SENAM aerobik MILO Rentak Aktif dipimpin empat jurulatih kecergasan.
SENAM aerobik MILO Rentak Aktif dipimpin empat jurulatih kecergasan.
Hartini Mohd Nawi


DALAM meneruskan usaha membudayakan gaya hidup aktif, MILO melangkah jauh lagi dengan mempersembahkan MILO Rentak Aktif sebagai pemudah cara rakyat kekal aktif dalam norma baharu.

Program gaya hidup aktif terbaharu dalam talian yang pertama seumpamanya di bawah gerakan MILO Aktif Negaraku ini bertujuan untuk memupuk kebaikan gaya hidup aktif dengan cara paling asas dan mudah untuk semua iaitu melalui senam aerobik.

Dilancarkan pada 15 Ogos lalu secara penstriman langsung menerusi saluran YouTube MILO Malaysia, MILO Rentak Aktif mengajak penonton bergerak mengikut koreografi mudah yang sesuai diikuti seisi keluarga dari semua peringkat usia dipimpin empat jurulatih kecergasan.

Menurut Pembantu Pengurus Pemasaran Sukan MILO, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ahmad Fadhly Shah, selaku peneraju pembangunan sukan akar umbi dan gaya hidup aktif di Malaysia, pihaknya sangat teruja dan berbangga dengan sambutan rakyat yang amat menggalakkan.

"MILO Rentak Aktif menarik lebih 250,000 tontonan. Malah, angka itu dijangka semakin meningkat kerana mereka yang tidak berkesempatan sebelum ini masih boleh mengikuti semula mana-mana sesi pilihan pada bila-bila masa sahaja.

"Apatah lagi kini kita semakin berwaspada menjaga keselamatan dan penjarakan fizikal antara satu sama lain.

"Kami komited untuk memperkenalkan inovasi gaya hidup aktif baharu dan menyuntik semangat rakyat untuk kekal aktif, lebih-lebih lagi ketika berhadapan cabaran situasi semasa," katanya.

Pada masa sama, MILO Rentak Aktif diilhamkan melalui aktiviti senam aerobik yang popular ketika Hari Sarapan Malaysia MILO sejak beberapa tahun lalu.

Koreografinya pula dipadankan dengan bait-bait lirik lagu tema kempen Aktif Negaraku nyanyian Jaclyn Victor.

Lebih istimewa, setiap sesi turut menampilkan selebriti dan personaliti jemputan khas seperti Anas Tahir, Hasnida Hanim, Azim Wahab, Izzat Zin, Nadia Heng dan Radin serta ratu gimnastik kebangsaan, Izzah Amzan.

Sesi kelima yang juga adalah kemuncak MILO Rentak Aktif diadakan pada 10 Oktober lalu dengan penampilan khas Jaclyn Victor selaku teraju utama kempen MILO Aktif Negaraku. Beliau disertai rakan selebriti lain seperti Fahrin Ahmad, Aina Abdul dan Mei Yan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 6:20 AM