DASAR menghendaki pemaju memastikan sehingga 30 peratus daripada rumah dalam projek kediaman mega adalah mampu milik sebagai langkah kerajaan memastikan rakyat Malaysia mampu memiliki sebuah rumah.
DASAR menghendaki pemaju memastikan sehingga 30 peratus daripada rumah dalam projek kediaman mega adalah mampu milik sebagai langkah kerajaan memastikan rakyat Malaysia mampu memiliki sebuah rumah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


GESAAN terhadap kerajaan supaya menghapuskan dasar yang menghendaki pemaju memastikan sehingga 30 peratus daripada rumah dalam projek kediaman mega adalah rumah mampu milik amat tidak wajar.

Ini kerana dalam situasi harga rumah yang kian meningkat, ia akan terus menyebabkan peratusan rakyat Malaysia tidak memiliki rumah semakin tinggi.

Pengarah (Harta Tanah) Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Najib Razali berkata, menurut data dari Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAFIC), purata harga rumah pada 2010 ialah RM218,000 dan meningkat kepada RM450,000 (tahun 2022), iaitu peningkatan sebanyak 106 peratus.

Menurutnya, walaupun ketika ini penawaran melebihi daripada permintaan pembelian rumah, tetapi terdapat beberapa negeri menunjukkan jumlah rumah tidak terjual tinggi dan harganya semakin meningkat.

"Ini menongkah hukum ekonomi permintaan dan penawaran yang mana ketika keadaan penawaran melebihi permintaan, harga rumah sepatutnya mengalami penurunan. Justeru, kerajaan seharusnya meneruskan dasar membela rakyat kurang mampu.

"Dasar rumah mampu milik dan harga Bumiputera perlu diteruskan sehingga negara mencapai rekonsiliasi harga rumah selaras dengan permintaan serta penawaran," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu pemain harta tanah sehingga beberapa syarikat menjadi konglomerat besar tidak hanya di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

Katanya, inisiatif berterusan untuk menggalakkan pembelian rumah seperti Skim MyHome Malaysia, Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), Skim Pembiayaan 'Rent to Own' (RTO) dan cukai keuntungan harta tanah (RPGT) yang memberi banyak faedah kepada pemaju untuk menaikkan keuntungan mereka hasil daripada penjualan unit rumah.

"Kita memahami bahawa di dalam perniagaan, keuntungan maksimum adalah penting, namun tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia adalah tanggungjawab bersama.

"Untuk menyerahkan semua tanggungjawab menyediakan rumah mampu milik kepada kerajaan sahaja adalah tidak wajar. Sejak merdeka, kerajaan membangunkan Malaysia sehingga menjadi sebuah negara yang makmur bagi melaksanakan perniagaan termasuklah bidang harta tanah," katanya.

Dr Muhammad Najib berkata, beban kewangan kerajaan didapati semakin meningkat disebabkan pertambahan penduduk yang pesat termasuk cabaran ekonomi yang semakin kompleks.

Katanya, di dalam ekonomi terbuka, cabaran ekonomi dan kewangan pada masa kini serta akan datang akan menjadi semakin kompleks.

Oleh itu, seharusnya tanggungjawab untuk menyediakan rumah mampu milik menjadi agenda bersama kerajaan serta pihak swasta.

"Cadangan saya kepada persatuan perumahan supaya mengkaji semula analisis kesesuaian harga sebuah rumah dengan permintaan pasaran.

"Adakah harga yang ditetapkan pada masa kini sesuai dengan gaji penengah rakyat Malaysia dan permintaan pasaran. Harga tidak munasabah adalah pencetus kepada masalah rumah mampu milik," katanya.

Jelasnya, kerajaan menetapkan dasar yang menghendaki pemaju memastikan sehingga 30 peratus daripada rumah dalam projek kediaman mega adalah mampu milik sebagai langkah kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia mampu memiliki sebuah rumah bagi tujuan perlindungan dan pengembangan keluarga.

"Rumah adalah elemen penting dalam institusi keluarga kerana ia juga menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sosial dan rohani.

"Untuk menjadi sebuah negara maju, kita tidak hanya berpaksi kepada material dan kebendaan semata-mata. Namun, institusi keluarga juga adalah penting.

