PPR dibina untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.
PPR dibina untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.
Nurul Husna Mahmud


AGENDA kerajaan mahu memperkasakan milikan hartanah kediaman tanpa mengira kelas pendapatan antara misi 'mustahil' untuk digapai dalam situasi pasaran hartanah ketika ini.

Pastinya kuasa membeli hartanah kediaman golongan B40 paling terjejas kerana golongan ini lebih memfokuskan keperluan harian.

Dalam membantu golongan itu memiliki peluang sama dalam milikan hartanah kediaman, kerajaan mewujudkan Program Perumahan Rakyat atau PPR.

Menurut Pensyarah Program Pengurusan Harta Tanah dan Perlelongan Fakulti Bisnes International University of Malaya-Wales (IUMW) Kuala Lumpur, Profesor Sr Dr Noor Rosly Hanif, inisiatif kerajaan itu sejak 2002 bermula sebagai usaha penempatan semula setinggan kini menjadi misi penting dalam membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah.

"Pelaksanaan program PPR menerusi Jabatan Perumahan Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertindak sebagai agensi pelaksana utama bagi projek PPR di seluruh negara antara inisiatif penting dalam pelaksanaan Dasar Perumahan Negara.

"Kerajaan Pusat dengan kerjasama kerajaan negeri pada awalnya (tahun 2002) melaksanakan program PPR adalah untuk penempatan semula setinggan dan kemudian dipanjangkan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah bagi memiliki rumah sendiri.

"Di bawah program PPR ini terdapat dua pilihan diberikan sama ada untuk disewa atau untuk dibeli. Reka bentuk dan binaan unit PPR ini mengadaptasi spesifikasi perumahan kos rendah ditetapkan Standard Perumahan Kebangsaan Bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa di Malaysia," katanya.

Tambah Dr Noor Rosly, sebelum ini unit PPR dijual dengan harga RM35,000 seunit di Semenanjung dan RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak dan harga ini belum disemak semula sehingga kini.

Disebabkan nilai harga jualan rendah, unit PPR mendapat permintaan tinggi dan difahamkan jumlah unit disasarkan kerajaan yang siap dibina masih rendah untuk jenis ini.

"Sasaran pembinaan PPR di seluruh negara adalah sebanyak 500,000 unit dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12).

PPR permulaan menangani isu setinggan kini berubah kepada memenuhi keperluan milikan hartanah kediaman golongan berpendapatan rendah.
PPR permulaan menangani isu setinggan kini berubah kepada memenuhi keperluan milikan hartanah kediaman golongan berpendapatan rendah.

"Setakat ini jumlah unit disiapkan jauh lebih rendah dari sasaran. Sehingga 2022 sejumlah 98,000 unit sahaja siap dibina dan 10,000 unit lagi masih dalam pembinaan di 26 projek PPR di seluruh negara.

"Data terkini jumlah unit PPR yang selesai dibina dan siap diduduki masih dalam kajian," katanya.

Bagi pemilik atau golongan B40 yang mahu memiliki rumah menerusi program terbabit, saringan ketat dijalankan bagi memastikan mereka yang layak sahaja mendapat kediaman terbabit.

"Unit PPR keutamaan diberikan kepada pemohon warga Malaysia yang tidak memiliki rumah dan mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan sahaja.

"Ada perubahan dalam syarat pendapatan yang mana terkini ia ditambah baik dan dinaikkan kepada di bawah RM5,000 sebulan. Namun itu tidak menjamin mendapatkan tempat dalam senarai panjang memohon PPR.

"Selain itu, dalam kes program untuk sewa beli bagi mereka yang gagal mendapatkan pinjaman kewangan dan akan diberi peluang terus menyewa untuk tempoh 20 tahun sebelum sebahagian dari bayaran sewaan itu diambil sebagai bayaran harga unit PPR," katanya.

Meskipun program PPR dilihat memperkasakan pembelian hartanah kediaman, dari sudut lain pakar itu melihat mekanisme dalam pelaksanaan program itu perlu ada penambahbaikan.

"Penyediaan rumah PPR ini memerlukan sokongan padu dari semua pihak terutama Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

"Jabatan Perumahan Negara diberi tanggungjawab untuk mengalas peranan sebagai agensi utama bagi pelaksaan projek rumah PPR ini. Bagaimanapun, kita sedia maklum urusan tanah dan kelulusan perancangan dan pembangunan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

YURAN penyelenggaraan seperti lif antara isu PPR sedia ada dan perlu penambahbaikan.
YURAN penyelenggaraan seperti lif antara isu PPR sedia ada dan perlu penambahbaikan.

"Mungkin dari segi perundangan boleh dilihat projek perumahan PPR ini dilaksanakan tanpa perlu melalui kelulusan Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan sebagaimana pelaksanaan projek kerajaan di bawah JKR satu ketika dulu. Ini dapat mengurangkan birokrasi kelulusan perancangan dan mempercepatkan masa," katanya.

Tidak hanya itu, beliau juga menyarankan kerajaan menilai semula mekanisme atau syarat pemilikan unit PPR secara belian dan sewaan.

Kajian itu merangkumi sistem sedia dan menilai kewajaran pembelian unit terus serta isu pewarisan yang mana pewarisnya bukan dari golongan berpendapatan rendah.

"Banyak isu perlu diteliti kerajaan termasuk milikan unit oleh pembeli dan status penyewa PPR yang mungkin sudah terkeluar dari kategori berpendapatan rendah.

"Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan pelaksanaan program khas membabitkan beberapa unit rumah PPR itu disewakan kepada mereka yang berpendapatan tinggi dengan sewaan yang lebih tinggi.

"Praktis ini meluas dilakukan di negara barat bagi membantu menampung kos penyenggaraan unit perumahan PPR.

"Pembinaan unit PPR lebih fleksibel yang mempunyai unit jenis studio, jenis satu, dua, tiga atau empat bilik bagi menampung keperluan isi rumah dan kadar sewaan yang berbeza-beza boleh diperkenalkan.

"Sistem ini lebih baik berbanding dengan penyediaan ruang yang 'monotonous' dalam satu-satu projek perumahan PPR sekarang ini," katanya.

Pendekatan penempatan pelbagai golongan dalam perumahan PPR dapat meringankan bebanan kerajaan menggunakan 'tax payer money' untuk menguruskan isu berkaitan penyelenggaraan PPR dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 6:20 AM