JENAZAH Taibah dibawa masuk ke dalam van untuk dikebumikan selepas selesai disembahyangkan. Gambar kecil, Imaduddin. FOTO Zuliaty Zulkiffli
JENAZAH Taibah dibawa masuk ke dalam van untuk dikebumikan selepas selesai disembahyangkan. Gambar kecil, Imaduddin. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: "Umi pernah cakap, umi hantar anak-anak belajar agama dan bila solat jenazah nanti nak hampa (anak lelaki) jadi imam, sekarang saya dah tunaikan dan itulah khidmat terakhir saya untuk arwah umi," kata Imaduddin Md Noor, 24.

Imaddudin adalah anak kepada Taibah Sulaiman, 61, seorang daripada tiga perwakilan Muslimat PAS yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 390 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Behrang, Perak, semalam.

Menurut Imaduddin, Rabu lalu, dia menghantar ibunya di Stesen Bas Sungai Petani untuk menaiki bas bersama rombongan ke Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam, Selangor.

"Ketika dalam perjalanan, kami berbual mengenai mati syahid dan pergolakan yang berlaku di Palestin..umi kata lelaki boleh pi berperang, tapi perempuan susah.

"Umi suka membantu orang...selalu cerita tentang kematian orang yang baik-baik malah umi selalu impikan mati syahid..saya sedih tapi saya syukur, umi meninggal ketika mahu membantu orang lain..umi dah dapat apa umi nak," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang, di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah yang tiba di Masjid As Salam, Teluk Wang pada 9 pagi tadi kemudian diimamkan oleh anaknya Imaduddin yang juga anak keenam daripada lapan beradik.

Imaduddin berkata, sebaik menerima berita kemalangan yang diterima melalui kumpulan WhatsApp keluarga, pada mulanya mereka menyangka ibunya hanya cedera biasa dan mereka bersiap untuk melihatnya di Hospital Slim River, Perak

Namun katanya, tidak lama kemudian adiknya memberitahu yang ibu mereka sudah meninggal dunia menyebabkan mereka sedih namun redha dengan apa yang berlaku.

"Mulanya saya beritahu pihak masjid, saya bersedia untuk menjadi imam bagi menguruskan solat jenazah umi tetapi saya tak mampu.

"Namun, saya akhirnya gagahkan diri untuk tunaikan hasrat umi melihat anaknya menjadi imam solat jenazah, saya kuatkan diri walaupun sebak," katanya.

Imaduddin berkata, arwah ibunya memang sudah lama bergiat aktif dalam politik Muslimat PAS dan rajin membantu orang lain yang dalam kesusahan.

Sementara itu, kakak ipar Allahyarhamah, Zalina Hasan, 54, berkata, dia melihat wajah adik iparnya itu dalam keadaan bersih dan berseri-seri ketika membuka kain kafan untuk melihat wajah arwah buat kali terakhir.

"Memang saya nampak wajahnya berseri dari biasa mungkin sepanjang hayatnya dia suka bantu orang," katanya.

Dalam kejadian 2 petang semalam, tiga wanita Muslimat PAS iaitu Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, serta dua lagi pimpinan, Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dirempuh Toyota Altis ketika ketiga-tiga mangsa menghentikan Toyota Fortuner dinaiki mereka di bahu jalan.

Kejadian berlaku ketika mereka hendak membantu seorang pemandu lelaki trak pikap yang terbabas dan terbalik di longkang di kiri jalan.

Akibat kemalangan itu, Fatihah Nabila dan Taibah disahkan maut di tempat kejadian, manakala Nurul Najihah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River, petang semalam.

Jenazah Fatihah Nabila dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Berangan,Kota Kuala Muda manakala Nurul Najihah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Irfan, Derga di Alor Setar hari ini.

Berita berkaitan

Ucapan hari lahir terakhir sebelum isteri maut kemalangan

Semoga roh mereka diberi ganjaran tinggi

Tak sedap hati, petanda tiga rakan maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 12:51 PM