KEDIAMAN tampak segar dengan adanya elemen pokok hidup yang menjalar.
KEDIAMAN tampak segar dengan adanya elemen pokok hidup yang menjalar.
Hafiz Ithnin


KEDIAMAN atau premis perniagaan yang dihiasi tanaman semula jadi sememangnya boleh menjadi penyeri dan mampu memberikan aura tersendiri kerana ia lebih nampak tenang serta mendamaikan.

Sebelum ini, tular apabila ada dalam kalangan kita yang mula menjadikan aktiviti menghias kediaman dengan tumbuhan hidup di dalam pasu bagi mengisi waktu santai kerana 'terperangkap' di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebenarnya selain menanam pokok di dalam pasu, tumbuhan jenis menjalar juga mempunyai daya tarikan tersendiri. Apatah lagi, jika anda tinggal di kediaman jenis teres.

Berkongsi mengenai tanaman pokok jenis menjalar, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Kompleks Pertanian Serdang, Muhamad Adli Salihin Samsudin berkata, terdapat pelbagai jenis pokok hiasan daripada kategori menjalar ataupun melekat pada dinding.

Jelasnya, selain memberikan elemen yang menarik kepada ruangan dekorasi di kawasan kediaman, ia juga mampu memberikan kesan yang unik.

"Bagaimanapun, terdapat dua kategori pokok hiasan daripada jenis itu iaitu memanjat di struktur yang disediakan khas seperti pergola ataupun gerbang dan juga jenis memanjat dan melekat di dinding.

 TERDAPAT pelbagai jenis pokok hiasan yang boleh ditaman dalam rumah.
TERDAPAT pelbagai jenis pokok hiasan yang boleh ditaman dalam rumah.

"Kategori pokok memanjat di struktur khas seperti pergola dan gerbang yang biasa digunakan di negara kita seperti pokok akar dani (Quisqualis indica), pokok kesidang (Vallaris glabra), pokok bunga kertas (Bougainvilla spp), pokok kerawit (Artabotrys hexapetalus), pokok cissus (Cissus sicyoides), pokok markisa (Passiflora edulis), pokok bauhina (Bauhinia kockiana) dan pokok bunga telang (Clitoria ternatea).

"Bagi kategori pokok melekat di dinding mempunyai sistem akar perekat yang mampu melekat dan tidak memerlukan sokongan untuk melekat seperti

pokok climbing fig (Ficus pumila), pokok monstera (Monstera spp) dan pokok duit-duit (Epipremnum aureum)," katanya.

Biarpun berada dalam dua kategori berbeza, namun penjagaannya sama:

1. Buang daun yang kering dan berpenyakit.

2. Buang dahan atau ranting yang patah dan kering.

3. Buang atau pangkas pokok yang boleh mengganggu pemandangan.

4. Lakukan pembajaan tiga hingga empat bulan sekali.

5. Lakukan siraman jika perlu.

6. Lakukan kawalan serangan penyakit dan serangga perosak dengan terkawal

Dalam masa yang sama orang ramai boleh mempraktikkan aktiviti penyelenggaraan tanaman hiasan dengan menggunakan peralatan perkebunan

yang bersesuaian dan juga pakai sarung tangan selain pelitup muka sebagai langkah pencegahan kendiri.

Jika menggunakan racun serangga untuk mengawal serangan perosak dan penyakit, pastikan menggunakan dos yang disyorkan dan tidak berlebihan.

Selain itu amalkan untuk membersihkan kawasan selepas melakukan aktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 6:47 AM