KUALA LUMPUR 02 OCTOBER 2017. Kediaman Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) sudah siap sepenuhnya di Alam Damai,Cheras. NSTP/SITI FATIMAH NASIR
KUALA LUMPUR 02 OCTOBER 2017. Kediaman Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) sudah siap sepenuhnya di Alam Damai,Cheras. NSTP/SITI FATIMAH NASIR
Suriany Awaludin

Saya berkahwin dengan seorang duda. Dia pernah membeli sebuah rumah ketika bersama bekas isterinya sembilan tahun lalu.

Kini suami masih membayar rumah itu melalui potongan gajinya pada setiap bulan. Bagaimanapun, rumah itu didiami bekas mentua suami manakala saya, suami dan anak tinggal di rumah sewa.

Pada masa akan datang sekiranya suami meninggal dunia, adakah saya berhak menuntut bahagian rumah itu?

Rose, Teluk Intan

Masyarakat Melayu Islam di Malaysia kebanyakannya didedahkan dengan pengetahuan berhubung harta sepencarian atau harta milik bersama selagi mereka hidup bersama.

Namun, tidak ramai pasangan suami isteri mengambil tahu atau faham konsep harta sepencarian yang diiktiraf di bawah Undang-Undang Keluarga Islam.

Ini termasuk mengenai sejauh mana hak masing-masing wujud dan boleh dituntut di mahkamah.

Dalam seksyen 2 berkenaan tafsiran di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri, harta sepencarian ertinya harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan hukum syarak.

Ini bermaksud, apa-apa saja harta sama ada alih atau tak alih yang diperoleh suami isteri dalam tempoh perkahwinan adalah harta sepencarian yang mewujudkan hak bersama mereka dalam hartaitu.

Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagaian daripda Undang-Undang Islam di Malaysia.

Dalam al-Quran ada menyebut: “Orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan.” (Surah an-Nisaa’, ayat 32)

Dalam ayat itu, hak wanita dalam harta benda itu bergantung kepada apa yang diusahakan.

Bagaimana hak suami dan isteri itu dinilai jika berlaku perceraian dan apakah faktor yang diambil kira dalam menentukan kadar yang berhak pada suami atau isteri?

Bagaimana pula jika suami atau isteri itu sudah berkahwin lain manakala harta yang diperoleh dalam perkahwinan terdahulu masih dibayar oleh salah satu pasangan?

Apakah bekas isteri masih mempunyai hak ke atas harta itu serta bagaimana pula hak isteri baru?

Dari perspektif undang-undang, Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukkan, mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintahkan supaya aset yang diperoleh pada masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu pada masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak itu.

Seksyen 122 (2) pula merujuk kepada faktor yang diambil kira oleh mahkamah dalam pembahagian harta sepencarian berkenaan antaranya:

• Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu.

• Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang dilakukan bagi manfaat bersama mereka.

• Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada Seksyen 122( 2), mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua-dua pihak seperti dinyatakan dalam seksyen 122(3).

Dalam Seksyen 122(4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Sehubungan itu, bekas isteri suami puan berhak ke atas rumah yang dibeli dan dibayar oleh suami puan setakat mana tempoh perkahwinan mereka berkuat kuasa iaitu setakat sembilan tahun lalu.

Kadar bahagian untuk bekas isteri pula bergantung kepada sumbangan untuk memperoleh rumah berkenaan sama ada bekas isteri turut sama menyumbang dalam bentuk kewangan, tenaga atau lain-lain ke atas rumah itu.

Jika ada, ia akan diambil kira. Mana-mana pihak sama ada suami atau bekas isterinya yang membuat sumbangan lebih banyak dan besar bahagiannya lebih besar.

Seterusnya, jika berlaku kematian kepada suami setelah beberapa tahun berkahwin dengan puan, rumah itu akan menjadi harta pusaka suami.

Semua waris yang layak termasuk isteri semasa berhak mendapat bahagian masing-masing mengikut hukum faraid.

Bagaimanapun, sebelum rumah itu diselesaikan secara pembahagian pusaka, penyelesaian mengenai se-barang tuntutan harta sepencarian hendaklah diselesaikan terlebih dahulu.

Ini bermakna bekas isteri suami puan boleh membuat tuntutan hak dalam pembahagian harta sepencariannya terdahulu.

Selepas selesai pembahagian harta sepencarian, barulah rumah itu akan dibahagikan mengikut hukum faraid.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 2:01 PM