MERANCANG memiliki kediaman pada usia muda penting.
MERANCANG memiliki kediaman pada usia muda penting.
Hafiz Ithnin


"BUAT perancangan yang betul sebelum memuktamadkan sebarang keputusan ketika membeli kediaman," jelas wanita berusia 30 tahun ini.

Baginya, perancangan bukan sekadar mempunyai pengurusan wang tunai yang positif untuk melancarkan proses permohonan pembiayaan tetapi ia lebih daripada itu.

Pemilik nama, Solehah Alias, ini amat menitikberatkan aliran kewangan sebelum dan selepas membeli kediaman kerana bersandarkan pengalamannya yang baharu sahaja mendapat kunci pada Oktober tahun lalu, terdapat beberapa perkara yang boleh dijimatkan ketika membeli kediaman.

"Perkara pertama sekali ialah saya amat mementingkan lokasi pembelian kediaman, harga mampu milik iaitu ikut poket sendiri dan mendapatkan pakej pembelian kediaman disediakan pihak pemaju atau kerajaan yang turut menyebelahi pembeli.

"Seperti saya, membeli apartmen di Teluk Kumbar, Pulau Pinang adalah kediaman di bawah projek kerajaan negeri untuk rakyat negeri ini dan bagi mereka yang menginginkan kediaman di bawah projek berkenaan perlu memohon lebih awal," katanya.

Jelasnya, selepas enam bulan bekerja dan mendapat status pekerja tetap dia terus mendaftarkan diri untuk memiliki projek yang bersesuaian dengan kemampuannya.

BAGI Solehah pengurusan kewangan sebelum dan selepas pembelian kediaman amat penting.
BAGI Solehah pengurusan kewangan sebelum dan selepas pembelian kediaman amat penting.

KERJA-kerja renovasi selepas mendapat kunci perlu diteliti supaya tidak melepasi bajet.
KERJA-kerja renovasi selepas mendapat kunci perlu diteliti supaya tidak melepasi bajet.

Katanya, selepas lima tahun bekerja dan sudah mendaftar, Solehah sentiasa memantau projek-projek kediaman yang dibangunkan di bawah program berkenaan.

"Akhirnya, selepas mempunyai kewangan yang kukuh saya mengambil keputusan untuk membeli kediaman bersaiz 980 kaki persegi ini.

"Bagi saya, tidak perlu terburu-buru dalam membeli kediaman tetapi ia perlu ada strategi supaya keputusan yang dibuat tidak merugikan," katanya.

Katanya, dengan mendapat pembiayaan 90 peratus daripada pihak bank dan baki 10 peratus lagi adalah pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta simpanan peribadi.

Jelasnya, dia juga tidak berdepan dengan kesukaran atau cabaran untuk mendapatkan pembiayaan kerana sudah mempunyai strategi pengurusan wang yang agak baik sebelum membuat keputusan membeli rumah.

"Dalam tempoh kurang dua bulan seingat saya, pihak bank sudah memaklumkan permohonan pembiayaan saya diluluskan.

"Malah, saya juga ditawarkan dengan pakej pembiayaan yang baik oleh pihak bank," katanya yang membeli kediaman berharga RM250,000 itu.

Jelasnya, selepas mendapat kunci pada Oktober 2020, dia juga tidak terkecuali untuk melakukan kerja renovasi kediaman dan bersandarkan pengalamannya sebagai pembeli baharu, tidak perlu terburu-buru untuk melakukannya.

RUANG dapur yang ringkas milik Solehah.
RUANG dapur yang ringkas milik Solehah.

AKTIVITI renovasi kediaman hanya dilakukan membabitkan perkara yang penting sahaja.
AKTIVITI renovasi kediaman hanya dilakukan membabitkan perkara yang penting sahaja.

KABINET dapur dan peranti penyedut asap yang dipasang Solehah di kediamannya.
KABINET dapur dan peranti penyedut asap yang dipasang Solehah di kediamannya.

"Kerja-kerja renovasi kediaman selepas mendapat kunci ini ramai yang melihatnya sebagai sesuatu yang 'wajib' untuk dilakukan tetapi sebenarnya bersandarkan pengalaman saya sendiri, ia tidak perlu jika kediaman itu dalam keadaan baik.

"Selepas membeli kediaman ini, saya sendiri melakukan 'kesalahan' itu yang sebenarnya boleh menjimatkan lagi kos pemilikan kediaman ini," katanya.

Tambahnya lagi, kerja renovasi tidak seharusnya dilakukan secara terburu-buru dan mengikut perasaan semata-mata menginginkan kediaman yang cantik tetapi akhirnya boleh merugikan diri sendiri.

"Bersandarkan pengalaman saya, apabila mendapat kunci kediaman, sudah pasti banyak pihak cuba mempengaruhi kita untuk melakukan renovasi tetapi sebenarnya kita sendiri perlu mempunyai kesedaran terutama melihat kocek sendiri.

"Bagi mereka yang mempunyai bajet yang lebih, mungkin perkara itu dilihat sebagai satu pelaburan yang baik tetapi bagi saya kos renovasi yang berlebih-lebihan akan menyebabkan penambahan kos yang lain ketika membeli rumah," katanya.

Katanya lagi, dalam pembelian kediaman terutama pembeli rumah pertama tidak seharusnya melihat pengurusan kewangan yang baik sebelum mendapat kelulusan pembiayaan sahaja tetapi selepas mendapat kunci juga kerana membeli rumah menjadikan seseorang itu mempunyai komitmen kewangan pada jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:00 AM