AZRUL dan isteri membuat perancangan teliti sebelum membeli kediaman.
AZRUL dan isteri membuat perancangan teliti sebelum membeli kediaman.
Hafiz Ithnin

"IMPIAN perlu ada tetapi jangan terdesak," jelas pembeli rumah pertama ini yang baharu sahaja mendapat kunci kediamannya pada tahun lalu.

Bagi Azrul Nizam Adnan, 33, selepas lima tahun mendirikan rumah tangga barulah dia menemui kediaman yang diidamkan. Paling utama, harga yang ditawarkan masih sesuai dengan poket sendiri.

Katanya, meskipun rakan-rakan sebayanya sudah memiliki kediaman sendiri pada usia lebih muda tetapi ia tidak menjadi suatu tekanan kerana dia dan isteri, Nur Diyana Sahrur Rudi ingin memastikan tidak berdepan satu 'kerugian' pada masa akan datang.

"Saya melihat sendiri kawan-kawan yang sebaya dengan saya, ketika itu mungkin sudah lima atau enam tahun bekerja mereka terus membeli rumah jenis apartmen atau kondominium.

"Kemudian saya mendengar sendiri keluhan mereka apabila mendiami kediaman jenis itu seperti tidak begitu memberi kemudahan untuk membawa barangan yang banyak dan sosial anak-anak juga agak terhad. Jadi, saya ambil pengajaran daripada kisah mereka," katanya.

RONA putih menjadi pilihan.
RONA putih menjadi pilihan.

SUSUN atur ruang makan yang ringkas.
SUSUN atur ruang makan yang ringkas.

Bapa kepada dua cahaya mata ini membeli kediaman jenis townvilla di Bandar Baru Bangi, Selangor pada kadar RM598,000.

Kediaman bercirikan empat bilik tidur dan tiga bilik air itu mempunyai keluasan keseluruhan mencecah 1,608 kaki persegi.

Katanya, dia mengambil masa sekitar tiga hingga enam bulan untuk memuktamadkan keputusan membeli kediaman itu.

Jelasnya, membeli kediaman perlu dilakukan secara teliti kerana ia membabitkan tempoh pembiayaan yang agak lama dan komitmen bulanan yang tinggi.

"Jadi, saya dan isteri membuat banyak penelitian awal sebelum memutuskan membeli kediaman ini termasuk elemen harga, lokasi, keselesaan dan persekitaran kejiranan yang matang.

"Perkara ini penting kerana kami sudah berkeluarga semestinya memerlukan sebuah persekitaran yang lengkap dan mudah untuk diakses serta terdapat rangkaian jalan raya ke tempat kerja yang tidak terlalu jauh," katanya.

Azrul Nizam berkata, Bandar Baru Bangi walaupun kedengaran agak jauh dari ibu negara tetapi sebenarnya bagi mereka yang tinggal di lokasi itu, tidaklah begitu jauh kerana terdapat pelbagai jaringan lebuh raya.

"Tambahan pula, untuk mendapatkan kediaman jenis teres jika di kawasan Kuala Lumpur sendiri sudah tentu harganya lebih tinggi dan saya tidak mampu untuk memilikinya.

RUANG dapur yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
RUANG dapur yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

"Jadi, saya dan isteri merasakan kawasan ini tidak begitu jauh dan apatah lagi, bekerja dari rumah sudah menjadi amalan baharu dalam persekitaran hari ini. Justeru, kami merasakan lokasi ini sesuai," katanya yang tidak membuat pembiayaan atas nama bersama pasangan.

Azrul Nizam berkata, dia mengambil keputusan untuk membuat pembiayaan membeli kediaman itu di atas satu nama sahaja kerana isterinya mempunyai impian untuk membeli tanah pada masa depan.

"Apabila kami sudah bersara pada masa depan, isteri ingin mempunyai tanah untuk membangunkan rumah sendiri dan rumah ini mungkin diberikan kepada anak-anak.

"Disebabkan itu, untuk membuat pembiayaan atas satu nama kita perlu memastikan kemampuan pendapatan dan pengurusan kewangan yang baik," katanya.

Bercerita mengenai pengurusan kewangan, Azrul NIzam berkata, dia dan isteri dalam tempoh tiga tahun sebelum membuat keputusan membeli rumah berkenaan sudah mendisiplinkan diri untuk tabungan.

"Setiap bulan saya dan isteri mempunyai tabungan khas supaya apabila kami sudah mempunyai rumah, wang itu boleh digunakan untuk tujuan seperti pengubahsuaian.

"Memiliki rumah sememangnya perlu ada disiplin dalam pengurusan kewangan kerana ia membabitkan aliran kewangan," katanya.

BILIK yang terletak di tingkat atas.
BILIK yang terletak di tingkat atas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 7:01 AM