DZULKEFLY meluangkan masa meronda dan mengenal pasti masalah penduduk ketika mengadakan lawatan ke PPR Taman Desa Mutiara. FOTO/ Izlaily Nurul Ain Hussein
DZULKEFLY meluangkan masa meronda dan mengenal pasti masalah penduduk ketika mengadakan lawatan ke PPR Taman Desa Mutiara. FOTO/ Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


KERAJAAN negeri Johor bercadang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memotong terus bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada penerima bantuan yang menghuni PPR.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan negeri akur dengan penghuni PPR yang rata-rata golongan berpendapatan rendah, namun itu tidak boleh dijadikan alasan tidak membayar sewa rumah.

Kegagalan membayar sewa katanya, akan menyebabkan kerja penyelenggaraan PPR tergendala.

“Asal PPR ditubuhkan untuk penempatan semula kawasan setinggan yang mana golongan ini berpendapatan rendah.

“Tetapi ia bukan alasan tidak membayar sewa kerana kadar sewaan PPR yang lama sangat minimum iaitu RM124, manakala PPR baharu RM250.

“Manakala rata-rata penghuni PPR adalah penerima bantuan JKM secara bulanan.

“Cadangan pemotongan terus ini kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan untuk menampung bayaran tertunggak sewaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPR Taman Desa Mutiara, hari ini.

Ia adalah lawatan pertama ke PPR terbabit.

Dzulkefly mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian meluangkan masa meronda dan mengenal pasti masalah penduduk.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa.

PPR Taman Desa Mutiara mempunyai 22 blok dengan sewa tertunggak sejak 2016 hingga Jun 2018 sebanyak RM588,000 membabitkan 1,111 daripada 2,000 penyewa.

Dzulkefly berkata, isu besar di PPR Taman Desa Mutiara adalah kerosakan fizikal dan penyelenggaraan.

“Kami akan cuba atasi masalah ini. Beberapa kerosakan ketara seperti bumbung perlu dibaiki segera.

“Selain itu, gerai makan yang tidak sesuai di tepi jalan perlu dipindahkan selain masalah kenderaan berat yang diparkir merata tempat,” katanya.

Menurutnya, satu audit secara menyeluruh akan dibuat ke atas setiap kerosakan dan pihaknya berharap ia dapat dilaksanakan dengan peruntukan disediakan.

“Kediaman strata atau bertingkat ini perlu belanja besar, kami harap dapat laksanakan walaupun peruntukan terhad,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana penyewa PPR atau Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang menyewakan unit rumah mereka kepada orang lain.

“Jika kita dapati ia berlaku dan ada bukti sahih, kami akan batalkan perjanjian sewa mereka. Operasi akan dibuat secara berperingkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 8:05 PM