KUIH sarang semut atau kuih jala. - Gambar pengguna Facebook, Senia Raniah.
KUIH sarang semut atau kuih jala. - Gambar pengguna Facebook, Senia Raniah.
Hartini Mohd Nawi


DI Sabah dan Labuan, Tadau Kaamatan disambut pada 30 dan 31 Mei, manakala suku Dayak di Sarawak menyambut Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.

Sungguhpun Tadau Kaamatan dan Hari Gawai meraikan tamatnya musim menuai padi, namun sebenarnya ada perbezaan ketara dari segi tradisi serta upacara antara dua perayaan ini.

Memandangkan Tadau Kaamatan dan Hari Gawai sinonim dengan hasil tuaian lumayan, tidak hairan makanan antara aspek paling dinanti-nantikan.

Satu laporan berkenaan tabiat snek global oleh Mondelez International mendapati 78 peratus orang pada hari ini lebih cenderung mengambil masa untuk menikmati snek mereka, manakala 61 peratus berkongsi, mereka meluangkan masa untuk membahagikan porsi makanan sebelum makan.

Namun, perlu diingat bahawa pemakanan tanpa kawalan ketika perayaan boleh menyebabkan peningkatan berat badan, tekanan dan kegelisahan.

Kenali lima kudapan unik dari Sabah dan Sarawak yang wajib anda cuba:

1. Kuih sarang semut atau kuih jala

Sarang semut dari Sarawak yang mirip dengan kuih karas dari Semenanjung ini diperbuat daripada adunan tepung pulut, tepung ubi kayu dan gula.

Ia digoreng panjang dan nipis serta memiliki tekstur lembut dan sedikit kenyal. Kuih ini turut dikenali sebagai kuih jala dan menjadi kegemaran kanak-kanak mahupun orang dewasa kerana tekstur serta rasanya yang lazat.

2. Penganan

Penganan dari Sarawak adalah makanan tradisional yang dibuat dengan menggoreng adunan tepung beras, gula dan santan.

'Kek mini' ini rasanya manis-manis dan sedikit masin dengan me

miliki bahagian luar yang rangup, namun bahagian dalam yang lembut lagi kenyal.

Ia sesuai dijamah ketika masih panas, tapi disebabkan ia makanan bergoreng amalkan kesederhanaan dan kawalan porsi dengan menikmati sekeping sahaja pada satu-satu masa.

3. Hinompuka (kuih pulut kukus)

Hinompuka adalah makanan tradisi Kadazan yang lazat. Kuih pulut kukus melekit yang dibalut dengan daun pisang ini manis dan lemak berkrim dengan tekstur kenyal.

Sesetengah resepi menggunakan santan untuk meningkatkan lagi rasa lemak berkrim dan ada juga yang menggunakan gula merah untuk menambahkan rasa manis.

Rasanya yang unik juga terhasil daripada penambahan ekstrak pandan, pisang atau keladi parut dalam adunan, menjadikannya pemanis atau kudapan sesuai bagi anda menggemari perisa yang lebih halus.

4. Tebaloi

Tebaloi atau biskut sagu adalah makanan tradisional masyarakat Melanau, namun turut mendapat permintaan tinggi dari serata Borneo.

Diperbuat dari tepung sagu, kelapa, gula dan telur, tebaloi boleh didapati dalam pelbagai perisa dan warna menarik. Nikmati kepingan tebaloi anda dalam porsi yang sederhana sambil menghayati tekstur, warna serta rasanya yang unik kerana dipanggang atas kayu api.

5. Bambangan

Buah istimewa dari kepulauan Borneo ini sering dikelirukan dengan mangga. Ia memiliki kulit coklat tebal dan haruman yang tersendiri selain boleh dimakan masak atau dituai mentah untuk dijeruk dengan garam, parut biji bambangan dan potongan cili untuk menghasilkan hidangan seperti hinava ginapan untuk Tadau Kaamatan.

Jika dimakan begitu sahaja, bambangan mempunyai rasa masam dan unik yang serupa dengan mangga atau nangka. Sama ada dinikmati mentah, dimasak atau dijeruk, nikmatilah setiap kunyahan dengan penuh perhatian dan lebih perlahan untuk meningkatkan kepuasan makan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 6:55 AM