JADIKAN buah-buahan sebagai alternatif snek yang lebih sihat.
JADIKAN buah-buahan sebagai alternatif snek yang lebih sihat.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MAKANAN yang disajikan sepanjang musim perayaan kebanyakannya mengandungi kandungan minyak, gula dan garam yang tinggi.

Juadah enak seperti rendang, sate, lontong mahupun biskut raya, semuanya tidak boleh diambil dalam kuantiti yang banyak, memadai jika sekadar ambil rasa untuk menikmatinya.

Justeru, masyarakat dinasihatkan supaya lebih peka dengan apa yang dinikmati bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

Menurut Pakar Dietetik, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Nabihah Hannan Razaleigh, kuantiti makanan yang banyak menyebabkan pengambilan kalori berlebihan.

"Untuk menjaga porsi makanan, amalkan konsep suku-suku separuh dan penuhkan pinggan dengan sayur serta buah.

"Jika ingin mengambil kuih atau snek, gunakan pinggan kecil dan hadkan kepada satu atau dua keping sahaja untuk satu jenis kuih," katanya.

Nabihah berkata, begitu juga dengan minuman manis seperti berkarbonat yang mengandungi gula tinggi, ia juga perlu dihadkan.

Katanya, air putih yang cukup akan membantu seseorang itu kekal hidrasi sepanjang hari.

"Pilih air yang lebih sihat seperti air masak, air teh, soya atau jus buah yang tiada tambahan gula.

"Minuman manis dan minuman bikarbonat perlu dielakkan kerana ia mengandungi gula yang tinggi," katanya.

Sementara itu, sayur-sayuran dan buah-buahan yang tinggi kandungan serat juga perlu diambil lebih dalam setiap hidangan.

Pastikan separuh pinggan dipenuhi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pengambilan makanan tinggi serat menyebabkan kita kenyang lebih lama dan boleh jadikan buah-buahan sebagai alternatif snek yang lebih sihat.

Selain itu, makan secara berhemah dan elakkan melangkau waktu makan.

Menikmati makanan dengan berhemah dapat memberi masa kepada badan untuk memberi isyarat kepada otak bahawa kita sudah kenyang.

Jika melangkau waktu makan, ia boleh menyebabkan seseorang itu lebih kerap mengambil snek dan mengambil kuantiti lebih banyak pada waktu makan yang seterusnya.

Apa pun, pastikan bersenam menjadi rutin harian sekurang-kurangnya 30 minit sehari supaya dapat membakar kalori berlebihan daripada makanan raya yang diambil dan kekal aktif.

Makanan perayaan dan kalori setiap hidangan

1 potong dodol: 20 gram (g) - 70 kcal

1 biji bahulu: 20g - 80 kcal

1 biji agar buah: 20g - 13 kcal

1 biji biskut makmur: 20g - 100 kcal

1 biji biskut cornflakes: 20g - 80 kcal

1 biji biskut badam: 20g - 90 kcal

1 potong lemang: 30g - 100 kcal

5 ketul nasi impit: 200g - 220 kcal

1 mangkuk bihun sup: 250g - 150 kcal

1 mangkuk lontong dengan lodeh: 250g - 260 kcal

5 cucuk sate: 80g - 200 kcal

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 6:30 AM