GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Oleh Mohd Izuddin Mohd Kassim

Islam sentiasa menjaga hak wanita atau isteri. Menurut Islam, seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suami apabila termeterainya akad pernikahan yang sah. Pemberian nafkah kepada isteri adalah tanggungjawab suami walaupun ia bercerai dengan isterinya, seperti menyediakan perbelanjaan hariannya, keperluan anak-anak, pakaian dan tempat tinggal.

Berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud:  "Kaum lelaki itu adalah pemimpin (yang bertanggungjawab) terhadap kaum wanita kerana Allah melebihkan sebahagian daripada mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) kerana mereka (lelaki) menafkahkan sebahagian daripada harta mereka..." (Surah An Nisa, ayat 24)

Persoalannya, apakah keutamaan dalam pemberian nafkah apabila suami berkenaan masih mempunyai orang tua yang perlu disantuni, adakah si suami boleh mengabaikan keperluan hidup dan nafkah isterinya semata-mata mendahulukan nafkah ibu bapanya? ataupun sebaliknya.

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, kita perlu fahami bahawa Islam menyediakan panduan secara tuntas tentang urutan nafkah mengikut keutamaan yang patut didahulukan oleh si suami,

Sabda Rasulullah SAW: "Mulakan nafkah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya." (Hadis riwayat Shahih Muslim)

Justeru, berdasarkan hadis tersebut, kita dapat simpulkan setiap perkara yang membabitkan soal keagamaan maka ia sudah tentu terbina atas dalil dan bukti yang jelas melalui dokongan wahyu, bukannya semata-mata berpaksikan logik akal fikiran manusia sahaja, namun syarak tidak menolak pertimbangan akal secara langsung.

Jika kita cuba memahami hadis ini secara literal, maka kita akan mula mempersoalkan adakah Rasulullah SAW tidak mengambil berat berkenaan kedudukan ibu bapa dalam pembahagian nafkah dengan mendahulukan isteri? Ataupun ulama sudah silap berijtihad dalam menyusun uratan nafkah tersebut?

Jawapannya mustahil pada akal yang waras, kita mengandaikan Rasulullah SAW mengabaikan kedudukan ibu bapa, bahkan ulama yang menyusun urutan nafkah menurut keutamaan berdasarkan ijtihad mereka direalisasi setelah mengkaji dan meneliti pendalilan secara holistik. Ia bukan bermaksud Rasulullah mengambil berat soal kedudukan wanita dalam islam terutama dalam soal pembahagian nafkah dan Rasulullah SAW menafikan kedudukan ibu bapa suami di sebalik pembahagian tersebut. Mereka juga berhak di sebalik pembahagian nafkah tersebut tetapi soalnya yang manakah perlu diutamakan apabila status lelaki tersebut sudah berubah. Apabila kita sanggup memperisterikan seorang wanita maka wanita tersebut sudah menjadi tanggungjawab kita secara tidak langsung, namun ibu bapa adalah tanggungjawab kita sejak kita dilahirkan sama ada lelaki itu masih bujang atau sudah berkahwin.

Para fuqaha empat mazhab sudah bersepakat bahawasanya wajib suami menunaikan nafkah kepada isterinya berdasarkan harta pencariannya sendiri, bahkan wajib baginya mendahulukan nafkah isterinya daripada ahli keluarganya yang lain selama mana si isteri tidak melakukan perkara yang boleh menyebabkan ia gagal untuk mendapatkan alimoni atau nafkah daripada suami. Manakala kewajipan nafkah ini dapat direalisasikan suami setelah ia berpuas hati dengan tanggungjawab dan layanan isterinya.

Al-imam Nawawi menjelaskan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini terdapat banyak manfaat yang dapat kita jadikan pedoman, antaranya Rasulullah SAW menjelaskan urutan dan susunan nafkah yang sepatutnya diterima oleh mereka yang berhak menerimanya. Selain itu apabila bertembung soal tuntutan hak dengan anjuran kebaikan maka didahulukan yang terlebih utama iaitu  tuntutan hak. Manakala Al-imam Khattab juga sependapat dengan Imam Nawawi  menyatakan jika kita perhatikan hadis tersebut dengan insaf kita akan dapati dengan jelas Rasulullah SAW sudah memberi panduan kepada umat tentang siapakah yang patut didahulukan apabila membicarakan soal tuntutan hak sebagaimana disebutkan dalam Kitab Kawqab Al-Wahhaj Fil Syarhi Sohih Muslim bagi Syeikh Amin Al-Hariri.

Imam Nawawi dalam kitabnya Raudhah At-Tholibin m/s (9/93): Apabila seseorang individu mempunyai tanggungan nafkah yang banyak, maka perlu diteliti dengan terperinci terlebih dahulu faktor hasil pencariannya itu adakah mencukupi untuk menyara dan memberikan nafkah kepada ahli keluarganya. Jika ia hanya mencukupi sekadar untuk diri sendiri dan perbelanjaan nafkah salah seorang daripada ahli keluarganya sahaja, maka didahulukan nafkah tersebut kepada isterinya kerana nafkah isteri adalah tuntutan utama bagi dirinya, bahkan pembahagian nafkah kepada isteri sama sekali tidak akan gugur walaupun berlalunya masa yang agak panjang, tersempitnya nista kehidupan dan isteri mampu bekerja mencari perbelanjaan untuk dirinya.

Sehubungan itu menurut Akta (303) undang-undang keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 di bawah (Seksyen 59); Kuasa Mahkamah memerintahkan nafkah bagi isteri, dan kesan nusyuz.

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Kesimpulannya walaupun dihimpit dengan nista kehidupan yang pada akhirnya menyebabkan tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami, maka lakukanlah rundingan dengan pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah tersebut. Islam menyediakan pelbagai alternatif kepada umatnya yang kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan tanggungjawab dengan wujudnya Baitulmal dan pusat zakat. Saya berpesan kepada bakal suami dan suami di luar sana, tolonglah ambil serius akan perkara ini, janganlah melaksanakan tanggungjawab anda selaku suami dengan sambil lewa kerana anda juga yang akan terbeban dengan dosa di akhirat kelak. Renung-renungkan dan selamat beramal. Saya juga menyeru kepada anak-anak muda di luar sana untuk turut serta menyemarakkan lagi wadah penyebaran ilmu pengetahuan berkaitan keagamaan dengan mengikuti program yang dianjurkan oleh pihak kami di Liqa' Asyairah.

Penulis Pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir dan Panel Liqa' Asya'irah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 8:40 AM