ZIZI tak ganggu kerja suami.
ZIZI tak ganggu kerja suami.
Najiy Jefri


PENYANYI, Zizi Kirana, 37, menolak tanggapan segelintir pihak mendakwa dia terlalu cemburu sehingga kerap hadir menemani suaminya yang juga pelakon, Yusuf Bahrin di set penggambaran.

Zizi berkata, dia berasa pelik perkara itu boleh timbul kerana sejak berkahwin dia hanya menemani suami beberapa kali kerana enggan mengganggu kerja suaminya.

"Saya pun tak tahu macam mana perkara ini timbul kerana bukan selalu saya teman Yusuf di set penggambaran. Sesekali itu adalah, tapi tidak selalu nak berkepit.

"Sebenarnya saya ikut suami kalau ada masa lapang dan ketika itu tiada urusan kerja. Kalau dia ajak baru saya ikut. Kalau saya ada kerja yang perlu dibereskan, saya kerja.

"Kami ini masing-masing saling gilir-gilir. Kalau dia tak ada penggambaran, dia pun akan ikut teman saya ke mana-mana. Orang kata, sementara masih berdua ini, jadi kita banyakkan masa berdua-duaan. Bukan sebab cemburu." katanya pada majlis Astro Showcase Party di Menara Kuala Lumpur di ibu kota, baru-baru ini.

Menurut Zizi, dia juga hairan mengapa isu seperti itu dijadikan pertikaian memandangkan dia tidak melakukan sebarang kesalahan atau mengganggu proses penggambaran.

"Nak kata orang dengki pun tak boleh juga. Mungkin orang yang sampaikan hal seperti ini saja-saja nak berborak dengan orang lain, tapi tiada topik.

"Jadi, dia pun dapat idea nak cakap begitu. Kita pun tahu batasnya sebab masing-masing sudah sedia faham kerjaya sendiri. Lagipun kalau teman ke mana-mana, bukan orang lain, dia suami saya," katanya.

RANCANG memperlahankan aktiviti seni bermula pada tahun depan.
RANCANG memperlahankan aktiviti seni bermula pada tahun depan.

Ditanya mengenai cabaran hidup berumah tangga, Zizi akui tidak mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

"Tidak semudah yang orang dengar sebab bila dah jadi isteri ini, tentu kita kena taat pada suami. Maklum saja, sebelum itu kita sudah biasa hidup sendiri.

"Sekarang sudah ada suami, jadi apa-apa kena rujuk dengan suami. Tetapi, Alhamdulillah setakat ini saya masih cuba dan berusaha jadi isteri yang mentaati suami. Kita masih belajar," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan untuk memiliki zuriat, Zizi mengakui memperlahankan aktiviti seni bermula pada tahun depan dan mendapat persetujuan bersama Yusuf.

"Allah SWT itu Maha Mengetahui. Kita ini cuma mampu merancang. Saya dan Yusuf akan cuba susun dengan baik perancangan kami untuk tujuan ini. Tahun depan kami cuba fokus pada soal zuriat.

"Kami berdua amat mengharapkan doa daripada semua pihak. Moga semuanya dipermudahkan-Nya," katanya.

Zizi mendirikan rumah tangga dengan Yusuf pada 19 September tahun lalu selepas dua bulan mengenali hati budi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 6:11 AM