akibat zina, ia boleh menyebabkan lahirnya masyarakat bercampur nasab keturunannya serta memberi gambaran manusia hanya mengikut telunjuk nafsu mengatasi ketentuan Ilahi.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 10:53 AM