Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dalang utama aktiviti perjudian dalam talian, Alvin Goh atau Goh Leong Yeong dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini, bagi menghadapi pertuduhan menerima wang RM2.14 juta hasil daripada aktiviti haram.

Alvin Goh tiba jam 11.05 pagi dengan dibawa oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menaiki van.

Suspek berdepan tujuh pertuduhan menerima wang RM2.14 juta hasil daripada aktiviti haram pada September 2019 sehingga November 2019.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pertuduhan ini juga adalah berkaitan tangkapan ratusan warga China di Cyberjaya.

ALVIN Goh dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi
ALVIN Goh dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi

Siasatan kes yang dilakukan Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum ini menyita RM482,508.19 milik syarikat Alvin Goh.

Syarikat Alvin Goh juga didapati membenarkan imigran larangan berada di premis miliknya dan menjalankan aktiviti berkaitan scam online.

Sebelum ini media melaporkan Alvin Goh bersama Addy Kanna dan dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.

Alvin Goh ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor bersama seorang lagi anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 11:28 AM