Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI ditemui mati selepas menggantung diri dipercayai akibat tekanan masalah rumah tangga dihadapinya dalam kejadian di Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Mayat lelaki berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditemui adik lelakinya dalam keadaan tergantung di dalam bilik tidur, 5.15 petang.

Menurut sumber, sebelum kejadian itu, lelaki terbabit dilihat berada dalam keadaan murung selepas berselisih faham dengan isterinya berusia 26 tahun.

Katanya, akibat perselisihan faham antara mereka, isterinya mengambil keputusan pulang ke rumah keluarganya bersama anak mereka yang berusia 10 bulan.

"Difahamkan, lelaki terbabit sudah beberapa kali pergi ke rumah keluarga mentuanya untuk memujuk isterinya agar pulang semula bersamanya, namun tidak dihiraukan.

"Ekoran masalah itu, lelaki terbabit mengalami kemurungan selain dikatakan tidak pergi bekerja dan banyak mengurung diri di dalam biliknya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 5:16 PM