Najiy Jefri


"EMOSI emak tidak stabil selepas melihat video motosikal arwah adiknya diseret sejauh dua kilometer dipercayai dipandu seorang lelaki mabuk," kata pelakon, Aishah Azman, 24, mengenai kejadian bapa saudaranya, Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta, awal pagi hari ini.

Aishah berkata, pemergian bapa saudaranya amat dirasakan kerana arwah antara individu yang rapat dengan ibunya.

"Arwah bapa saudara seorang yang lemah-lembut dan dia juga sering mengutamakan keluarga," katanya.

Aishah juga berharap kerajaan mempertimbangkan hukuman setimpal dikenakan kepada pemandu terbabit.

AISHAH Azman. FOTO arkib NSTP
AISHAH Azman. FOTO arkib NSTP

"Saya harap kerajaan mengambil serius isu ini dan mengenakan hukuman setimpal kepada pemandu terbabit yang memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan nyawa seseorang melayang.

"Mereka yang dilanggar pemandu mabuk tidak membuat sebarang kesalahan, malah ada yang keluar mencari rezeki tapi menjadi mangsa disebabkan individu tidak bertanggungjawab," katanya.

Terdahulu Aishah atau nama sebenarnya Nor Aishah Afika Azman Shah memuat naik video motosikal bapa saudaranya itu diseret kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Mohamed Zaili disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 20 tahun dari arah belakang.

Berita berkaitan

Tak mengaku salah memandu dalam keadaan mabuk [METROTV]

'Saya hilang arah, tempat bergantung' - isteri Mohamed Zaili [METROTV]

Seret motosikal 2km

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:59 PM