AMRAN (dalam bulatan) ketika membantu untuk menurunkan jenazah Raja Azri ke dalam liang lahad. FOTO Ihsan Wan Cai Official.
AMRAN (dalam bulatan) ketika membantu untuk menurunkan jenazah Raja Azri ke dalam liang lahad. FOTO Ihsan Wan Cai Official.
Alias Abdul Rani dan Nur Lela Zulkipli


MEREKA hanya diikat dengan tali persahabatan namun, hubungan terbina cukup erat dan istimewa hingga dijemput Ilahi selang beberapa jam sahaja.

Sepatutnya Amran Hasan, 48, mengiringi perjalanan terakhir sahabat baiknya, Raja Azri Raja Mansor hingga selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Selat, Klang, semalam.

Namun sudah ditakdirkan Allah SWT, dia rebah dan meninggal dunia ketika memegang tali keranda rakannya itu sebelum jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad.

Ahli Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) Syamir Afuad Mohamad Aris, 36, yang melihat kejadian berkata, Amran sebelum itu dilihat sangat sedih dan menangis ketika menguruskan jenazah Raja Azri.

“Sekitar 4.30 petang, apabila kami tiba di kawasan tanah perkuburan, arwah (Amran) seperti keletihan dan lemah.

PETUGAS kesihatan memberi rawatan kecemasan kepada Amran sebelum dibawa ke hospital. FOTO Ihsan Wan Cai Official.
PETUGAS kesihatan memberi rawatan kecemasan kepada Amran sebelum dibawa ke hospital. FOTO Ihsan Wan Cai Official.

“Dia kemudian jatuh tersembam betul-betul di sebelah liang lahad rakan baiknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syamir Afuad berkata, dia dimaklumkan oleh keluarga Amran yang hubungan kedua-duanya erat sejak dahulu lagi dan mereka umpama adik-beradik.

Katanya, Amran juga sukarela mahu menguruskan sepenuhnya jenazah Raja Azri yang meninggal dunia kerana darah tinggi.

“Tidak sangka persahabatan mereka membawa hingga ke liang lahad dan saya sangat terharu melihat kasih sayang Amran terhadap sahabat baiknya itu,” katanya yang memberitahu Amran mempunyai tiga anak.

Sementara itu, Pengasas UKVJ Mohd Hirwan Aiyub berkata, pasukannya sempat memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada Amran dan arwah sedar seketika selepas beberapa percubaan.

“Arwah sempat menyebut ‘ambulans’ sebelum pernafasannya semakin perlahan dan kakinya kejang.

“Ambulans tiba beberapa minit selepas itu dan arwah dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya yang dimaklumkan arwah meninggal dunia kerana kegagalan jantung.

Katanya, jenazah Amran dikebumikan di sebelah kubur Raja Azri pada 11 malam hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 9:54 PM