RASA tidak ingin bersama mungkin disebabkan POI - FOTO Google
RASA tidak ingin bersama mungkin disebabkan POI - FOTO Google
Hafiz Ithnin

KADANGKALA kedengaran si isteri sudah menunjukkan rasa kurang minat untuk mengadakan hubungan intim atau tidak seghairah seperti baharu memasuki ke alam perkahwinan.

Namun, sebagai suami sebenarnya apabila isteri sudah mempunyai petanda kurang berminat atau tidak ghairah untuk melakukan hubungan kelamin, anda mempunyai tanggungjawab besar untuk mengetahui kemungkinan isteri yang dikasihi mempunyai masalah ketidakstabilan ovari utama, primary ovarian insufficiency (POI) mengakibatkan sukar untuk mengandung secara semula jadi.

Pakar Sakit Puan Metro IVF, Dr Salini Suhaila Nasir menjelaskan bahawa POI yang turut dikenali sebagai kegagalan ovari pramatang yang berlaku apabila ovari wanita berhenti bekerja terutama ketika hampir masuk pada usia 40 tahun.

Sudah diketahui umum tahap kesuburan wanita mula menurun apabila pada usia berkenaan dan ke atas.

Katanya, wanita muda berusia 35 sehingga 40 tahun juga berkemungkinan mengalaminya dan POI mungkin menjadi sindrom awal menopaus yang biasanya berlaku pada usia 50 tahun.

"Kitaran haid tidak teratur, berkedip panas, berpeluh malam, penglihatan kurang baik, sakit ketika melakukan hubungan kelamin dan kekeringan faraj juga sebenarnya antara simptom yang perlu diambil tahu oleh wanita dan pasangannya kerana berkemungkinan berdepan POI," katanya.

BERJUMPA pakar kesuburan langkah terbaik sekiranya wanita mengalami simptom masalah kesuburan. - FOTO Google
BERJUMPA pakar kesuburan langkah terbaik sekiranya wanita mengalami simptom masalah kesuburan. - FOTO Google

Pakar itu menjelaskan, untuk mengenali POI, berjumpa pakar adalah jalan terbaik kerana doktor membuat pemeriksaan secara menyeluruh antaranya sejarah keluarga yang mungkin mempunyai POI.

Katanya, ujian kehamilan untuk memastikan ketiadaan haid bukan disebabkan kehamilan, ujian fizikal, ujian darah bagi memeriksa tahap hormon termasuk menganalisis kromosom untuk mengenal pasti maklumat genetik pesakit dan melakukan ultrasound pelvis bagi mengukur saiz rahim dan ovari.

"Pada masa ini tiada rawatan khusus untuk POI, tetapi terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan pakar antaranya terapi penggantian hormon (HRT). Rawatan ini adalah paling biasa dilakukan untuk memberikan tubuh pesakit estrogen dan hormon lain yang tidak dibuat oleh ovari anda.

"HRT juga membantu meningkatkan kesihatan seksual, mengurangkan risiko penyakit jantung dan osteoporosis. Bagi pesakit yang mengambil HRT biasanya sehingga usia 50 hingga 55 tahun kerana pada usia itu berlaku menopaus bagi wanita," katanya.

Tambah pakar itu lagi, tambahan kalsium dan vitamin D juga diberikan kepada wanita yang mengalami POI memandangkan ia berisiko tinggi untuk masalah osteoporosis. Ia perlu diambil setiap hari.

RAWATAN IVF antara yang dilakukan bagi membantu wanita mengandung sekiranya tidak dapat hamil secara semula jadi - FOTO Google
RAWATAN IVF antara yang dilakukan bagi membantu wanita mengandung sekiranya tidak dapat hamil secara semula jadi - FOTO Google

"Bagi mereka yang mengalami POI dan mempunyai keinginan untuk hamil, kaedah hamil secara persenyawaan invtro atau bayi tabung uji (IVF) juga boleh dilakukan kerana pakar akan membantu pesakit untuk memberi rawatan lebih khusus bagi membolehkan mereka menimang cahaya mata dengan cara berkenaan.

"Selain itu, menjalani gaya hidup sihat dengan mengawal berat badan khasnya juga disarankan kepada pesakit kerana masalah berat badan berlebihan atau obesiti turut berpotensi menjadi penyebab kepada berlaku masalah kesihatan yang lain," katanya.

Dr Salini berkata, perubahan hormon disebabkan POI boleh menyumbang kepada masalah kebimbangan dan kemurungan atau dalam kata lain ia memberi kesan kepada isu kesihatan mental pesakit.

"Disebabkan itu, sekiranya isteri disahkan mengalami sebarang masalah kesihatan membabitkan hormon atau POI, orang paling rapat terutama pasangan perlu memainkan peranan penting untuk menyokong pesakit untuk lebih berada dalam keadaan positif.

MAKANAN yang mempunyai pelbagai khasiat terutama vitamin D diperlukan untuk membantu wanita lebih sihat dalam isu kesuburan - FOTO Google
MAKANAN yang mempunyai pelbagai khasiat terutama vitamin D diperlukan untuk membantu wanita lebih sihat dalam isu kesuburan - FOTO Google

PERINGKAT hormon estrogen yang berubah mengikut fasa usia - FOTO Google
PERINGKAT hormon estrogen yang berubah mengikut fasa usia - FOTO Google

"Terutama bagi mereka yang masih menginginkan zuriat dan perlu melakukan rawatan IVF, keadaan emosi wanita itu perlu dalam keadaan bagi memastikan tidak berlaku gangguan ketika proses rawatan kesuburan itu berlangsung kepada pesakit," katanya.

"Isu kesihatan lain seperti fungsi tiroid yang rendah juga perlu dikenal pasti kerana masalah itu mengakibatkan tahap daya tahan badan menjadi rendah menyebabkan rasa lesu dan kurang bertenaga.

"Osteoporosis juga antara isu kesihatan yang berpunca daripada POI kerana tanpa estrogen yang cukup ia akan menyebabkan tulang menjadi lemah dan rapuh serta cenderung untuk patah," katanya.

Pakar itu menasihatkan, sekiranya berlaku sebarang perubahan diri atau emosi wanita, suami perlu memainkan peranan penting bagi memastikan mereka dirujuk kepada pakar kesihatan.

Ia bagi memastikan tidak berlaku masalah kesihatan yang boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 7:00 AM