BERNIAGA lokcing memberi kepuasan tersendiri kepada Zara.
BERNIAGA lokcing memberi kepuasan tersendiri kepada Zara.
Muhamaad Razis Ismail & Suhaila Khairie

"SAYA tidak malu berniaga di tepi jalan asalkan dapat jana pendapatan sendiri daripada sumber halal," kata Safiatul Zahraa Che Azmi, 26, yang menjalankan perniagaan lokcing sejak beberapa tahun lalu.

Kebiasaannya perniagaan makanan ini diceburi lelaki lebih berusia namun wanita yang lebih mesra disapa Zara ini tidak menjadikannya sebagai halangan bergelar peniaga lokcing sepenuh masa di Jelawat, Bachok, Kelantan.

Biarpun pernah menerima kata-kata sinis daripada segelintir individu yang memperlekehkan pekerjaannya namun anak jati Kuala Krai ini tetap dengan pendirian untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Setiap hari seawal jam 6 pagi dia sudah bangun menyiapkan segala keperluan sebelum menunggang motosikal roda tiga ke lokasinya berniaga di hadapan sebuah bank.

Perniagaannya beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 6.30 petang setiap hari dengan dibantu dua pekerja.

Zara yang aktif membuat siaran langsung 'live' di media sosial mendapat maklum balas positif dalam kalangan warganet yang tertarik dengan kesungguhan dan kecekalan berniaga.

ZARA ingin buktikan kemampuan diri dalam bidang perniagaan.
ZARA ingin buktikan kemampuan diri dalam bidang perniagaan.

Anak kelima daripada lapan beradik ini berkata, sebelum berniaga, dia sudah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi kerani kilang di Kota Bharu dan bekerja di kedai menjual produk kosmetik.

"Selepas menamatkan persekolahan, saya terus bekerja untuk membantu menyara keluarga. Selepas ayah meninggal dunia, saya berhenti bagi menjaga ibu sambil berniaga pelbagai makanan dan barangan di sekitar kampung.

"Kemudian, saya kembali ke Kota Bharu untuk bantu abang yang berniaga lokcing kerana kekurangan pekerja. Dalam masa sama, saya turut bantu adik berniaga lokcing di Bachok.

"Pada Jun lalu, saya ambil alih perniagaan adik selepas dia berpindah mengikut suaminya yang bertugas di Kuantan, Pahang," katanya.

Menurutnya, sebelum ini bahan jualan dan peralatan berniaga dibawa menggunakan basikal sebelum ditukar kepada motosikal roda tiga.

"Dulu jualan agak perlahan, tetapi ia semakin baik selepas saya mengambil alih perniagaan ini kerana saya aktif 'live' di TikTok setiap hari.

"Saya tidak pernah putus asa dan sentiasa berfikiran positif walaupun kadang kala jualan tidak menerima sambutan yang baik.

"Semua ini bergantung pada rezeki dan nasib. Jika ada jualan tidak laris, saya akan sedekahkan kepada orang," katanya.

MULA berniaga dengan basikal roda tiga.
MULA berniaga dengan basikal roda tiga.

Zara mengakui maklum balas rakan dan saudara terdekat juga amat baik.

"Alhamdulillah, orang di sekeliling sering beri galakan untuk terus berniaga lokcing kerana saya berani berniaga tanpa rasa malu.

"Saya juga sudah tiga tahun berniaga sampingan menjual minyak wangi sehingga sudah ada label dengan nama sendiri," katanya yang juga pernah menjual kek dan kuih raya.

Mengulas lanjut, tujuan dia memulakan perniagaan sampingan lain untuk mencari wang tambahan bagi membantu keluarga dan orang yang memerlukan.

"Jika diikutkan rezeki yang diperoleh sudah mencukupi. Tetapi jika ada wang simpanan tambahan, lebih bagus kerana saya dapat bantu orang lain juga," katanya.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapannya, Zara berhasrat menambah lagi satu cawangan perusahaan lokcing.

"Saya tidak pasti berapa lama tempoh diambil bagi merealisasikan impian ini namun saya tidak akan berputus asa mengembangkan lagi nama saya.

"Perkara paling penting jangan malu. Sebanyak mana ujian yang mendatang, kita perlu bangkit dan yakin dengan diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 7:02 AM