Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Adakah amalan kebaikan seorang suami tidak akan diterima Allah SWT selagi dia tidak memberi nafkah kepada isteri dan anaknya?

Hukum memberi nafkah kepada isteri adalah wajib ke atas suami. Antara dalilnya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (men-jadi kewajipan) ke atas seorang bapa itu (untuk menyediakan) rezeki untuk mereka (ibu-ibu) dan juga pakaian mereka dengan cara yang makruf. (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Berdasarkan ayat itu, ulama mengatakan wajib ke atas seorang suami untuk memberikan nafkah kepada isterinya.

Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini berkata: “Perintah melakukan sesuatu itu adalah satu larangan terhadap meninggalkannya.”

Sehubungan itu, perintah untuk seorang suami memberikan nafkah kepada isteri apabila ia ditinggalkan, maka termasuk dalam perkara yang dilarang.

Imam Ibn al-Munzir Rahimahullah berkata: “Telah ijma’ (sepakat) para ulama ke atas seorang lelaki itu (kewajipan) untuk memberikan nafkah ke atas anak-anaknya yang tidak memiliki harta.

“Bahkan, meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa.”

Sabda Nabi SAW, daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.” (Riwayat Abu Daud - 1692)

Berhubung persoalan yang diajukan itu, maka kami tidak menjumpai sebarang nas yang boleh dijadikan sebagai sandaran bagi kenyataan itu.

Oleh itu, sekiranya sesuatu amalan dibuat oleh seorang suami itu dilakukan dalam keadaan ikhlas kerana Allah SWT serta bertepatan dengan sunah Nabi SAW, maka ia dikira amalan yang diterima dan mendapat pahala.

Sebaliknya, jika perbuatannya tidak memberi nafkah kepada isteri dan anaknya, ia adalah satu dosa yang perlu ditinggalkannya.

Kami nasihatkan kepada semua suami di luar sana supaya jangan sesekali meninggalkan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak masing-masing.

Pimpinlah keluarga anda dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Baca dan hayatilah doa yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak-pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 3:20 PM