Aisyah bersama suaminya, Alif Teega. FOTO Genes Gulitah
Aisyah bersama suaminya, Alif Teega. FOTO Genes Gulitah
Georgie Joseph


Shah Alam: Pempengaruh dan usahawan, Aisyah Hijanah, 29, lega dan bersyukur apabila syarikat Hijanah yang sebelum ini diusahakan bersama suami, Alif Teega kini menjadi miliknya.

Aisyah atau nama sebenarnya Aisyah Hijanah Azhari berkata, perbicaraan harta sepencarian itu akhirnya selesai di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.

"Hari ini kita baru saja habis perbicaraan untuk kes harta sepencarian yang kita sudah persetujui sebelum ini. Hari ini selesai sudah semua dan disahkan oleh hakim.

"Dengan keputusan itu, Alif juga menepis tuduhan bahawa saya tamak kerana menurutnya, saya memang layak ambil alih perniagaan itu. Lagipun dia sendiri menguruskannya selama ini.

"Apa yang kita buat hari ini bukan menunjukkan isteri tamak, nak bolot semua. Selayaknya saya dapat sepenuhnya harta ini. Benda ini sepatutnya dibuat sebelum poligami. Isteri ada hak minta apa yang dia nak," katanya.

Sementara itu, Alif berkata, isteri keduanya, Fatin juga memiliki bahagian sendiri dalam pembahagian harta antara mereka.

"Rezeki dia ada. Tak semestinya kita bagi (Aisyah) semuanya, dia (Fatin) tidak dapat apa. Dia (Aisyah) sesuai dapat apa yang dia dapat. Takkan yang diusahakan ini, yang kedua nak merasa. Biarlah Aisyah uruskan. Dia (Fatin) ada rezeki dia. Ada bahagian dia," katanya.

Terdahulu, Aisyah mendedahkan segala harta sepencarian bersama suami sudah dipindah milik sepenuhnya kepada dirinya. Harta sepencarian dimaksudkan termasuk pegangan perniagaan tudung, rumah, kereta dan aset-aset lain.

Aisyah juga berkongsi khabar gembira apabila bakal melahirkan anak ketiganya pada Mac ini.

"Alhamdulillah bulan depan saya akan melahirkan bayi perempuan. Pada awalnya pergerakan bayi sedikit perlahan. Akhir-akhir ini semakin baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 2:27 PM