PJJ yang tidak diuruskan dengan baik boleh beri kesan kepada kesihatan mental. - FOTO Google
PJJ yang tidak diuruskan dengan baik boleh beri kesan kepada kesihatan mental. - FOTO Google

Muhamaad Razis Ismail

[email protected]

SETIAP suami isteri mempunyai impian ingin hidup bahagia bersama dan tinggal sebumbung.

Namun, bukan semua pasangan berpeluang merasai perkara itu kerana diuji tinggal berjauhan ratusan kilometer kerana tuntutan kerja.

Kebanyakan pasangan jarak jauh atau lebih dikenali sebagai PJJ ini hanya berpeluang bertemu pasangan dan anak pada hujung minggu atau setiap hujung bulan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Keadaan menjadi semakin sukar sejak pandemik Covid-19 melanda negara bermula Mac tahun lalu sehingga menyukarkan aktiviti rentas negeri.

Bagaimanapun, kerajaan yang memahami keluh kesah PJJ, memberi kelonggaran kepada golongan ini untuk merentas negeri dengan kebenaran polis biarpun ada yang mempertikaikan keputusan itu.

Terbaharu, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) sejak awal Jun lalu, aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan berikutan kenaikan mendadak kes baharu Covid-19 setiap hari.

Situasi ini menggusarkan ramai PJJ apabila hampir sebulan tidak dapat bertemu keluarga dan berkemungkinan besar keadaan ini berterusan berdasarkan keadaan semasa.

Pakar Perunding Psikiatri Hospital Serdang, Dr Umi Adzlin Silim berkata, hubungan jarak jauh yang tidak diuruskan dengan baik boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental.

Katanya, antara kesan yang boleh dirasai termasuk stres, kemurungan dan keresahan.

LUANGKAN masa untuk berkomunikasi. - FOTO Google
LUANGKAN masa untuk berkomunikasi. - FOTO Google

"Antara gejala seseorang itu mengalami kemurungan adalah sering sedih, hilang minat, terganggu tidur atau selera makan, tidak fokus dan sentiasa berfikiran yang pesimistik.

"Bagi mereka yang mengalami keresahan pula sering merasa tidak tenang, sukar tidur, hilang selera makan, menggeletar, sakit kepala dan berdebar," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada isu kesihatan dalam kalangan PJJ termasuk komunikasi tidak berkesan dan tidak berkongsi tanggungjawab secara wajar.

"Selain itu, ada unsur-unsur yang mengancam kepercayaan sesama pasangan dan ketidakmampuan mana-mana pasangan untuk menangani cabaran hidup sendirian dari segi penjagaan anak dan pengurusan hidup," katanya.

Mengulas lanjut, tidak dinafikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini boleh beri kesan lebih besar kepada PJJ yang sudah berdepan masalah.

"Namun, bagi pasangan yang mempunyai hubungan stabil, mereka mungkin dapat menghadapi keadaan PKP ini dan membuat penyesuaian yang diperlukan. Mereka mungkin lebih mampu bertahan kerana mengetahui keadaan ini adalah sementara," katanya.

Jelasnya, tidak dapat bertemu pasangan secara bersemuka dan kurangnya sokongan praktikal dan emosi adalah cabaran yang dihadapi pasangan PJJ.

HANTAR kejutan. - FOTO Google
HANTAR kejutan. - FOTO Google

"Pasangan yang tinggal dengan anak-anak akan berasa beban semakin tinggi, mungkin tanpa disedari timbul rasa tidak puas hati dan marah pada pasangan yang jauh kerana berasa tidak adil menanggung semua sendirian.

"Pasangan yang berjauhan akan rasa risau atau rasa dipersalahkan, tapi tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.

Katanya, PJJ boleh mengakibatkan hubungan menjadi renggang berikutan terdapat risiko yang boleh mengancam hubungan itu.

"Antaranya ialah tidak dapat memenuhi keperluan fizikal (biologi, urusan makan, minum dan seksual), terjejas keperluan rasa selamat (kepercayaan dan kesetiaan).

"Selain itu, pasangan tidak dapat memenuhi keperluan psikologi termasuk keperluan emosi masa susah senang dan terjejas keperluan kendiri," katanya.

Namun, hubungan PJJ boleh menjadi lebih kuat apabila masing-masing tekad mengharungi cabaran dan membuktikan mereka berdiri bersama dalam segala susah dan senang.

"Pasangan perlu lebih menghargai dan mengambil masa untuk sering berkomunikasi serta berbincang untuk mempelajari diri selain memahami satu sama lain," katanya.

Individu yang mengalami gangguan mental dinasihatkan mendapat bantuan menerusi talian sokongan psikososial, kaunselor, doktor dan pakar psikiatri.

"Kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental dilihat sudah meningkat apabila ramai yang cenderung mendapatkan bantuan pakar psikiatri.

"Orang di sekeliling PJJ juga boleh membantu dengan memberi sokongan emosi dan sokongan praktikal," katanya.

Tip merapatkan hubungan dalam kalangan PJJ

1) Mengendalikan komunikasi

  • Berkomunikasi dengan kerap dan kreatif

  • Berusaha untuk mengucapkan selamat pagi, selamat malam, menghantar perkembangan terkini seperti gambar dan video

  • Jangan rasa terpaksa hingga hilang keseronokan berkomunikasi

    2) Lakukan aktiviti bersama

  • Jika sesuai berusaha melakukan aktiviti bersama contohnya makan, mengaji, berdoa, membeli-belah bersama secara dalam talian

    3) Menjaga hubungan dengan berlaku jujur dengan pasangan dan menjaga hati pasangan

  • Berlaku jujur dan elakkan perkara berisiko dan perhatikan apa yang dimuat naik dalam media sosial

  • Berbincang mengenai kerisauan atau perasaan yang sukar dengan terbuka

    4) Hubungan dalam mental apa yang dilakukan

  • Kita tahu apa jadual pasangan dan apa yang pasangan lakukan

    5) Hantar hadiah dan kejutan

  • Nyatakan kasih sayang dan penghargaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 7:01 AM