"Maka rumah adalah pusat kepada kesejahteraan sosial. Jika mereka yang berkemampuan berkeinginan rumah besar, maka golongan berpendapatan sederhana dan rendah juga seharusnya mempunyai hak memiliki sebuah rumah," katanya.

RUMAH Selangorku salah satu projek perumahan mampu milik.
RUMAH Selangorku salah satu projek perumahan mampu milik.

Katanya lagi, daripada perspektif harta tanah, polisi itu mampu mengekang elemen spekulasi supaya harga rumah tidak meningkat terlalu mendadak.

"Campur tangan kerajaan melalui polisi seperti harga siling rumah mengikut kategori, polisi harga Bumiputera dan peratus harga rumah mampu milik, mampu menjadikan sektor harta tanah 'menyejuk' atau dipanggil 'cooling measure.'

"Adalah dicadangkan juga kerajaan mengawal kelulusan projek perumahan untuk mengawal penawaran berlebihan sektor rumah kediaman di negara ini," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan mengambil alih tanggungjawab membina rumah mampu milik, sudah tentu ia akan menghapus subsidi silang kerana subsidi itu sudah diserap kerajaan dalam membina rumah mampu milik.

"Maka pemaju akan dapat melepaskan tanggungjawab membina kuota rumah mampu milik. Namun ia akan terus menekan kerajaan dalam menampung beban kewangan.

"Adakah dengan melaksanakan kaedah ini akan mampu merendahkan harga rumah? Ia tidak sama sekali kerana penentuan harga rumah adalah daripada pelbagai faktor terutama kos bahan binaan.

"Jika kerajaan tidak melaksanakan polisi subsidi bersilang, maka pemaju terus bebas dalam menyediakan harga rumah tanpa polisi 30 peratus rumah mampu milik. Oleh demikian, masalah rumah mampu milik akan menjadi lebih parah.

MAPEX memberi banyak faedah kepada pemaju untuk menaikkan keuntungan.
MAPEX memberi banyak faedah kepada pemaju untuk menaikkan keuntungan.

"Apa yang perlu dilakukan, pemaju harus meneliti aspek permintaan dan penawaran harga rumah supaya ia bertepatan dengan kemampuan majoriti rakyat Malaysia membeli rumah," katanya.

Menyentuh langkah terbaik untuk mengatasi isu rumah mampu milik yang masih menjadi perdebatan ramai, Dr Muhammad Najib berkata, perkara asas dalam suatu polisi sesebuah negara ialah tadbir urus.

Katanya, sektor perumahan di Malaysia berada di bawah tanggungjawab beberapa kementerian. Contohnya bahagian penilaian berada di bawah Kementerian Kewangan, manakala perumahan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

"Beberapa inisiatif berkaitan perumahan pula seperti MM2H berada di bawah Kementerian Dalam Negeri dan pernah di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

"Isu rumah mampu milik sudah berlarutan, maka dicadangkan supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Perumahan di bawah Parlimen untuk melihat isu perumahan di Malaysia.

"Melalui suruhanjaya ini, semua pihak perlu berunding untuk mencapai kata sepakat agar semua pihak mendapat faedah masing-masing," katanya.

Menurutnya, di universiti kajian harga rumahbanyak diterbitkan tidak hanya di jurnal tempatan malah di peringkat antarabangsa. Malah kajian perbandingan Malaysia dengan negara luar juga banyak dikaji.

"Justeru, fasa kajian sudah berlalu. Kini ialah pelaksanaan dan penguatkuasaan polisi serta tindakan harus dipergiatkan.

DR Muhammad Najib
DR Muhammad Najib

"Isu asas masalah rumah mampu milik ialah ketidakselarasan di antara permintaan dan penawaran. Di dalam keadaan penawaran berlebihan tiada tindakan untuk memperlahankan permintaan itu menyebabkan ia menjadi lambakan rumah.

"Walaupun berlaku lambakan rumah, harga rumah tetap tidak turun yang menjadi punca masalah harga rumah mampu milik.

"Adalah dicadangkan sebagai langkah penyejukan ('cooling measure') harga rumah di Malaysia, harga siling harga rumah mengikut kategori dilaksanakan. Langkah ini untuk menyelaraskan kembali masalah harga rumah supaya ia sesuai dengan permintaan dan penawaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 7:00 AM