KUCING betina dijadikan hantaran dan menjadi tumpuan di majlis pertunangan Yusmadiella dan Abdul Qaiyum. FOTO ihsan Yusmadiella Seleh
KUCING betina dijadikan hantaran dan menjadi tumpuan di majlis pertunangan Yusmadiella dan Abdul Qaiyum. FOTO ihsan Yusmadiella Seleh
Murnaena Muhammad Nasir


KEBIASAANNYA bakal pengantin menjadi perhatian ramai dalam majlis pertunangan.

Namun, berbeza situasi membabitkan majlis pertunangan pasangan dari Sarawak apabila seekor kucing mendapat tumpuan tetamu yang hadir.

Ini kerana, kucing betina dinamakan Bijibu Ashley itu dijadikan satu daripada 11 hantaran diberikan pihak lelaki kepada keluarga perempuan.

Menurut Yusmadiella Seleh, 24, dia tidak menyangka hantaran majlis pertunangannya bersama pasangan, Abdul Qaiyum Habaruddin, 24, tular di Facebook.

"Tidak sangka tular sedangkan kami merancang membeli barangan hantaran mengikut minat masing-masing, bukannya untuk mendapatkan perhatian semata-mata.

"Saya sukakan kucing, jadi tunang pilih kucing 'British Short Hair' untuk dijadikan hantaran.

"Atas dasar menghormati minatnya, saya membalas dengan memberinya mesin pancing jenama Abu Garcia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

KUCING betina dinamakan Bijibu Ashley.  FOTO ihsan Yusmadiella Seleh
KUCING betina dinamakan Bijibu Ashley. FOTO ihsan Yusmadiella Seleh

Bercerita mengenai reaksi keluarga dan tetamu, anak kelima daripada tujuh adik beradik itu berkata, ramai tetamu majlis itu pelik dengan konsep hantaran mereka.

"Ramai terkejut apabila satu gubahan hantaran di dalam dulang itu ada kucing. Mungkin ada juga fikir tak logik dan hairan bagi hantaran kucing berbalas mesin pancing.

"Tetapi saya tidak ambil kisah perkara itu kerana memang keinginan saya untuk membawa satu kelainan," katanya.

Yusmadiella berkata, ketika majlis berlangsung kucingnya itu tidak duduk diam sehingga menyukarkan jurukamera untuk mengambil gambar.

"Ramai komen di Facebook Bijibu nampak jinak dan tenang duduk dalam dulang hantaran, tapi realitinya gambar tular itulah satu-satunya gambar elok.

"Konsep hantaran ini mungkin boleh jadi idea untuk pasangan pencinta kucing lain selepas ini dan menjadi satu cabaran kepada jurukamera di luar sana," katanya.

Menurutnya, dia dan pasangan merancang untuk mendirikan rumah tangga tahun depan.

Katanya, mereka bersekolah di sekolah sama sejak Tingkatan 1, tetapi berlainan kelas menyebabkan dia tidak mengenali tunangnya.

"Menariknya, tunang saya sebenarnya menyimpan hati sejak dari sekolah lagi tapi tidak berani meluahkannya.

"Tahun lalu baru kami mengenali hati budi masing-masing dan memutuskan untuk bertunang," katanya.

Terdahulu, perkongsian ketika majlis pertunangan Yusmadiella tular di Facebook dan dikongsi lebih 800 pengikut.

Yusmadiella dan pasangan melangsungkan pertunangan di Sarawak pada 2 Ogos lalu dengan 11 dulang hantaran pihak perempuan berbalas 13 dulang hantaran pihak lelaki.

Selain kucing dan mesin pancing, hantaran lain pasangan itu termasuk beg tangan, jam, kasut, tali pinggang, alat solek dan minyak wangi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 9:00 PM