Amir Abd Hamid

[email protected]

SEPANG: “Isteri memang sudah tahu nazar saya iaitu mahu pakai baju Melayu digosok kemas, lengkap bersongkok dan bersamping untuk ke stadium bagi menyokong Harimau Malaya sekiranya skuad negara layak ke semi-final Piala Suzuki AFF 2018.

“Saya sudah terangkan kepadanya sejak kempen baru bermula. Sebab itu dia siapkan semuanya meskipun terpaksa bersengkang mata,” kata Mohd Tirmidzi Hairi Yazid, 29.

Lelaki ini memilih busana Melayu untuk ke Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam, bagi memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang menentang skuad Naga Emas, Vietnam bagi merebut Piala Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF), malam ini.

Sebelum ini dia amat berterima kasih kepada isterinya Suriah Yusuf, 36, kerana mengorbankan waktu tidur semata-mata mahu mempersiapkan dua pasang baju Melayu ketika memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya dalam perlawanan di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand 5 Disember.

MOHD Tirmidzi mengangkat mafla MALAYSIA di pintu pelepasan antarabangsa KLIA 2 sebelum berangkat ke Vietnam untuk menyaksikan perlawanan timbal balik final Piala Suzuki AFF 2018.
MOHD Tirmidzi mengangkat mafla MALAYSIA di pintu pelepasan antarabangsa KLIA 2 sebelum berangkat ke Vietnam untuk menyaksikan perlawanan timbal balik final Piala Suzuki AFF 2018.

Penolong Pegawai Tadbir Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu berkata, dia bertolak jam 4.30 pagi dari rumahnya di Putrajaya supaya tidak terlepas tren terawal dengan sudah siap memakai baju Melayu warna hitam.

“Di stadium kelak (malam ini), saya akan mengenakan baju Melayu kuning supaya sama warna dengan jersi penyokong Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, sebelum berlepas ke Hanoi, pagi semalam.

Menurut bapa kepada dua anak berusia lima dan tujuh tahun mesra dipanggil Mizi itu berkata, dia bersemangat untuk memberikan sokongan kepada skuad negara selepas Harimau Malaya menjuarai kejohanan Piala AFF 2010.

“Kejayaan menundukkan skuad Garuda di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia, menaikkan semangat saya, jadi walau di mana sekalipun perlawanan diadakan saya akan pergi,” katanya.

Dia berasal dari Serian, Sarawak berkata, majikannya juga tahu mengenai minatnya itu dan membenarkan dia mengambil cuti.

Katanya, dia menaiki penerbangan ke Yangon, Myanmar untuk transit ke Hanoi berikutan tidak sempat membeli tiket penerbangan tawaran harga istimewa AirAsia.

“Ikut jadual penerbangan saya akan sampai jam 6 petang ini (semalam). Saya amat teruja dengan skuad Harimau Malaysia sehingga menamakan anak lelaki saya Ahmad Muslim Solihin sempena nama bekas tonggak pertahanan, Muslim Ahmad.

“Bila dia sudah besar sikit saya bercadang mahu bawa dia bersama ketika menyaksikan perlawanan bola sepak.

MOHD Tirmidzi  yang lengkap  berbaju Melayu  ketika  separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF perlawanan Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Rajamanggala, Bangkok.
MOHD Tirmidzi yang lengkap berbaju Melayu ketika separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF perlawanan Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Rajamanggala, Bangkok.

“Saya juga sudah tempah tiket terawal pesawat MAS esok (Ahad 16 Disember 2018) untuk pulang ke Malaysia. Memang jadi harapan saya pesawat sama membawa skuad negara dan piala kemegahan rantau Asia Tenggara ke pulang ke Malaysia tercinta,” katanya.

Sementara itu, Afiq Aimran Awaluddin, 28, dari kumpulan penyokong Ultras Malaya Terengganu berkata, dia tidak pernah terlepas menonton aksi Harimau Malaya di gelanggang sendiri.

Katanya pengalaman pertama di Stadium Rajamanggala, akan digunakan sebaiknya di Stadium My Dinh untuk memastikan dia dan 39 rakan Ultras Malaya Terengganu serta semua penyokong Malaysia tidak tenggelam dalam gelombang kehangatan penyokong lawan.

“Kami perlu mengekalkan momentum sorakan antara tempoh 90 minit perlawanan atau masa tambahan. Apa yang penting, skuad negara perlu tahu kami bersama mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 8:55 AM