ANISA mengangkat tema kasih sayang, keluarga dan Malaysia dalam karyanya.
ANISA mengangkat tema kasih sayang, keluarga dan Malaysia dalam karyanya.
Hafiz Ithnin


MEMBAWA tema kasih sayang, keluarga dan Malaysia menjadi fokus ibu kepada seorang cahaya mata berusia lapan tahun ini

Wanita kelahiran Poland yang kini berusia 38 tahun itu melihat tema berkenaan menjadi pilihan peribadi sebagai artis dalam dunia lukisan mula terbit sejak melahirkan anak tunggalnya.

Menariknya tema karya lukisan yang dihasilkan Anisa Abdullah mendapat perhatian peminat seni tempatan kerana sudah semestinya mencipta suasana cinta kepada kebahagiaan.

Anisa berkata, melahirkan anak antara faktor dia menjadikan tema itu sebagai titik fokal karya yang dihasilkan.

Ini kerana setiap karya yang dihasilkan memberi nilai cinta tidak ternilai untuk mereka yang melihat dan memilikinya.

Katanya, mungkin berkat daripada tema itu, pameran solonya pada Mac lalu di Petaling Jaya, Selangor yang mempunyai 12 lukisan mampu terjual sehingga 10 lukisan.

Menariknya sebelum karya itu dipamerkan sudah ada yang bertanya.

"Saya melihat karya kekeluargaan mempunyai nilai tersendiri untuk ditatapi dan difahami penonton seni yang dihasilkan ini.

"Ternyata ia mendapat sambutan kerana kebanyakan lukisan yang saya hasilkan mempunyai ketiga-tiga elemen berkenaan dalam kehidupan seorang ibu. Tidak kira zaman dahulu ataupun sekarang," katanya.

Dia berkata, meskipun perlu mengambil masa sehingga enam tahun untuk menyiapkan 12 karya itu sebelum menemui peminatnya menerusi pameran solo keduanya yang dinamakan Gemersik pada Mac lalu, tetapi dia puas melihat hasil dan maklum balas peminat seni lukisan.

CEBISAN kertas yang digunakan untuk dijadikanan sebuah karya lukisan.
CEBISAN kertas yang digunakan untuk dijadikanan sebuah karya lukisan.

Jelasnya lagi, dia melihat kehidupan ibu yang mempunyai pelbagai nilai dan budaya tempatan yang baik untuk dihayati.

"Sebagai artis saya rasa bertanggungjawab untuk mendedahkan kehidupan yang penuh pelbagai nilai yang baik itu.

"Misalnya, saya mengetengahkan lukisan seorang ibu yang menjaga anak di luar, tetapi mengenakan kain batik dan penutup kepala yang cukup sopan. Ia mencerminkan peranan wanita itu yang tetap menjaga nilai dan maruah keluarganya," katanya.

Tambahnya, dalam barisan 12 karya itu juga dia mengangkat nilai masyarakat Malaysia pelbagai kaum yang hidup harmoni.

"Ada dalam salah satu lukisan, saya bersama rakan-rakan pelbagai kaum bersantai dan berborak atas satu meja makan. Di sini, saya ingin peminat karya mengetahui bahawa keindahan kepelbagaian kaum dan ia perlu dipelihara," katanya.

Katanya lagi, menggunakan teknik kolaj menjadi pilihan untuk menghasilkan barisan karya berkenaan kerana ia lebih dekat dengan nuraninya secara peribadi.

"Lukisan kolaj menggunakan cebisan kertas yang digunting dan digabungkan mengikut warna bagi menghasilkan sebuah karya yang diinginkan.

ANISA (berbaju merah jambu) bersama ahli keluarga yang sentiasa menyokong kerjayanya.
ANISA (berbaju merah jambu) bersama ahli keluarga yang sentiasa menyokong kerjayanya.

"Meskipun ia mengambil masa lama, tetapi saya puas dapat menghasilkannya. Apatah lagi, mampu menarik perhatian pengikut atau pengumpul lukisan saya," katanya.

Bercerita mengenai kerjaya sebagai artis lukisan, graduan Ijazah Muda Seni Halus Major di dalam Lukisan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia tidak menafikan persepsi sukar untuk membina kerjaya sekiranya berada dalam bidang itu.

"Sebenarnya perkara paling penting ialah kita perlu berusaha keras tanpa mengira bidang yang diceburi kerana saya percaya apabila ada usaha, akan ada hasilnya.

"Saya sebagai pelukis juga tidak terkecuali menerima tempias persepsi itu. Namun, apabila saya mampu membuka studio sendiri dan dari hari ke hari mempunyai pengikut tersendiri, ia membuka mata orang di sekeliling bahawa menjadi pelukis adalah satu kerjaya yang setaraf bidang lain," katanya.

Anisa juga beruntung kerana dia mempunyai pasangan hidup sejak 2013 yang juga pelukis, Mohd Khairul Izham Md Rashid yang kini bersama-sama menjadikan bidang itu sebagai mata pendapatan.

"Dalam dunia seni ini adalah kita perlu mempunyai keunikan dalam menghasilkan karya. Meskipun peminat lukisan di Malaysia tidak segah di luar negara, tetapi golongan itu ada.

KEHIDUPAN seorang ibu diterjemahkan dalam sebuah lukisan kolaj yang menarik.
KEHIDUPAN seorang ibu diterjemahkan dalam sebuah lukisan kolaj yang menarik.

"Mereka juga semakin hari semakin bertambah dan lebih menarik apabila ramai golongan muda yang mula menghargai karya lukisan yang dihasilkan artis tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 7:00 AM