MEER dan Burhanuddin melancarkan syiling emas edisi terhad Upin dan Ipin di Putrajaya.
MEER dan Burhanuddin melancarkan syiling emas edisi terhad Upin dan Ipin di Putrajaya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DUO animasi Upin dan Ipin sememangnya watak kartun yang tidak perlu diperkenalkan lagi di rantau ini.

Video muzik animasi mereka mendapat jumlah tontonan sehingga 31 juta di saluran Youtube produksi Les' Copaque.

Pencapaian itu cukup membanggakan kerana ia hasil kerja dan keluaran anak tempatan.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih animasi popular itu mendorong pengeluar barangan kemas terkemuka tempatan, Habib untuk meraikan kempen merdeka dengan kolaborasi bersama Les' Copaque menerusi syiling emas edisi terhad Upin dan Ipin.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Sri Meer Habib berkata, pihaknya memilih kerjasama itu kerana animasi terkenal berkenaan adalah hasil karya anak tempatan dan ia bertepatan dengan tema kempen syarikatnya pada tahun ini iaitu #SokongLokal.

Kata beliau, animasi Upin dan Ipin tidak hanya ditonton kanak-kanak, malah setiap peringkat usia.

"Penghasilan syiling emas itu bukan hanya menarik perhatian pembeli namun dapat mendidik generasi muda untuk mula berjinak dalam pelaburan selain memupuk tabiat bijak berbelanja.

"Syiling emas edisi terhad itu juga adalah sebahagian daripada kempen #SokongLokal yang dianjurkan di mana ia bertujuan membantu merangsang perniagaan tempatan di saat keadaan ekonomi yang mencabar ini.

"Melalui kempen itu, pengguna digalakkan untuk menyokong produk dan servis tempatan kerana mereka tulang belakang kepada ekonomi negara dan secara tidak langsung membantu mengembangkan lagi ekonomi Malaysia.

"Tambahan pula, tiada yang lebih bermakna untuk menyahut seruan #SokongLokal di bulan kemerdekaan memandangkan Malaysia menyambut Hari Kebangsaan yang ke-63 Isnin lalu," katanya pada majlis perasmian di pusat beli-belah IOI Mall, Putrajaya.

Hadir sama, Pengarah Urusan Produksi Les' Copaque Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi.

SYILING emas seberat 0.2 gram yang boleh didapati pada harga RM118.
SYILING emas seberat 0.2 gram yang boleh didapati pada harga RM118.

Majlis perasmian syiling emas edisi terhad Upin dan Ipin seberat 0.2 gram dan dijual pada RM118 itu adalah kemuncak kepada Pameran Merdeka Habib yang berlangsung dari 27 Ogos lalu sehingga 6 September ini.

Jangan ketinggalan berkunjung ke pameran itu bagi mendapatkan syiling emas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 6:44 AM