SRI Candy perkenal koleksi raya dijahit sepenuhnya banduan wanita kolaborasi jenama tempatan.
SRI Candy perkenal koleksi raya dijahit sepenuhnya banduan wanita kolaborasi jenama tempatan.
Zhahirah Sazali


Rona hitam dan putih menjadi latar utama rekaan busana dalam pertunjukan fesyen koleksi pereka wanita berusia 39 tahun ini.

Ternyata di sebalik rona utama yang diketengahkan itu, ia mempunyai maksud tersendiri dalam mengangkat inspirasi 'peluang kedua.'

Noranis Che Aziz percaya bahawa menerusi jenamanya, Sri Candy, golongan banduan yang seharusnya diberikan peluang kedua dalam hidup dapat diangkat dan diraikan.

Selain itu, Noranis juga ingin memberi peluang kedua kepada koleksi lamanya untuk kembali menemui peminat koleksinya yang sebelum ini mendapat permintaan tinggi, tetapi tidak dikeluarkan lagi dalam koleksinya.

Katanya, koleksi raya yang diperkenalkan pada tahun ini sebenarnya dijahit sepenuhnya oleh banduan wanita di Penjara, Kajang di Selangor dan ia adalah satu cara membantu golongan itu mengasah bakat dalam bidang jahitan.

"Produksi untuk koleksi pakaian yang akan datang juga terus dijahit banduan Penjara Kajang dan tidak terhenti untuk koleksi raya kali ini sahaja.

MENAMPILKAN daya tarikan yang kekal.
MENAMPILKAN daya tarikan yang kekal.

"Material koleksi raya peluang kedua ini juga adalah hasil kolaborasi bersama jenama batik tempatan," katanya pada Pelancaran Pembiayaan Berasaskan Nilai CIMB dan Pesta Fesyen Bazar Siberturahim 2024.

Katanya, dia juga percaya bahawa kerjasama ini bukan sahaja menyokong banduan, tetapi juga membuka jambatan kepada peminat atau pembeli bagi menyumbang kepada banduan Penjara Kajang secara tidak langsung.

Jelasnya lagi, kapasiti keluaran koleksi peluang kedua ini juga adalah terhad dengan hanya beberapa ratus helai dengan penerapan tiga aspek utama iaitu praktikal, selesa dan berbaloi untuk wang.

"Koleksi ini kebanyakannya menggunakan bahan kapas 90 peratus dan ia sesuai untuk keadaan cuaca di Malaysia.

"Reka bentuk koleksi kali ini merangkumi gaya 'baggy', dengan rona warna hitam dan putih monokromatik dan potongan kotak, sekali gus memberikan keselesaan dan praktikal kepada pemakai," katanya.

NORANIS.
NORANIS.

Jelasnya, corak belang menjadi bahagian penting dalam koleksi ini kerana ia menambah watak dan keperibadian pada pakaian sambil mengekalkan daya tarikan yang kekal.

"Kami masih mengekalkan gaya tradisional iaitu kurung Kedah yang diadun bersama kontemporari. Gaya ini malar segar dan mendapat perhatian si pemakai pada hari ini.

"Mengetengahkan konsep suai padan busana memberi kemudahan kepada si pemakai untuk memperagakannya.

"Helaian busana yang mudah untuk disuai padan menjadi arus kini dalam kalangan peminat fesyen kerana mereka boleh mencipta gaya peribadi," katanya.

Tambahnya, rekaannya menyasarkan untuk memenuhi keperluan ibu bekerja korporat sebagai pasaran sasaran mereka, menawarkan pelbagai harga untuk disesuaikan dengan keperluan peminat yang berbeza.

"Koleksi raya pereka fesyen ini juga mempamerkan komitmen jenama mereka terhadap kemapanan, kerjasama dan memperkasakan mereka yang amat memerlukan peluang kedua dalam kehidupan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 6:30 AM