SEORANG lelaki menikmati teh di kawasan terbuka.
SEORANG lelaki menikmati teh di kawasan terbuka.
Agensi

Karachi: Rakyat Pakistan digesa supaya kurangkan minum teh bagi memastikan ekonomi terus berkembang ketika negara pengimport teh terbesar dunia itu bergelut dengan inflasi yang melambung tinggi dan nilai rupee yang cepat menyusut.

CNN melaporkan, Menteri Perancangan dan Pembangunan Persekutuan, Ahsan Iqbal, pada Selasa memberitahu pemberita bahawa rakyat Pakistan boleh mengurangkan penggunaan teh mereka sebanyak 'satu atau dua cawan' sehari kerana import memberi tekanan kewangan tambahan kepada kerajaan.

"Teh yang kami import, diimport dengan mengambil pinjaman," kata Iqbal sambil menambah perniagaan juga harus ditutup lebih awal untuk menjimatkan tenaga elektrik.

Negara Asia Selatan dengan 220 juta penduduk itu adalah pengimport teh terbesar di dunia, membeli lebih daripada AS$640 juta (RM2.8 bilion) nilai pada 2020, menurut Observatory of Economic Complexity.

Pakistan menghadapi cabaran ekonomi teruk selama berbulan-bulan, menyebabkan kenaikan harga makanan, gas dan minyak.

Sementara itu, rizab mata wang asingnya merosot dengan cepat.

Dana dipegang Bank Pusat jatuh daripada AS$16.3 bilion (RM71.7 bilion) pada akhir Februari kepada hanya melebihi AS$10 bilion (RM43.9 bilion) pada Mei, menurut Reuters.

Ia penurunan lebih AS$6 bilion (RM26.4 bilion) dan cukup untuk menampung kos dua bulan importnya.

Ramai di Pakistan menggunakan media sosial untuk mempersendakan rayuan Iqbal.

Mereka berkata mengurangkan penggunaan teh tidak membantu mengurangkan masalah ekonomi negara.

Krisis ekonomi Pakistan menjadi pusat pertembungan politik antara Perdana Menteri Shehbaz Sharif dan pendahulunya Imran Khan awal tahun ini, yang membawa kepada penyingkiran Imran, pada April.

Shehbaz menuduh Imran salah urus ekonomi dan silap mengendalikan dasar luar negara, memaksa Imran keluar daripada jawatan dalam undi tidak percaya.

Menerima krisis ekonomi yang semakin memuncak sudah menjadi cabaran bagi kerajaan Shehbaz.

Pada penghujung Mei, kerajaan menarik balik had harga bahan api, satu syarat untuk meneruskan perjanjian penyelamatan lama dengan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 6:30 AM