ZIZI menamatkan zaman bujangnya selepas berkenalan kira-kira dua bulan dengan Yusof Bahrin.
ZIZI menamatkan zaman bujangnya selepas berkenalan kira-kira dua bulan dengan Yusof Bahrin.
Sudirman Mohd Tahir


TANPA perlu menghebohkan perhubungan yang terjalin, penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Yusuf Bahrin selamat bernikah pada Ahad lalu.

Biarpun sebelumnya bertebaran gosip yang mengaitkan mereka ekoran beberapa siri video siaran langsung di Instagram yang tular dengan memaparkan keakraban pasangan ini, namun tidak ada sebarang kenyataan konkrit daripada mereka.

Kebanyakan warganet dan peminat memuji tindakan penyanyi Eh! itu kerana tidak terlalu bercerita sehinggalah dia dan Yusuf bergelar suami isteri.

Zizi, 36, atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil berkata, perjalanan dilalui bersama Yusuf adalah jodoh dan ketentuan Allah SWT.

"Apa boleh dikatakan, inilah yang dinamakan jodoh yang Tuhan bagi. Walaupun saya tidak tahu apa nanti yang akan berlaku pada masa akan datang, Insya-Allah ini jodoh Allah tetapkan.

"Kalau ikutkan kami betul betul berkenalan baharu dua bulan. Pada awal Julai, dia ajak saya kahwin. Ketika itu pun, saya tidak menolak. Tapi, saya terus beritahu pada mak, dia tanya siapa dan saya berikan Instagram Yusuf. Selepas itu, mak terus cakap dia okay saja kalau itu adalah seru buat saya.

"Begitu juga dengan kedua ibu bapa Yusuf yang mana mereka juga terus setuju. Apabila kedua keluarga sudah bersetuju, dari situ kami mula merancang ke fasa seterusnya. Cuma, saya memang tidak cakap apa-apa dan ambil pendekatan diam dulu sebab selagi belum ada pengesahan, saya tidak mahu kecoh," katanya.

Zizi juga mengakui, tempoh dua bulan itu masih tidak cukup buat mereka saling mengenali dan memahami hati budi masing-masing.

Disebabkan itu, Zizi menyifatkan perkahwinan yang baru dibina ini adalah masa buat mereka bercinta dan mendalami karakter antara satu sama lain.

"Betul, sekarang ini kami memang dalam fasa nak kenal hati budi. Saya memang cakap pada Yusuf, selepas kahwin baru nak bercinta, 'dating' seterusnya kenal diri masing-masing. Saya juga cakap pada dia, kalau tiba-tiba ada perangai saya yang tak kena di hati, kena terima sebab sudah berkahwin," katanya.

Dalam masa sama, Zizi tidak melihat perbezaan umur tujuh tahun antara mereka adalah satu masalah. Bagi Zizi, suaminya itu adalah lelaki yang cukup matang dari usianya.

"Ketika di awal perkenalan, saya tanya dia anak ke berapa dan tinggal di mana. Apabila dia cakap anak sulung, saya fikir dia akan tahu soal tanggungjawab. Macam saya juga anak sulung dan itu yang saya pegang. Jadi saya yakin dia ada tanggungjawab itu.

"Pemikiran dia pula lebih matang dari saya. Dia seorang yang rileks dan santai. Pendek kata dia matang dari usia. Biarpun sebenarnya dia kuat membebel, tapi apa yang diperkatakan itu sebenarnya berasas," katanya.

KEDUA-DUA pihak saling berkompromi, tahu adab dan batas dalam bidang masing-masing
KEDUA-DUA pihak saling berkompromi, tahu adab dan batas dalam bidang masing-masing

I

Tahu jaga batas

Menyedari hakikat keduanya terbabit dalam bidang seni, baik Zizi mahu pun Yusuf mereka perlu saling berkompromi.

Namun, paling penting bagi mereka sekarang adalah perlu pandai bawa diri dan jaga batas bersesuaian dengan status diri.

Ditanya kepada Zizi sejauh mana penerimaannya jika suaminya itu berlakon dengan pelakon wanita lain, paling penting bagi Zizi adalah Yusuf perlu sedar diri.

"Saya ingatkan dia juga, kena sedar diri yang mana sudah berkahwin. Jangan pula apabila berlakon nanti nak lebih-lebih. Kiranya itu adalah amaran awal. Bagi saya, perlu tahu tanggungjawab, diri apa, dosa dan sebagainya. Alhamdulillah, dia tahu semua itu dan akan terus jaga batas.

"Saya pasti akan ambil tahu dengan siapa dia berlakon. Tapi insya-Allah, saya okey saja.

Saya tidak cemburu, selagi tidak ada sebarang tindakan atau perkara yang keterlaluan terjadi. Paling penting sekarang, jangan buka ruang ke arah perkara lain. Kalau ada perkara pelik di mata saya, ia sudah tak boleh dibiarkan," katanya.

Senada dengan Zizi, Yusuf juga sentiasa memberikan sokongan kepada kerjaya nyanyian isterinya.

"Saya sokong apa dia nak buat selagi mendatangkan kebaikan pada kami. Cuma, kena ada batasnya. Tak boleh sentuh dan berpegangan. Kalau ada peluang kami berlakon sana, lagilah bagus. Saya kira itu adalah rezeki buat kami.

"Apabila sudah berkahwin ini, saya letakkan sepenuh keyakinan pada rezeki Allah. Jika ada rezeki saya lepas kahwin, saya bersyukur. Jika sebaliknya, saya tetap bersyukur. Mungkin Allah nak bagi di tempat lain. Saya tak rasa ralat. Saya tahu bila Allah dah aturkan semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 6:00 AM