RUANG tamu yang luas dengan hiasan dalaman menarik.
RUANG tamu yang luas dengan hiasan dalaman menarik.
Hafiz Ithnin


MEMILIKI rumah sendiri pastinya menjadi idaman kerana ia antara aset yang menguntungkan jika bijak mengatur strategi.

Apatah lagi, jika ia terletak di kawasan tumpuan pasti harganya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun dan mampu menjadi satu instrumen pelaburan jangka panjang.

Bagi pasangan suami isteri ini, mereka sebenarnya tidak mempunyai perancangan di awal perkahwinan untuk memiliki rumah sendiri kerana bercadang mendirikan rumah di kampung apabila bersara kelak.

Namun, melihat kepada persekitaran industri perumahan yang mampu memberi kesan baik kepada mereka untuk jangka panjang, akhirnya mereka memutuskan untuk memiliki rumah pertama di sekitar ibu negara.

Pasangan suami isteri berkenaan, Khaled Abd Marlik Hakim dan Effa Aman turut melihat memiliki rumah sendiri lebih berbaloi daripada menyewa.

MEMBELI rumah di ibu negara
MEMBELI rumah di ibu negara

Effa berkata, sebelum membeli rumah pertama mereka pada RM690,000 itu, dia dan suami menyewa di dua kediaman berbeza di sekitar ibu negara.

Katanya, walaupun kadar bayaran sewa ketika itu lebih murah daripada komitmen bulanan kepada bank, namun ia dapat mengurangkan kos perjalanan suami dari tempat kerja dan rumah.

"Memang kami pada awalnya tiada perancangan langsung untuk membeli rumah di sekitar Kuala Lumpur kerana saya mempunyai sebidang tanah di kampung dan ingin mempunyai rumah selepas suami bersara.

"Apabila suami melihat rakan sekerja mula membeli rumah di sekitar ibu negara dan ia boleh menjadi pelaburan jangka panjang, akhirnya memutuskan untuk membeli rumah pertama di Kuala Lumpur," katanya.

RENOVASI ringkas menjadi pilihan Effa dan suami.
RENOVASI ringkas menjadi pilihan Effa dan suami.

Effa berkata, dia dan suami beruntung kerana rumah yang dibeli ketika itu sudah pun siap dan hanya mengambil masa dua minggu untuk mendapatkan kunci.

"Sebelum memutuskan untuk membeli rumah ini, ada satu lagi rumah yang kami lihat sebagai alternatif sekiranya permohonan pembiayaan tidak diluluskan.

"Syukur dalam tempoh dua minggu sahaja pembiayaan kami diluluskan dan proses pembelian juga berjalan lancar," katanya.

Rumah jenis kondominium empat bilik tidur dan dua bilik air berkeluasan 1,059 kaki persegi milik pasangan itu terletak di Setapak.

DAPUR basah yang turut menempatkan mesin basuh.
DAPUR basah yang turut menempatkan mesin basuh.

Katanya, selain ciri- ciri rumah yang luas untuk mereka berdua yang sudah mempunyai dua cahaya mata, kondominium itu turut mempunyai jaringan kemudahan yang baik.

"Di bawah rumah terdapat unit komersial yang memudahkan kami untuk membeli-belah dan paling penting ia mudah diakses dengan banyak laluan lebuh raya. Jadi, mudah untuk suami ke tempat kerja.

"Selain itu, sebagai suri rumah saya amat mementingkan keselamatan dan kondominium ini agak sukar untuk diakses kecuali penghuninya sahaja. Jadi, bagi saya ia selamat untuk dihuni," katanya.

Effa juga mengakui perkara paling penting untuk membeli rumah ialah membuat perkiraan dan mengetahui komitmen bayaran kepada bank tidak membebankan aliran kewangan keluarga.

RUANG dapur yang ringkas dan teratur.
RUANG dapur yang ringkas dan teratur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 6:30 AM