Siti Zarinah Sahib

Memiliki bulu mata lentik dan tebal menjadi impian setiap wanita. Namun, bagi yang dikurniakan bulu mata tipis dan tidak lentik memerlukan masa menebal serta menghitamkan menerusi penggunaan maskara.

Penyelesaian mudah adalah menggunakan bulu mata palsu. Namun ada anggapan mengatakan pemakaian bulu mata palsu menyebabkan mata menjadi berat dan tidak natural padahal sebenarnya ia tidak berlaku seandainya bulu mata dilekatkan dengan cara yang betul.

Menurut jurusolek profesional Yann Rifft (yann_rifft), terdapat empat jenis bulu mata palsu yang biasa digunakan iaitu jenis halus, medium (sedikit tebal agar nampak padat), tiga dimensi (lebih padat) dan bulu mata berwarna.

Mereka yang gemarkan gaya semula jadi boleh memilih jenis halus dan medium bagi memberikan hasil yang menyerlah.

“Namun untuk mereka yang inginkan impak memikat perlu menggunakan jenis tiga dimensi. Cabarannya, ia agar sukar dipakai dan mengambil masa kerana lekatan perlu dilakukan lebih teliti bagi mengelak comot,” katanya.

Menunjukkan cara betul mengenakan bulu mata palsu, Yann Rifft menampilkan dua cara berbeza menggunakan bulu mata jenis halus dan tiga dimensi.

Sebelum meletakkan gam bulu mata, seharusnya mata disapu dengan pembayang mata ke seluruh kelopak diikuti pemakaian maskara. Kemudian gunakan gam berwarna putih dan sapu pada bahagian atas hujung kelopak mata. Ketika kering warnanya akan berubah menjadi lut sinar dan ini menandakan gam ini terbaik untuk bulu mata yang dipakai.

“Elakkan memilih gam jenis gelap atau kehitaman, kerana ia boleh merosakkan solekan sekiranya anda salah memasangnya,” katanya.

Kemudian pilih posisi paling tepat iaitu dengan melihat ke bawah melewati bahagian hidung. Kedudukan ini akan memudahkan anda memasang bulu mata palsu dan mencegah gam mengotori kelopak mata. Gunakan angkup atau penyepit bulu mata terlebih dulu bagi menjadikan bulu mata lebih terkesan impaknya.

“Kemudian ambil bulu mata palsu dan hitung panjang kelopak mata, potong jika bulu mata palsu ini terlebih panjang kemudian lekatkan di antara bulu mata asli. Pastikan bulu mata benar-benar melekat sebelum anda memakai maskara,” katanya.

Untuk pemakaian bulu mata jenis tiga dimensi pula, caranya tetap sama tetapi bulu mata harus ditekan sedikit pada bahagian hujungnya. Kemudian sapuan celak dilayangkan pada bahagian gam yang kelihatan. Akhiri dengan olesan celak untuk mendapatkan rona sekata sama seperti bulu mata asli.

Berpengalaman dalam solekan semula jadi sehingga dramatik jelas Yann, memakai bulu mata adalah salah satu keperluan terutama untuk mereka yang ingin menghadiri acara tertentu seperti makan malam, perkahwinan, permaidani merah atau acara bertema.

“Ini kerana mata menjadi simbolik atau titik tumpu dalam solekan jadi gabungan pembayang mata, celak, maskara dan juga bulu mata palsu mampu membuatkan penampilan anda kekal menyerlah dan anggun sentiasa,” ujarnya.

Panduan memakai bulu mata palsu:

1. Gunakan minyak bayi untuk menanggalkan bulu mata palsu. Ini kerana kandungan minyak ini dapat mencairkan gam sehingga bulu mata asli tidak ikut tertanggal. Caranya, tuangkan beberapa titis minyak bayi pada kapas, lalu sapukan kapas pada mata, biarkan sekejap. Tarik bulu mata palsu perlahan-lahan.

2. Masukkan kembali bulu mata palsu di dalam kotak kerana ia boleh digunakan semula. Bulu mata palsu boleh digunakan untuk dua hingga tiga kali pemakaian.

3. Untuk penampilan yang lebih dramatik anda boleh menggunakan bulu mata palsu pada bahagian bawah mata.

4. Elak menggunakan gam bulu mata terlalu banyak. Selain sukar ditanggalkan bulu mata asli anda akan gugur akibat penggunaannya.

5. Elak menggunakan bulu mata palsu yang sudah dipakai orang lain. Kawasan mata sangat sensitif, jadi anda perlu lebih berhati-hati. Untuk menjaga kebersihan mata dan mengelak daripada masalah radang, gunakan bulu mata palsu milik anda sendiri dan jangan dipinjamkan kepada orang lain.

6. Hindari menggunakan bulu mata palsu berkilat kerana serpihan kilatan mudah memasuki mata dan menyebabkan jangkitan kuman.

Langkah-langkah

1.  OLES maskara pada bulu mata sebelum memakai bulu mata palsu.
1. OLES maskara pada bulu mata sebelum memakai bulu mata palsu.

2. TEKAN dengan jari pada hujung bulu mata palsu bagi memastikan gam melekat kuat.
2. TEKAN dengan jari pada hujung bulu mata palsu bagi memastikan gam melekat kuat.

3. GAYA semula jadi dengan memakai bulu mata jenis natural. Sesuai untuk acara santai.
3. GAYA semula jadi dengan memakai bulu mata jenis natural. Sesuai untuk acara santai.

4. PEMAKAIAN bulu mata jenis tiga dimensi untuk acara makan malam, perkahwinan atau majlis bertema.
4. PEMAKAIAN bulu mata jenis tiga dimensi untuk acara makan malam, perkahwinan atau majlis bertema.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 4:56 PM