KEMURUNGAN selepas bersalin adalah keadaan kesihatan mental yang serius yang boleh menjejaskan sesetengah individu selepas kelahiran anak.
KEMURUNGAN selepas bersalin adalah keadaan kesihatan mental yang serius yang boleh menjejaskan sesetengah individu selepas kelahiran anak.
Muhamaad Razis Ismail


KEMURUNGAN selepas bersalin antara keadaan kesihatan mental serius yang boleh menjejaskan sesetengah wanita selepas kelahiran anak.

Ia bukan sekadar 'baby blues,' iaitu perasaan sedih dan perubahan mood yang biasa dialami ramai ibu baru dalam beberapa hari atau minggu pertama selepas bersalin.

Masalah ini akan berterusan dan menjadi lebih teruk iaitu berlarutan selama beberapa minggu atau bulan sekiranya tidak dirawat.

Pakar Psikologi Klinikal, Khairul Azhar Idris berkata, punca sebenar kemurungan selepas bersalin tidak difahami sepenuhnya, namun gabungan faktor fizikal, emosi dan gaya hidup mungkin menyumbang kepada permasalahan ini.

Katanya, masalah ini boleh berpunca daripada beberapa faktor termasuk perubahan hormon, kurang tidur, tekanan, sejarah masalah kesihatan mental dan pelbagai faktor sosial serta persekitaran yang lain.

"Antara gejala kemurungan adalah perasaan sedih, kekosongan atau putus asa yang berterusan, perubahan dalam selera makan dan corak tidur serta keletihan dan kekurangan tenaga.

SUAMI memainkan peranan penting menyokong ibu yang berdepan kemurungan.
SUAMI memainkan peranan penting menyokong ibu yang berdepan kemurungan.

"Selain itu, kesukaran menumpukan perhatian atau membuat keputusan, perasaan bersalah atau tidak berharga dan berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membahayakan bayi (dalam kes yang teruk) juga antara gejala kemurungan ini.

"Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kemurungan selepas bersalin boleh juga memberi kesan terhadap suami," katanya.

Beliau berkata, kemurungan selepas bersalin adalah keadaan serius yang boleh membawa kesan ketara kepada individu yang mengalaminya dan keluarga mereka.

"Ia boleh mengganggu proses ikatan ibu bapa dan anak serta memberi kesan terhadap kesejahteraan keseluruhan keluarga," katanya.

Tambahnya, kemurungan selepas bersalin boleh dirawat dan langkah awal memainkan peranan penting untuk kesembuhan pesakit.

"Rawatan mungkin membabitkan gabungan terapi (seperti terapi kognitif tingkah laku atau terapi 'interpersonal'), kumpulan sokongan dan dalam beberapa kes memerlukan ubat-ubatan.

"Perkara paling penting adalah bagi individu yang mengalami gejala kemurungan selepas bersalin untuk mendapatkan bantuan daripada profesional," katanya.

Tambahnya, sokongan daripada rakan, keluarga dan komuniti yang lebih luas juga penting dalam membantu individu yang mengalami kemurungan selepas bersalin mengharungi cabaran dan mendapatkan rawatan sesuai.

"Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami gejala kemurungan selepas bersalin, adalah penting untuk mendapatkan bantuan dan sokongan," katanya.

Mengulas lanjut, menyokong ibu baru yang menghadapi kemurungan selepas bersalin memerlukan pendekatan menyeluruh dan keprihatinan daripada masyarakat, termasuk suami dan keluarga.

Berikut adalah beberapa strategi untuk memperkasa dan membolehkan suami serta keluarga menyokong ibu baru dalam situasi yang mencabar ini:

1.Pendidikan dan kesedaran

Meningkatkan kesedaran mengenai kemurungan selepas bersalin dalam kalangan suami, keluarga dan masyarakat termasuk tanda, gejala dan kesan kemurungan selepas bersalin.

2.Komunikasi terbuka

Galakkan komunikasi terbuka dan jujur dalam keluarga mengenai kemurungan selepas bersalin. Wujudkan ruang selamat untuk ibu meluahkan perasaan dan kebimbangan mereka.

3.Pendidikan pra-natal

Sertakan maklumat mengenai kemurungan selepas bersalin dalam kelas pendidikan pra-natal untuk bakal ibu dan bapa. Bincangkan kepentingan kesejahteraan emosi untuk ibu bapa semasa dan selepas kehamilan.

4. Normalisasikan usaha mendapatkan bantuan

Kurangkan stigma di sekeliling kesihatan mental dengan normalisasi mendapatkan bantuan untuk kemurungan selepas bersalin.

Kongsikan kisah pemulihan dan ketabahan untuk membangkitkan harapan dan mengurangkan perasaan terasing.

5.Babitkan suami dalam penjagaan antenatal

Galakkan suami untuk mengambil bahagian secara aktif dalam janji temu antenatal, kelas bersalin dan aktiviti pra-natal yang lain yang sekali gus dapat memupuk rasa tanggungjawab bersama untuk kesejahteraan ibu dan anak.

6.Kumpulan sokongan selepas bersalin

Wujudkan kumpulan sokongan supaya ibu bapa boleh berkongsi pengalaman, kebimbangan dan strategi menghadapi kemurungan selepas bersalin dengan menyediakan platform untuk saling menyokong dan memahami.

7. Dasar kerja fleksibel

Menyokong dasar kerja yang fleksibel yang menampung keperluan ibu bapa ketika tempoh selepas bersalin. Langkah ini termasuk membenarkan bapa mengambil cuti paterniti untuk terbabit secara aktif dalam penjagaan.

8.Galakkan penjagaan diri

Menggalakkan kepentingan penjagaan diri untuk ibu bapa. Tekankan keperluan untuk rehat yang mencukupi, pemakanan yang betul dan kerap bersenam untuk menyokong kesejahteraan keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 6:30 AM