SINDIKET olah skrip masalah cukai LHDN cetus psikologi tipu mangsa. FOTO Khairull Azry Bidin
SINDIKET olah skrip masalah cukai LHDN cetus psikologi tipu mangsa. FOTO Khairull Azry Bidin
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SKRIP basi sama digunakan untuk menjerat mangsa melalui penyamaran sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Malah kali ini pendekatan psikologi agresif digunakan apabila dalang sindiket penipuan menggertak dan sengaja membuat mangsa panik bagi memudahkan mereka ditipu.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim berkata, sindiket penipuan melalui panggilan telefon ini kembali muncul dengan menyasarkan mangsa secara rawak.

Menurutnya, penjenayah licik ini menghubungi telefon mangsa menggunakan nombor telefon syarikat telco tempatan sebelum mangsa mendengar pesanan mel suara.

“Mangsa kemudian didakwa berdepan masalah pembayaran cukai LHDN sebelum panggilan disambungkan kepada lelaki tempatan yang berlakon sebagai pegawai LHDN.

“Suspek berpura-pura bertanya nama penuh dan nombor MyKad individu dihubungi sebelum mendakwa berdepan masalah cukai tertun ggak. Mangsa diugut bakal dikenakan penalti atau tindakan mahkamah jika enggan memberi kerjasama,” katanya.

Menurutnya, mangsa diugut memindahkan sejumlah wang ke akaun bukan milik LHDN jika tidak mahu dikenakan tindakan mahkamah sekiranya enggan mematuhi arahan.

“Berdasar aduan diterima, sindiket biasanya menggunakan skrip yang sudah diolah untuk babak lakonan ketika berkomunikasi dengan mangsa. Ini antara punca mangsa percaya tanpa menyelidik kesahihan panggilan diterima,” katanya.

Masrun berkata, orang ramai perlu berwaspada terhadap sindiket penipuan ini yang menggunakan pelbagai modus operandi berbeza untuk menipu menggunakan nama agensi LHDN.

“Malah sebelum ini sindiket menggunakan resit rasmi pembayaran cukai pendapatan LHDN yang dipalsukan. Sindiket kemudian menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mengugut dan mengarahkan orang ramai melakukan pemindahan wang.

“Sindiket juga menggunakan panggilan telefon menyamar sebagai pegawai LHDN dengan menyatakan mangsa mempunyai kes jenayah sebelum panggilan disambungkan ke talian palsu Polis Diraja Malaysia (PDRM). Biasanya beberapa individu menyamar memperdaya mangsa,” katanya.

Menurutnya, setakat ini LHDN mengesan beberapa sindiket penipuan yang bergerak dengan modus operandi berbeza mengugut orang ramai menggunakan nama LHDNM.

“Sebagai makluman, LHDNM tidak menggunakan aplikasi whatsApp sebagai medium komunikasi rasmi dengan pembayar cukai dan juga panggilan telefon dengan menggunakan nama agensi awam tertentu selain daripada LHDNM.

“Sebarang urusan berkaitan pematuhan cukai hanya dilakukan menerusi kaedah panggilan telefon, surat rasmi dan e-mel rasmi daripada Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436, Jabatan dan Cawangan LHDN,” katanya.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu panik apabila menerima panggilan atau mesej sedemikian, sebaliknya sebarang surat, e-mel, mesej atau panggilan telefon yang meragukan berkaitan LHDNM hendaklah disahkan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer (CCO) di setiap cawangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 6:45 AM