ANGGOTA polis memeriksa dua penunggang motosikal yang maut selepas berlanggar antara satu sama lain dalam kemalangan di Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu, awal pagi hari ini. FOTO ihsan pembaca.
ANGGOTA polis memeriksa dua penunggang motosikal yang maut selepas berlanggar antara satu sama lain dalam kemalangan di Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu, awal pagi hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Rosliza Mohamed


DUA penunggang motosikal maut selepas berlanggar antara satu sama lain dalam kemalangan di Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu, pagi hari ini.

Dalam kejadian 3 pagi itu, kedua-dua mangsa, Nazrol Shodikin Roslan, 29, dan Muhammad Al Afiq Muhammad Razali, 26, meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata kejadian berlaku apabila motosikal Yamaha ditunggang Nazrol Shodikin dari arah Kota Bharu menghala ke lampu isyarat Cabang Tiga Demit.

Beliau berkata, secara tiba-tiba motosikal Suzuki ditunggang Muhammad Al Afiq dari arah sama membuat pusingan U dan Nazrol Shodikin tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikalnya.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia ( HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, sebaik selesai bedah siasat hari ini jenazah mereka akan diserahkan kepada keluarga masing-masing dari Kampung Panchor, Kemumin dan Kampung Demit, Kubang Kerian, untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 9:03 AM