KEMAMPUAN Kirah dalam sukan permotoran mendapat perhatian ramai.
KEMAMPUAN Kirah dalam sukan permotoran mendapat perhatian ramai.
Muhamaad Razis Ismail


Pada usia yang baharu mencecah belasan tahun, pelumba motosikal wanita negara ini sudah berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, apabila menjadi wanita pertama dari Asia beraksi dalam Kejohanan Wanita Eropah (WEC) baru-baru ini.

Ini selepas bakat dan potensi yang dimiliki Saidatul Zakirah Zairin, 16, dalam sukan permotoran berjaya menarik perhatian pasukan GP3 AD11 dari Chile yang berpangkalan di Itali untuk berlumba di Eropah.

Kini, Saidatul menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja 400 untuk kelas Supersport 300 bersaing dengan pelumba wanita di seluruh dunia.

Saidatul atau lebih mesra disapa Kirah bukan nama asing dalam sukan permotoran negara apabila berjaya meraih pelbagai kejayaan termasuk dua kali menaiki podium dalam Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK).

Mengimbas kembali pembabitannya dengan jentera dua roda itu, sebenarnya bibit perkenalan terhadap sukan ini bermula sejak usianya mencecah lima tahun apabila ayahnya yang bekerja di Qatar selalu membawa dia sekeluarga menonton pelbagai perlumbaan motosikal seperti MotoGP, Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) setiap tahun.

PELUMBA wanita memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.
PELUMBA wanita memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.

Saidatul berkata, dia sangat teruja setiap kali dapat melihat pelumba beraksi di litar sehingga timbul minat mendalam terhadap sukan itu.

Katanya, pada usia enam tahun, dia menyertai Akademi Persekutuan Motor dan Motosikal Qatar (QMMF) namun cuma berpeluang menunggang kenderaan lasak serba bentuk permukaan bumi (ATV) sahaja kerana masih kecil.

KIRAH berjaya meraih tempat kedua dalam perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2023.
KIRAH berjaya meraih tempat kedua dalam perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2023.

"Akhirnya apabila berusia 11 tahun, Akademi Permotoran Qatar (QMA) ditubuhkan dan membuka penyertaan kepada kanak-kanak dan remaja berusia sekitar lapan hingga 17 tahun. Disebabkan permohonan sangat menggalakkan, maka tapisan dilakukan. Alhamdulillah, saya bersama dua abang terpilih untuk menyertai akademi itu.

"Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang dan terus terbabit secara serius dengan sukan lumba motosikal sehingga ke hari ini," katanya.

Menurutnya, dia amat menyukai sukan permotoran kerana seronok dengan derauan adrenalin yang dirasai

ketika sedang memecut motosikal.

"Sukan permotoran sangat ekstrim kerana kelajuan motosikal boleh mencapai lebih daripada 200 km sejam.

"Pelumba bukan sekadar berlumba di jalan lurus, malah perlu melalui banyak selekoh dan pada masa sama perlu mengejar pelumba lain di hadapan atau dikejar oleh pelumba di belakang.

IBUNYA (kanan) turut hadir memberikan sokongan.
IBUNYA (kanan) turut hadir memberikan sokongan.

"Oleh itu, sukan ini memerlukan fokus dan kemahiran yang tinggi kerana satu kesilapan boleh menyebabkan impak yang sangat besar," katanya.

Katanya, cabaran wanita yang terbabit dengan sukan permotoran adalah perbezaan kekuatan fizikal antara lelaki dan perempuan.

"Pelumba perlu menggunakan kira-kira 50 peratus kekuatan fizikal selain perlu juga memiliki kekuatan mental bagi mendapat fokus yang tinggi. Salah satu contoh kemahiran yang diperlukan adalah untuk 'flip' dari satu selekoh ke selekoh yang lain.

SEAWAL usia 11 tahun, Kirah mula berlumba di Akademi Permotoran Qatar.
SEAWAL usia 11 tahun, Kirah mula berlumba di Akademi Permotoran Qatar.

"Untuk terbabit dalam perlumbaan di litar bukan mudah namun saya percaya semua orang boleh belajar dan berseronok dengan sukan ini jika mempunyai minat dan azam yang tinggi," katanya.

Jelasnya, sepanjang terbabit dalam sukan permotoran, dia pernah melalui pelbagai kenangan pahit dan manis yang banyak membantu mematangkan dirinya menjadi pelumba yang baik.

"Antara yang tidak dapat dilupakan, apabila saya terjatuh berikutan litar licin ketika menyertai MSBK 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sehingga terpaksa memulakan perlumbaan di laluan pit.

"Bagaimanapun, dengan kesungguhan dan semangat juang yang tinggi, saya dapat menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas berada cuma 0.5 saat di belakang pelumba di tempat pertama," katanya.

Katanya, menyertai sukan yang didominasi lelaki, Kirah mengakui tidak terlepas daripada menerima pelbagai persepsi negatif daripada segelintir pihak yang meragui kemampuan wanita.

"Saya pernah dimalukan dengan mengatakan saya terlalu lemah dan beberapa masalah (ketika perlumbaan) yang timbul menunjukkan saya tidak cukup kuat untuk menunggang motosikal. Malah ada juga yang mengejek saya, kononnya tidak lagi feminin apabila mempunyai parut di tangan.

"Bagaimanapun, tanggapan negatif ini tidak menjadi penghalang kepada saya untuk terus mengejar impian dan meningkatkan kebolehan dalam sukan ini," katanya.

Dia bersyukur kerana keluarga terutama ayahnya sentiasa memberi sokongan dan dorongan tidak berbelah bahagi untuk terus terbabit dalam sukan ini.

"Tidak dinafikan, ibu bapa sentiasa bimbang dengan keselamatan setiap kali saya berlumba di litar. Namun mereka tidak pernah menghalang saya untuk terus terbabit dalam sukan ini.

"Ayah sering berpesan kepada saya supaya terus bekerja keras untuk meneruskan minat dalam bidang ini," katanya.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapannya, Kirah ingin terus maju dan meningkatkan kemahirannya dalam sukan permotoran.

"Pada masa sama, saya ingin memotivasikan wanita lain untuk menyertai sukan permotoran serta sukan atau kerjaya lain yang mereka takut untuk sertai atas faktor stereotaip.

"Saya ingin buktikan kepada orang ramai bahawa saya boleh melakukannya supaya mereka juga boleh melakukannya. Ia tidak mudah, tetapi jika anda mempunyai semangat juang yang tinggi dalam diri maka anda akan dapat melakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 7:01 AM