KELELAHAN fizikal, mental dan emosi akibat tekanan. - FOTO Google
KELELAHAN fizikal, mental dan emosi akibat tekanan. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


BEKERJA dari rumah bukanlah perkara yang asing kini selepas negara dilanda pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Bagaimanapun tidak dinafikan, kaedah baharu ini, memberi kesan kepada ibu bapa yang perlu memenuhi tuntutan kerja dan pada masa sama menguruskan keperluan rumah.

Bebanan kerja yang bertambah ini boleh mengundang kepada 'burnout' kepada mereka yang bekerja dari rumah.

Pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria berkata, 'burnout' dalam terma psikologi merujuk kepada keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi yang berlaku kepada individu akibat pendedahan kepada tekanan yang berpanjangan.

"Ia berlaku apabila kita tidak lagi mampu menampung tekanan apabila sumber kekuatan kita dalam menghadapi tekanan selama ini semakin menyusut.

"Dalam masyarakat, 'burnout' sering dilihat sekadar stres biasa. Namun ia perlu diberi perhatian yang wajar kerana boleh memberi kesan kepada kesihatan mental sekiranya tidak ditangani dengan baik," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pensyarah di Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, dalam keadaan 'burnout,' seseorang itu hilang daya tolakan yang sebelum ini memberi rangsangan kepadanya untuk melakukan sesuatu.

"Sebagai contoh, jika seorang suri rumah dalam keadaan 'burnout,' dia akan berada dalam keadaan kelesuan melampau sehingga tidak lagi mengendahkan apa yang terjadi kepada keperluan rumah tangga.

"Analogi yang mudah adalah seperti kenderaan yang kehabisan bahan api untuk menggerakkan enjin. Dalam keadaan ini mereka tidak dapat berfungsi seperti sepatutnya," katanya.

Mengulas lanjut, ia berlaku kerana tekanan yang berterusan dalam keadaan hilangnya atau berkurangnya sokongan.

SUAMI dan isteri perlu bekerjasama uruskan rumah tangga. - FOTO Google
SUAMI dan isteri perlu bekerjasama uruskan rumah tangga. - FOTO Google

"Faktor yang menyumbang termasuk tuntutan yang melampaui kemampuan dan kurangnya penghargaan. Sebagai contoh, seseorang ibu yang menanggung kerja di tempat kerja, kemudian disambung dengan tuntutan urusan di rumah daripada suami dan anak-anak.

"Sekiranya dalam keluarga itu tidak ada elemen kerjasama, pembahagian tugas, budaya memuji dan memberi ruang untuk wanita itu berehat, maka kemungkinan 'burnout' itu lebih tinggi," katanya.

Selain itu, faktor personaliti turut menyumbang kepada 'burnout.'

"Contohnya seseorang itu memiliki personaliti yang mudah risau atau terlalu obses dengan kesempurnaan akan lebih terdedah kepada 'burnout'.

"Ia juga boleh berlaku dalam keadaan seseorang yang tidak cekap mengendalikan stres, gaya hidup yang tidak sihat dan kurang sokongan sosial," katanya.

Jelasnya, gejala 'burnout' boleh dibahagikan kepada tiga iaitu gejala fizikal, emosi dan tingkah laku.

"Antara gejala fizikal yang dirasai termasuk keletihan tubuh, daya tahan tubuh badan merosot dan mengalami sakit tubuh badan yang tidak spesifik.

"Bagi gejala emosi, seseorang itu antaranya mengalami perasaan gagal, meragui kemampuan diri dan hilang motivasi.

"Bagi gejala tingkah laku, dia lari daripada tanggungjawab dan menyalurkan kekecewaan kepada orang lain seperti melampiaskan kemarahan kepada anak-anak serta menggunakan bahan terlarang untuk berdepan dengan masalah," katanya.

Lebih parah, 'burnout' yang tidak ditangani boleh menjadi antara punca kepada masalah mental yang lebih serius seperti kemurungan dan kecelaruan keresahan.

"Pada jangka pendek, ia boleh beri kesan kepada individu seperti kemungkinan mencederakan diri, menghadapi masalah mental yang lebih serius selain menjejaskan rumah tangga dan anak-anak.

KESAN buruk kepada rumah tangga. - FOTO Google
KESAN buruk kepada rumah tangga. - FOTO Google

"Sementara bagi jangka masa panjang dalam konteks rumah tangga, boleh beri kesan kepada perkembangan psikologi anak, akibatnya berkemungkinan mereka membesar dengan masalah psikologi seperti kemurungan," katanya.

Menurutnya, seseorang yang mengalami masalah ini perlu sentiasa mendapatkan sokongan keluarga dan ambil tanggungjawab secara bersama.

"Perlu buat jangkaan yang praktikal kerana bekerja dari rumah tidak sama dengan bekerja di pejabat.

"Pada masa sama, berterus terang dengan pasangan dan anak-anak akan tuntutan kerja serta tetapkan jadual yang tersusun untuk menentukan keutamaan. Jangan abaikan kesihatan diri dan keperluan asas tubuh badan seperti rehat yang mencukupi.

"Sekiranya berterusan dan mula mengganggu fungsi seharian dapatkan bantuan profesional," katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan dalam berdepan waktu yang sukar, setiap individu perlu fleksibel dan kreatif dari segi kehidupan, fikiran serta cara kendalikan masalah.

"Jangan terlalu menekan diri sehingga kita tak tercapai apa yang kita jangkakan.

"Beri ruang untuk diri berehat dan menikmati kehidupan dalam masa yang sama berusaha menyelesaikan masalah mengikut kemampuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 7:00 AM