‘REFINANCE’ rumah memberi peluang kepada pelanggan membuat pembayaran pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah.
‘REFINANCE’ rumah memberi peluang kepada pelanggan membuat pembayaran pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


'Refinance' rumah ialah menukarkan pinjaman rumah sedia ada kepada pinjaman baharu.

Tujuan skim itu diperkenalkan institusi kewangan adalah untuk memberi peluang kepada pelanggan membuat pembayaran balik pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah dan mempunyai pulangan tunai.

Pengarah (Harta Tanah) Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Najib Razali berkata, pulangan tunai diperoleh jika pelanggan membuat pinjaman lebih tinggi.

Menurutnya, pulangan tunai itu pula dapat digunakan sebagai modal bagi perniagaan lain. Ini termasuk ada pelanggan yang membeli rumah lain sebagai pelaburan harta tanah.

"Keperluan membuat 'refinance' rumah atau tidak adalah bergantung kepada individu yang mana ada beberapa tujuan.

"Tujuan pertama ialah pelaburan dengan menggunakan duit pulangan tunai untuk membeli rumah lain bagi tujuan sewaan.

"Kedua adalah membuat pengubahsuaian rumah bertujuan meningkatkan nilai rumah berkenaan.

"Ketiga pula mungkin untuk pembiayaan pelajaran, memulakan perniagaan dan menstrukturkan semula hutang," katanya.

SKIM ‘refinance’ diperkenalkan institusi kewangan.
SKIM ‘refinance’ diperkenalkan institusi kewangan.

Jelasnya, keputusan penting dalam mempertimbangkan kehendak untuk 'refinance' rumah supaya peminjam layak untuk membuat 'refinance' itu adalah berdasarkan beberapa syarat kelayakan.

"Antara syarat kelayakan ialah laporan Sistem Makmumat Rujukan Semakan Kredit (CCRIS). Ini bagi memastikan kita tidak mempunyai rekod hutang tertunggak termasuk hutang kad kredit.

"Syarat kedua ialah harga pasaran harta tanah untuk memastikan kita mengetahui nilai pasaran harta tanah aset kediaman supaya dapat membuat tawaran kepada bank ketika membuat tawaran 'refinance'.

"Seterusnya syarat ketiga adalah mengetahui kos 'refinance' seperti kos duti setem, yuran penilaian, yuran guaman dan lain-lain kos terbabit," katanya.

Katanya, syarat keempat ialah mengetahui tempoh terkunci iaitu tempoh yang ditetapkan bank untuk tidak menjual rumah berkenaan. Ini untuk mengelak dikenakan penalti.

"Faktor lain ialah termasuk mengetahui supaya 'refinance' ini memenuhi tujuan membuat skim itu.

"Contoh jika ingin membeli rumah, maka sekurang-kurang ia dapat menampung kos membayar deposit rumah supaya kita tidak terbeban dengan hutang tambahan.

‘REFINANCE’ cara bijak boleh menjimatkan wang.
‘REFINANCE’ cara bijak boleh menjimatkan wang.

"Seterusnya memastikan supaya 'refinance' ini boleh mengurangkan beban ansuran bulanan rumah itu.

"Selain itu, ingin menukar pemberi pembiayaan daripada bank swasta kepada kerajaan di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang mempunyai kadar faedah tetap yang lebih rendah," katanya.

Ditanya cara bijak 'refinance' rumah yang menguntungkan Dr Muhammad Najib memberi jawapan, ada beberapa bank yang menawarkan rebat atau diskaun jika menyelesaikan hutang lebih awal. Maka teknik 'refinance' boleh menjimatkan wang.

Katanya, namun pelanggan perlu menyemak dengan tempoh terkunci bagi setiap aset kediaman.

"Memastikan harga rumah adalah lebih tinggi daripada nilai hutang. Jadi, kita akan mendapat pulangan rebat lebih tinggi dan menguntungkan.

"Bandingkan produk pinjaman perumahan oleh setiap institusi kewangan yang ada. Ini kerana ada pelbagai produk 'refinance' dalam pasaran," katanya.

Menyentuh kebaikan 'refinance' rumah yang ramai tidak mengetahui ialah ia dapat membantu menstrukturkan semula hutang supaya tidak terbeban dengan isi rumah hutang yang tinggi.

KELAYAKAN membuat ‘refinance’ berdasarkan syarat terma dan syarat.
KELAYAKAN membuat ‘refinance’ berdasarkan syarat terma dan syarat.

"Ini terutama bagi mereka yang mendapati bahawa hutang membayar ansuran bulanan adalah tinggi.

"Kebaikan lain ialah menurunkan kadar faedah supaya bayaran ansuran bulanan kepada bank adalah lebih rendah.

"Refinance rumah juga adalah salah satu mekanisma untuk menjana modal bagi tujuan lain yang membolehkan kita memperoleh pendapatan lain," katanya.

Bagaimanapun, Dr Muhammad Najib berkata, ada beberapa tip panduan sebelum membuat 'refinance' rumah iaitu memastikan supaya anda layak untuk membuat 'refinance'.

"Tip kedua ialah memastikan supaya harga pasaran rumah lebih tinggi daripada nilai baki hutang. Tip akhir pula memastikan supaya tujuan 'refinance' itu mencapai objektif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 6:20 AM