ZURA Emilia bersama Muhammad Ummar Zayyan yang dikejarkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Seremban pada Isnin lalu. FOTO ihsan pembaca.
ZURA Emilia bersama Muhammad Ummar Zayyan yang dikejarkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Seremban pada Isnin lalu. FOTO ihsan pembaca.
Nur Aqidah Azizi


BAYI lelaki berusia empat bulan kritikal dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Seremban, Isnin lalu.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, ketika dihubungi berkata, Muhammad Ummar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz mula dihantar ke rumah pengasuh yang dikenali melalui laman Facebook itu kira-kira seminggu sebelum kejadian berlaku.

“Isnin lalu, saya menerima panggilan daripada pengasuh memberitahu anak saya tidak sedarkan diri. Saya dan suami segera mengambil anak kami dan menghantarnya ke HTJ untuk rawatan dengan segera.

“Keesokan harinya, anak kami dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi Kanak-Kanak (PICU) apabila keadaannya tidak bertambah baik.

“Doktor memberitahu, dia mengalami pendarahan dalam otak serta mata dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan,” katanya.

Kejadian itu tular di Facebook hari ini apabila seorang lelaki mendakwa doktor turut menemui kesan lebam pada perut serta paha bayi berkenaan dan banyak pihak menyalahkan pengasuh terbabit yang disyaki menderanya.

Ditanya mengenai perkara itu, Zura Emilia berkata, dia tidak mengetahui kejadian itu menjadi tular dan enggan menyalahkan sesiapa buat masa ini.

“Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa.

“Saya sudah membuat laporan polis pada Isnin lalu. Biar polis jalankan siasatan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 7:10 PM