PEMERIKSAAN wajah dapat mengenalpasti masalah dan menjangkakan efek rawatan sesuai. FOTO Faiz Anuar
PEMERIKSAAN wajah dapat mengenalpasti masalah dan menjangkakan efek rawatan sesuai. FOTO Faiz Anuar
Nurul Husna Mahmud


PENGARUH pop Korea atau K-pop bukan sahaja menarik minat anak muda tempatan terhadap muzik dan drama negara itu, malah penampilan artis mereka turut menjadi ikutan.

Penampilan dimaksudkan bukan sekadar gaya berfesyen tetapi piawaian kecantikan keseluruhan terutama wajah mengikut standard persis idola di sana.

Antara ciri-ciri yang ditonjolkan adalah memiliki wajah V-shape atau berbentuk V dengan penampilan bahagian rahang ke dagu yang tirus dan tajam.

Menurut perunding kecantikan estetik Abd Rahman A Samad, memiliki bentuk wajah berbentuk V menjadi 'igauan' generasi muda masa kini kerana pengaruh cukup besar terutama dari kalangan artis K-pop.

"Saya perasan trend golongan muda sekarang yang terdedah dengan media sosial menjadikan mereka lebih mengambil berat perihal kecantikan dan kesihatan wajah.

"Tidak dinafikan itu juga atas pengaruh idola antaranya artis K-pop mempengaruhi cara anak muda kita menjaga kecantikan wajah mereka.

"Berdasarkan kajian saintifik sendiri menyokong

bahawa wajah simetri iaitu sisi kanan dan kiri sama serta seimbang adalah wajah yang cantik.

"Mengaitkan pula ciri-ciri simetri itu dengan wajah berbentuk V, bentuk itu membantu menonjolkan visual simetri lebih ketara apabila bahagian dagu kelihatan tajam atau tirus,"katanya yang juga pengasas Honesty Aesthetic and Wellness itu.

Katanya, rawatan untuk mendapatkan wajah berbentuk V kian popular.

Merujuk kepada rawatan wajah berbentuk V di pusat rawatan kecantikan tidaklah membabitkan prosedur pembedahan kerana rawatan lebih kepada menghilangkan lemak di bawah dagu dan menegangkan kulit di bahagian rahang.

ABD Rahman menyifatkan kaedah rawatan wajah berbentuk V proses menyingkirkan lemak bawah kulit. FOTO Faiz Anuar
ABD Rahman menyifatkan kaedah rawatan wajah berbentuk V proses menyingkirkan lemak bawah kulit. FOTO Faiz Anuar

Terdapat dua pilihan bergantung kepada individu yang mahu mendapatkan kesan bentuk V dalam jangka masa panjang atau pendek.

"Kalau tempoh yang panjang adalah kaedah lebih semula jadi menerusi urutan khusus untuk membantu menegangkan dan memecah lemak di bahagian bawah dagu.

"Tetapi bagi mereka yang suka efek pantas, ada rawatan ditawarkan di spa luar dengan menggunakan suntikan bahan tertentu ke dalam kulit untuk memecah lemak dalam tempoh singkat.

"Sebaiknya individu itu merujuk kepada pakar yang memiliki latar belakang bidang estetik terlebih dahulu untuk pemeriksaan sama ada sama ada rawatan wajah berbentuk V sesuai atau tidak kerana kesan berbeza setiap individu," katanya.

Menyentuh kepada kaedah dalam merawat kecantikan wajah berbentuk V yang dijalankan Abd Rahman di pusat estetik terbabit, terdapat sembilan langkah dalam prosedur rawatan itu yang mengambil masa kira-kira sejam.

Berikut langkah-langkah dalam merawat wajah berbentuk V:

1. Membersihkan muka sebanyak dua kali (Double Cleansing)

Proses membersihkan muka sebanyak dua kali bagi tujuan berbeza iaitu menyingkirkan solekan dan krim pelindung matahari untuk sesi pertama.

Cucian kedua pula membersihkan lebihan kotoran pada muka. Bahan digunakan adalah pembersihan muka khas iaitu 'prime cleasing masque' untuk cucian pertama dan 'phytoamino regentron foamgel' serta 'DeAc aciderm foamgel' bagi cucian kedua.

2. Stim kulit aromatik

Dengan menggunakan mesin khas dan minyak aroma terpilih, langkah ini membantu membuka pori untuk pembersihan mendalam dan melancarkan pengaliran darah.

RAWATAN wajah berbentuk V menjadi trend kerana pengaruh idola dari Kpop. FOTO Faiz Anuar
RAWATAN wajah berbentuk V menjadi trend kerana pengaruh idola dari Kpop. FOTO Faiz Anuar

3. Proses Mikrodermabrasi

Prosedur peremajaan kulit yang minimal tanpa rasa sakit apabila sel kulit mati dibuang sementara kotoran dalam liang pori dibersihkan.

Proses ini dilakukan menggunakan mesin khas dengan campuran bahan tertentu seperti aqua hyaluronic calming, aqua BHA peeling solution dan banyak lagi.

4. Super sonic skin scraping

Kaedah ini bagi cucian lebih mendalam yang mana kulit mati, bintik hitam dan bintik lemak disingkirkan menggunakan alat khas, 'facial scrubber.'

5. Pupur terapeutik

Pemakaian pupur disesuaikan mengikut masalah kulit. Kebiasaan efek dalam proses ini dapat memberi kelembapan, memudarkan jeragat, merawat jerawat dan menenangkan kulit muka.

6. Urutan wajah berbentuk V

Proses ini paling penting kerana fokus utama bagi mendapatkan wajah lebih tirus dengan kaedah memecahkan lemak di kawasan rahang dan bahagian dagu.

Proses ini memakan masa sekurang-kurangnya 30 minit dengan menggunakan peralatan khas iaitu 'radiofrequency tools' bersama bahan 'max hydro2gel masque.'

SKIN Scrapping adalah kaedah buang bintik hitam dan bintik lemak. FOTO Faiz Anuar
SKIN Scrapping adalah kaedah buang bintik hitam dan bintik lemak. FOTO Faiz Anuar

7. Infusi oksigen

Menggunakan mesin khas, kandungan oksigen diserap dalam kulit. Ini membantu memberi kelembapan dan kulit bertambah berseri.

8. Rutin penjagaan muka.

Pemakaian penyegar, krim pelembap muka dan krim pelindung matahari sebagai rutin penjagaan muka harian penting setiap hari.

9. Urutan bahu

Proses ini membantu pengaliran darah dan memberi mood santai kepada individu yang menjalani rawatan wajah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 7:00 AM