Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni (tengah) merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Peranti Perubatan Di Sarawak 2024 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni (tengah) merasmikan Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Peranti Perubatan Di Sarawak 2024 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti untuk membuat sedikit pindaan terhadap akta berkaitan penjualan peranti perubatan menerusi platform e-dagang.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ia berikutan pihaknya menerima banyak cadangan daripada pemain industri berkaitan yang bimbang penjualan peranti perubatan yang memudaratkan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan membuat kajian berhubung pelbagai cadangan itu sebelum membawanya ke Parlimen.

"Kita menerima banyak cadangan agar platform e-dagang menilai peranti perubatan yang ditawarkan di dalam talian.

"Justeru kita juga perlu membuat sedikit pindaan di dalam Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) berlandaskan cadangan-cadangan yang diterima," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Peranti Perubatan Di Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Setiausaha Tetap MINTRED Lo Sheau Sia, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) Dr Muralitharan Paramasua dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Veronica Lugah.

Lukanisman berkata, antara cadangan yang diterima ialah menarik balik penjualan peranti perubatan yang tidak mempunyai kelulusan MDA di platform e-dagang.

"Pemain industri mencadangkan platform e-dagang seperti TikTok, Shopee dan Lazada supaya mempunyai satu mekanisme untuk menarik keluar semua iklan berkaitan peranti perubatan yang tidak mempunyai kelulusan MDA keluar dari jualan di platform itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 2:59 PM