Pemain skuad negara di bawa menaiki kereta perisai barracuda ke hotel penginapan.
Pemain skuad negara di bawa menaiki kereta perisai barracuda ke hotel penginapan.
Daripada Firdaus Hashim


KESEMUA pemain dan pegawai pasukan Harimau Malaya terpaksa menaiki kereta perisai barracuda ke hotel penginapan atas faktor keselamatan.

Tinjauan Arena Metro di perkarangan Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, malam tadi, menyaksikan lima buah kereta perisai digunakan oleh pihak keselamatan tuan rumah bagi mengelak pasukan negara diganggu oleh penyokong tuan rumah.

Selepas beberapa minit kereta perisai itu keluar daripada perkarangan stadium, bas yang membawa pasukan ke gelanggang berkenaan dilihat bergerak keluar untuk dijadikan sebagai umpan bagi mengalih tumpuan penyokong skuad Garuda.

Bagaimanapun usaha Arena Metro untuk mendapatkan gambar gagal apabila dihalang oleh pihak polis yang tidak membenarkan situasi itu dirakam atas tujuan keselamatan.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya pernah mengharungi tiga detik ‘menakutkan’ ketika menentang Indonesia di tempat lawan termasuk dua kali menaiki barracuda.

Dalam insiden pertama pada 2010, Malaysia terpaksa menaiki kereta perisai ke GBK, begitu juga ketika pulang ke hotel penginapan selepas dikepung penyokong tuan rumah dan dibaling objek keras ketika beraksi pada final Piala AFF.

Pada Sukan SEA 2011, situasi sama berlaku apabila pasukan negara sekali lagi dibawa menaiki barracuda selepas berdepan provokasi penyokong tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 1:00 AM