GADIS kental aktif sebagai pelumba go kart sejak berusia 12 tahun.
GADIS kental aktif sebagai pelumba go kart sejak berusia 12 tahun.
Nurul Husna Mahmud


DALAM imej polos dan ayu, tersemat jiwa kental yang menebal dalam jiwa si sunti, Nurul Auni Nasharuddin apabila mengenepikan pelumba lain kategori Expert dalam perlumbaan go kart, Pink Stuff SODI Ladies Cup yang berlangsung di Morac Go Kart Track 1 Utama, Damansara Utama, baru-baru ini.

Baru berusia 16 tahun, pelumba itu menunjukkan kematangan dalam litar sejauh 420 meter apabila berjaya menakluk 17 laluan mencabar terutama selekoh tajam dengan catatan masa 28 saat.

Kata Nurul Auni yang sudah berlumba sejak usia 12 tahun dan pernah dinobatkan sebagai 10 pelumba harapan terbaik dalam Sepang International Circuit (SIC) X30 National Karting Series, perlumbaan kali ini mengundang debaran tersendiri kerana julung kali beraksi bersama pelumba wanita.

"Uniknya dalam perlumbaan kali ini semuanya wanita dan boleh saya katakan ciri-ciri unik pelumba wanita adalah tekad dan keberanian jauh lebih tinggi.

"Ibaratnya mereka 'lepaskan' geram dan juga didorong motivasi sentimental serta emosi jauh lebih mencabar sebagai pesaing dalam perlumbaan ini," katanya.

Malah dia mengakui bapanya, Nasharuddin A Aziz memintanya lebih fokus dalam setiap persaingan supaya dapat berada dalam kedudukan terbaik.

"Format pertandingan ini juga antara mencabar iaitu selepas dua pusingan ujian masa untuk kedudukan atau tempat terbaik, perlumbaan penentu memerlukan setiap pelumba melengkapkan 30 pusingan dan ia yang suatu meletihkan.

"Boleh hilang fokus kerana tidak sedar berapa kali sudah melengkapkan trek, tetapi pesanan bapa yang juga jurulatih membuatkan saya kembali sedar dan kembali kepada 'mood' bersaing.

TREK licin antara cabaran getir dilalui peserta ketika sesi ujian masa menentukan kedudukan ketika perlumbaan.
TREK licin antara cabaran getir dilalui peserta ketika sesi ujian masa menentukan kedudukan ketika perlumbaan.

"Ada juga babak kenderaan berpusing akibat kesilapan 'overtake' atau memotong membuatkan saya perlu kejar kembali pelumba pesaing. Tetapi semua itu tidak buat saya panik kerana pengalaman dari perlumbaan lalu," katanya yang kini dalam persiapan untuk bergelar pelumba profesional.

Menyentuh kepada pembabitannya dalam sukan permotoran itu suatu yang serius, akui Nurul Auni, itu sudah impian sejak dari kecil.

"Sebenarnya saya jatuh minat apabila lihat kakak terlebih dahulu terbabit dalam perlumbaan kereta. Bidang permotoran sebenarnya tidak pernah membezakan lelaki dan perempuan selagi ada kualiti pelumba baik.

"Malah sebelum ini saya bersaing dengan lelaki dalam perlumbaan go kart juga. Jujur saya katakan, Pink Stuff SODI Ladies Cup adalah perlumbaan pertama saya sertai membabitkan semua wanita," katanya.

Bagi wakil penganjur yang juga seorang pelumba kereta profesional, Leona Chin, penganjuran Pink Stuff SODI Ladies Cup antara landasan untuk menyatakan sukan permotoran sebenarnya universal dan harus dinikmati semua orang.

CERIA peminat sukan permotoran ketika pusingan pertama Go Kart di Morac Go Kart Track 1 Utama.
CERIA peminat sukan permotoran ketika pusingan pertama Go Kart di Morac Go Kart Track 1 Utama.

"Pink Stuff SODI Ladies Cup satu-satunya perlumbaan eksklusif untuk wanita dengan harapan memotivasikan lebih ramai golongan ini untuk mengambil bahagian dalam sukan permotoran.

"Kami berharap dapat mengumpul seberapa ramai pelumba wanita untuk sertai dan format juga unik apabila terdapat tiga pusingan iaitu pada kali ini adalah pusingan pertama dan disusuli 12 November serta 3 Disember ini untuk pusingan akhir.

"Untuk kali ini juga kami mendapat penyertaan lebih 44 peserta bagi enam kategori termasuklah kategori media.

"Cabaran untuk peserta apabila terdapat selekoh yang menguji taktikal dan teknikal pemanduan pelumba dalam trek. Apatah lagi ketika ujian masa trek basah memberi cabaran tambahan kepada mereka," katanya.

Tambah Leona lagi, selain pelumba, kehadiran penyokong yang terdiri dari keluarga, kenalan dan juga peminat sukan itu turut mewarnai kejohanan kali ini.

"Saya juga teruja apabila pelumba ini turut mendapat sokongan baik daripada keluarga dan pasangan masing-masing.

MEMINTAS pelumba dihadapan memerlukan keberanian.
MEMINTAS pelumba dihadapan memerlukan keberanian.

"Sukan permotoran sebenarnya bukanlah ekslusif sebaliknya boleh dinikmati dan disertai semua peringkat dan pelbagai latar belakang.

"Selain memberi pengalaman di luar sebenar, perlumbaan secara maya menerusi dua unit simulator dalam acara ini," katanya.

Dia berharap, bagi dua pusing akan datang terus menerima penyertaan ramai pelumba wanita untuk memeriahkan sukan 'karting' itu nanti.

Sementara itu, salah seorang pelumba bagi kategori Expert, Victoria Chin, 24, melihat perlumbaan sebegini satu bentuk riadah sihat dan terapi apabila aktiviti luar dapat dilakukan selepas pandemik.

"Permulaan baik bagi penggiat atau peminat sukan permotoran sendiri dapat menyertai perlumbaan ini lebih kasual.

"Tidak semestinya menyasarkan kemenangan, saya lihat ia lebih membantu mewujudkan komuniti dalam kalangan wanita yang begitu sukakan permotoran.

"Setidak-tidaknya ini boleh jadi percubaan dan permulaan bagi wanita yang punyai keinginan tetapi tidak ada kesempatan untuk mencuba sukan karting.

"Paling penting dapat rasa sendiri trek dan suasana berlumba dalam keadaan yang selamat kerana kumpulan sokongan mengendalikan pelumba adalah mereka yang pakar dalam mengendalikan perlumbaan karting," katanya yang gembira dapat sertai perlumbaan itu dan mengenali lebih ramai peminat sukan go kart tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 6:10 AM